BEN ASHAARI

Thursday, September 25, 2008

BISKUT DAHLIA

Biskut Dahlia

Biskut Dahlia ni dah ada sejak zaman dulu kan, masa nenek kita anak dara pun depa dah buat biskut dahlia ni. Mat ambil resipi dari blog "Diana", dan resipi asalnya dari "Norazie RN"
...Terima kasih pada D dan Norazie....sedap biskut dahlia ni. Pegang tak hancur tapi bila makan, cair di mulut gitu....kalau mulut buaya yang makan, baru sampai kat bibir dah cair..ahaks!!!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 g mentega
160 g gula aising (mat guna 140 g)
2 kuning telur
1 camca teh esen vanilla (mat guna esen rose)
240 g tepung gandum*
100 g tepung jagung*
160 g tepung kastard*(*gaul rata dan diayak)
Ceri merah, dipotong kecil untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula aising hingga berkrim, masukkan kuning telur dan esen vanilla/rose dan putar hingga kembang.
  2. Perlahankan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Adunan akan menjadi doh yang lembut dan mudah ditekan.
  3. Masukkan doh ke dalam alat penekan yang dipasang muncung untuk biskut dahlia. Tekan atas dulang pembakar. Buat hingga siap dan hias dengan sepotong kecil ceri. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 15 - 20 minit.
  4. Biarkan biskut sejuk sedikit atas dulang pembakar sebelum dialihkan ke atas jaringan. Biar sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

TAT NENAS GULUNG

Tat Nenas Gulung

Ini resipi dari "Amy Beh"....Mat guna 100% resipi dia tanpa menukar sedikit pun (kecuali dengan menggaul sedikit mentega ketika adunan menjadi agak keras semasa dihujung proses)...Mat sertakan sekali resipi untuk jem nenas dari Amy Beh, kalau rasa susah, beli je yang ready made kat kedai2 baking.....Ok kita lihat bahan2 dan cara2nya.....

BAHAN DOH :-)
150 g mentega
100 g margerine
75 g gula aising
2 kuning telur
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam
Biji kas-kas untuk hiasan@poppy seed (optional)
350 g tepung gandum*
50 g tepung jagung*(*digaul dan diayak)

BAHAN UNTUK GLIS :-)
1 kuning telur
1 camca teh susu cair
Secubit garam
1/4 camca teh air
1/4 camca teh esen vanilla

BAHAN JEM NENAS :-)
450 g nenas (yang mengkal)
200 g gula kastor
1/2 camca teh esen nenas
1/2 camca teh jus lemon

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK JEM NENAS :- Parut nenas dan masak bersama gula hingga mendidih. Masukkan esen dan jus lemon, kacau rata dan masak atas api perlahan sehingga jem pekat dan hampir kering (kira2 dalam 1 jam). Matikan api dan sejukkan. Bulat2kan jem dan bentukkan bujur (anggaran 1/2 camca teh untuk setiap biji). Buat hingga siap.
  2. UNTUK DOH :- Putar mentega, margerine dan gula aising hingga berkrim. Masukkan kuning telur, esen vanilla dan garam, putar lagi. Perlahankan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis dan adunan menjadi doh yang lembut. Tutup doh dengan tuala lembap untuk kegunaan kemudian.
  3. UNTUK GLIS :- Satukan semua bahan2 untuk menglis dan ketepikan untuk kegunaaan kemudian.
  4. UNTUK TAT NENAS GULUNG :- Ambil sedikit doh, masukkan ke dalam acuan tat (jenis tekan) dan tekan memanjang. Ambil sebiji jem yang telah dibentukkan tadi, letak atas doh dan gulung sehingga doh menutupi jem, potong dengan pisau dan alihkan ke dalam dulang pembakar, buat hingga siap. Jika doh menjadi keras dan susah untuk ditekan, tambah sedikit mentega pada doh dan uli rata (anggaran 1 camca teh mentega). Sapukan sedikit glis atas tat tadi dan tabur sedikit biji kas-kas@poppy seed. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 15 - 20 minit. Sejukkan atas jaringan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

BANGKIT NYONYA

Bangkit Nyonya

Bangkit ni pun sama, mat dah buat banyak kali dan dah banyak kali juga letak kat blog, resipi saling tak tumpah macam dulu2 juga..sila rujuk sini yeaa untuk kepastian.....Sekian terima kasih..

ALMOND LONDON

Almond London

Ini memang mat buat setiap hari raya..Tapi kali ni kan tah macam mana buat ter"tamak" u!!..Ha ambik koo start dari 10.30am melantak ke 4.00pm!!...Aku ni memang tak leh nak business biskut2 ni laa, baru lambat mcm tu dah kecohhh!!!..Apa2 pun untuk resipi boleh rujuk n3 terdahulu disini.....

Tuesday, September 23, 2008

BISKUT KUACI

Biskut Kuaci

Biskut yang lemak, harum dan ringan bila siap dibakar....Kalau dah masuk dalam mulut, lagi lahh sedap, satu pesanan mat, jika menjamah biskut2 raya, silalah nikmatinya dengan sepenuh jiwa..jangan main telannn buta2 macam tu saja....

BAHAN A :-)
250 g mentega
140 g gula aising
2 kuning telur
1 camca teh esen lemon (mat letak esen vanilla)

BAHAN B :-)
60 g kuaci labu, dikisar halus
100 g cornflakes, dikisar halus
40 g coffeemate
60 g tepung jagung
400 g tepung rose (kalau tak de, guna tepung gandum saja)

BAHAN C :-)
Kuaci labu, untuk hiasan
Kuning telur untuk disapu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pukul bahan A hingga sebati dan rata (jangan pukul hingga kembang, nanti biskut jadi "gedabak"). Masukkan bahan B satu demi satu dan gaul hingga menjadi doh yang lembut. Kalau macam lembik, biarkan 10 - 15 minit (bila cornflakes kembang, doh jadi OK).
  2. Canai doh 1/2 cm tebal, terap guna acuan kegemaran, susun atas dulang pembakar, sapu dengan kuning telur dan hias dengan kuaci labu. Buat hingga siap.
  3. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 15 minit. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum disimpan dalam bekas kedap udara...

GULAI UDANG COMBO

Gulai Udang Combo

Nama macam "iklan" kan, tapi mat gabungkan beberapa jenis sayur kampung yang mudah didapati di kampung2 atau pun di pasar2 (bagi yang dok bandar) ke dalam gulai udang galah....

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 g udang galah, siang, buang kotoran dan cuci bersih, toskan
1 biji jantung pisang nipah
3 - 4 biji peria katak
1 cawan terung pipit
2 batang serai, dititik
2 keing asam gelugor
800 ml santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 kiub ikan bilis "MAGGI" (optional)
4 biji cili merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas jantung pisang, buang kelopak yg keras hingga jumpa bahagian berkulit lembut dan cerah, belah 2, kemudian belah lagi 2 setiap bahagian, rendamkan. Peria katak, dibelah 2 dan buang biji, potong tapi tak putus setiap belahan. Terung pipit, diasingkan dari tangkai, cuci dan tumbuk setakat pecah2 sahaja di dalam lesung batu. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, panaskan sedikit minyak, tumis bahan2 kisar hingga wangi, masukkan serai dan asam gelugor. Masukkan jantung pisang dan gaul rata2. Tuang santan cair dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan terung pipit dan udang, masak dengan api sederhana hingga jantung pisang lembut. Tuang pati santan dan masukkan peria katak. Tambah garam dan secubit gula. Masak hingga mendidih dan peria lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api...

TOM YAM UDANG

Tom Yam Udang

Ini pun masakan biasa..mat pasti semua orang pandai memasakknya, jadi tak yah letak resipi lah, kalau rasa tatau lah kan, boleh rujuk kat sini yeaa......Sekian!!

SHORTBREAD MARBLE

Shortbread Marble

Ini pun resipi lepas, rasa maca malas nak nak tulis.....Resipi asal dari fotopages, "Mak Lang" yang femess tuu!!! Terim kasih Makk Lannggg!!!......Boleh rujuk disini untuk resipi....

BISKUT BADAM

Biskut Badam

Sejak2 ni sibuk sangat, masuk blog pun bila waktu dah bertukar ke hari lain (lepas jam 12 tgh malam u!!)....

Biskut Badam

Biskut badam ni mat buat guna resipi lepas.....Jadi boleh rujuk sini untuk resipi.....

Friday, September 19, 2008

TAUHU-KACANG-TAUCHO

Tauhu-Kacang-Taucho

Ini masakan simple dan mudah dan cepat...Makan dengan bubur nasi pun sedap u...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 keping tauhu, potong kecil dan goreng hingga keemasan
7 - 8 tangaki kacang panjang, dikerat2
1 camca besar taucho
1 camca teh kicap cair
Secubit gula
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
1/2 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan tosk*
2 biji cili merah*(*ditumbuk lumat)
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk lumat hingga wangi, masukkan air (anggaran 1/2 cawan), bila mendidih, masukkan tauhu dan kicap cair. Masak sekejap.
  2. Masukkan kacang panjang dan gula. Kecilkan api dan masak hingga kacang lembut tetapi masih rangup. Rasa dan jika ok boleh matikan api dan hidangkan segera...

GULAI AYAM ASLI

Gulai Ayam Asli

Ini kira masak campak2 saja, tapi ala2 masak lemak gitu. Sedap makan dengan nasi hangat, tak pun dgn roti jala....

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 g ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
5 biji kentang, kupas, belah 4 setiap biji dan rendam
1 cawan terung pipit/terung palembang, dipecah2kan sedikit
2 keping asam gelugor
1 liter santan cair
300 ml pati santan
2 batang serai, dititik
3 helai daun limau purut
Garam dan sedikit gula

BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji cili merah (nak pedas leh tambah cili padi)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus bersama serai hingga harum. Masukkan kentang dan ayam, gauk rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang santan cair.
  2. Bila mendidih, masukkan terung pipit dan asam gelugor. Masak hingga kentang 3/4 lembut. Tuang pati santan dan tambah garam secukup rasa dan sedikit gula.
  3. Akhir sekali masukkan daun limau purut dan masak dengan api sederhana hingga kentang empuk dan ayam masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api dan hidangkan...

BISKUT GREEN LACE

Biskut Green Lace

Biskut raya ke-2...Biskut Green Lace, mat dapat resipi kat fotopage Mak Lang dan mak lang pulak dapat dari "baya"...sapa baya tu ek..nak kena "siasat" nihhh!!!!..

Biskut Green Lace

Biskutnya harum bau pandan, tak berapa manis dan ringan bila siap dibakar. Untuk drizzle kan coklat cair tu atas biskut, mat susun biskut rapat2, kemudian kita drizzle kan coklat cair secara menegak, kemudian secara melintang pulak...

BAHAN A :-)
120 g mentega
20 g shortening/lemak sayur
80 g gula kastor (mat guna gula aising)
1 camca teh padan paste

BAHAN B :-)
140 g tepung gandum
30 g tepung sagu
1/4 camca teh baking powder
1/4 camca teh garam ( mat tak letak)
30 g biskut marie yang dikisar halus
20 g serbuk kacang hazelnut/gajus

BAHAN C :-)
Coklat cari secukupnya
Gula manik bewarna-warni

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar bahan A hingga sebati. Masukkan bahan B dan gaul hingga menjadi doh. (Mat tambah sedikit lagi tepung, sebab adunan jadi terlalu lembut!!!).
  2. Canai doh 1/2 cm, terap dengan acuan kegemeran dan susuh atas dulang pembakar. Buat hingga siap. Bakar pada suhu 170C selama 20 minit atau hingga masak bergantung pada oven masing2.
  3. Sejukkan biskut atas jaringan, kemudian drizzle coklat cair dan taburkan gula manik bewarna-warni atasnya...(Mat buat 2 adunan)...

Thursday, September 18, 2008

BISKUT KELAPA DELIMA

Biskut Kelapa Delima

Zaman dulu, mak2 kita kalau buat biskut/kek, mereka sukat guna gelas, mangkuk dan sudu saja. Kat rumah mat ada beberapa biji gelas zaman dahulu yang tapaknya berbentuk bintang. Gelas tu banyak berjasa dalam menghasilkan kek dan biskut2 yang sedap...

Biskut Kelapa Delima

Ini biskut pertama mat buat menjelang Syawal. Sudah jadi kebiasaan kami membuat biskut ini sejak dari duluuuuuuu lagi!!!, resipi tak yah letak lah sebab boleh rujuk pada n3 lepas yea, boleh rujuk disini..Kita jamu mata saja OK!!!...

KEK LAPIS OREO

Kek Lapis Oreo

Ini sebenarnya resipi kek lapis cadbury dari blog "Rozzan"....tapi mat tukar dengan oreo...Apa2 pun kredit harus dibagi kepada rozzan kerana kepakaran beliau dalam bab lapis melapis nihh!!!!.

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g mentega
10 biji telur gred A
150 g gula kastor
100 g biskut marie, kisar halus
50 g serbuk santan
100 g susu pekat manis
180 g tepung gandum
Biskut oreo secukupnya, dibuang cream

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula hingga kembang, masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga gebu.
  2. Pada speed sederhana, masukkan tepung gandum, biskut marie kisar, serbuk santan dan susu pekat manis. Kacau hingga sebati.
  3. Bahagi adunan kepada 2 bahagian dan letak warna kegemaran (mat guba kaler oren dan hijau). Letak 4 camca besar adunan oren, bakar dengan api grill pasa suhu 180C selama 5 kurang lebih minit. Bakar lagi satu lapisan kaler oren hingga masak.
  4. Selang seli kan dengan warna hijau. Lepas lapisan ke lima boleh disusun biskut oreo tadi. buat hingga siap...

KEK LAPIS PRUNE

Kek Lapis Prune

Ini kek lapis prune dari buku "Cake Talk" oleh Wendy Kor....sedap, harum dan cair di mulut gitu!!!

BAHAN A :-)
250 g mentega
80 g susu pekat manis
1 camca teh rempah kek
1/2 camca teh serbuk vanilin
80 g golden syrup

BAHAN B :-)
15 kuning telur
3 putih telur
120 g gula kastor
80 g tepung superfine/hong kong/tepung halus
1 camca besar ovallete
20 ml air sejuk

BAHAN C :-)
Beberapa titik pewarna kuning
150 g prune, belah dua dan leperkan
Mentega cair untuk disapu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lenser tin kek berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentega, alas dasarnya dengan kertas minyak. Ketepikan.
  2. Putar bahan A pada kelajuan tinggi selama 5 - 7 minit hingga kembang dan gebu. Ketepikan.
  3. Dalam mangkuk yang lain dan bersih, putar bahan B pada kelajuan sederhana selama 10 minit.
  4. Satukan adunan A dan B, gaul rata dan tambah pewarna kuning. Kacau hingga sebati. Panaskan oven pada suhu 180C, gunakan api "grill".
  5. Sudukan 4 camca besar adunan ke dalam tin kek, ratakan dan bakar hingga masak (lebih kurang 5 minit, bergantung pada oven masing). Keluarkan kek, sapu nipis permukaan lapisan dengan mentega cair. Letakkan adunan baru sebanyak 4 camca besar, ratakan dan bakar.
  6. Lakukan proses tadi sehingga lapisan ke-4 atau 5. Lapisan seterusnya disusun buah prune tadi dan bakar hingga masak. Tidak perlu disapu mentega cair pada permukaan yang ada buah prune.
  7. Buat hingga siap, sejukkan sebentar sebelum dikeluarkan dari tin, biar kek betul2 sejuk sebelum dipotong. Boleh juga dibungkus rapi dan simpan dalam peti ais...

KEK LAPIS ASAM MANIS

Kek Lapis Asam Manis

Kek Lapis Asam Manis ni mat pernah buat dulu, kiranya ini 2nd time lah mencuba. Kali ni mat guna "Haw Flakes" jenis besar...Resipi asal dari "Rozzan". Mat tak sertakan sebab tak de langsung pengubahsuaian bahan2 atau pun tekanik dalam pembikinan...boleh rujuk resipi di sini......

Wednesday, September 17, 2008

MATAHARI KU.....KENANGAN DARI IRELAND....

Matahari Ku

Lari sikit dari n3 masak2...Beberapa bulan dulu mat terima bingkisan dari "JO" yang duduk nun jauh di Ireland.....Dalam bingkisan tersebut ada pelbagai benda termasuk benih bunga matahari dan beberapa jenis benih herba....Mat semai benih bunga matahari dan hari ini telah mengeluarkan bunga yang begitu cantik...Kumbang dan serangga mula singgah bertanya khabar si "matahari ku' ini...Terima kasih JO.....

KARI SARDINE

Kari Sardine

Ini kari sardine yang mat masak untuk dimakan bersama roti jala. Biasa2 saja dan mat rasa ramai dah orang tau masak kari sardine ni, tapi tak pelah mat tulis juga resipi, kot2 lah berbeza cara memasak dan tekniknya....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin sardine ca ayam (jenis leper)
4 biji kentang, kupas, belah 4 setiap biji dan rendam
1 biji tomato, belah 6
2 biji cili hijau, belah 2
1/2 cawan jus asam jawa
2 camca besar penuh serbuk kari ikan
1 inci lengkuas, dititik
1 camca teh halba campur
3 biji bawang merah, dihiris
1 ulas bawang putih, dihiris
1 tangkai daun kari, dilurut
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 1/2 inci halia
4 biji cili merah
1 ketul kiub ikan bilis "MAGGI"

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan sardine dari kuahnya. Panaskan periuk, tumis halba campur, lengkuas, daun kari, hirisan bawang merah dan putih hingga harum, masukkan bahan2 kisar dan juga rempah kari, tambah sedikit air jika perlu. Tumis hingga terbit minyak, guna api sederhana.
  2. Masukkan kentang dan gaul rata. Tuang air secukupnya (anggaran 800ml) dan masak hingga kentang 3/4 lembut. Masukkan 1/2 bahagian kuah sardine bersama ikan sardine tadi, masak atas api perlahan hingga kentang lembut.
  3. Tuang jus asam jawa dan tambah garam serta sedikit gula. Biar mendidih perlahan dan akhir sekali masukkan tomato dan belahan cili hijau. Rasa dan jika ok boleh matikan api.

ROTI JALA

Roti Jala

Ini salah satu juadah untuk berbuka semalam, mat buat roti jala, atau "lace pancake" in english, kelaskan!!!..Buat mudah dan senang, sesiapa boleh melakukannya, yang penting, ada adunan yang betul, acuan roti jala, non-stick pan (pilihan tepat) dan sedikit minyak....Mat hidangkan bersama kari sardine, macam jemu nak makan kari ayam atau daging.....Resipi boleh rujuk disini.....

Monday, September 15, 2008

NOTE MENYENTUH JIWA DARI "ANA"...


Terima kasih "Suhana" dari Singapura atas tanda ingatan ini. Moga Ana sihat, tabah dalam menempuh segala dugaan...Tak lupa, terima kasih juga atas sumbangan resipi2 yang begitu menarik dan memikat untuk dikongsi bersama. Moga kita sama mendapat manfaat....Insya Allah!!!!

KAD CYBER DARI NAS...

Terima kasih pada "Nas" kerana sudi beri kad raya sebagai tanda ingatan. Minta maaf yea Nas sebab lambat ambik....Selamat Berpuasa dan juga Selamat Hari Raya Aidil Fitri untuk Nas dan semua......Maaf Zahir Dan Batin...

Friday, September 12, 2008

UDANG MASAM - MANIS

Udang Masam-Manis

Jangan tatau, kami ada simpan stok udang galah dalam peti ais....Saja je masak untuk anak2 buah, memandangkan pak "ucu" dia tak boleh makan, mat tolong masak dan tolong tengok jee lahh orang lain makan...whaaaa!!!!! sedeyyy!!!...Resipi macam dan letak, tapi tak pelah kita tulis lagi....yang ni lebih ringkas kot..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g udang galah
1 biji bawang besar (yang BESAR), dipotong bulat
2 ulas bawang putih, dititik
1 camca besar cili kisar
1/2 cawan sos cili thai
2 camca besar sos tomato
1 camca besar sos tiram
1/2 cawan air
1 camca besar kicap cair

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibuang kotoran dikepala, cuci bersih, gaul kunyit dan sedikit garam, goreng hingga kemerahan, angkat dan toskan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang besar, bawang putih dan cili kisar hingga garing, masukkan sos cili thai, sos tomato, sos tiram, gaul rata. Tuang air dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan udang dan kicap cair, gaul rata dan masak dengan api kecil hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh dialihkan ke dalam bekas sesuai. Hias dengan hirisan daun sup sebelum dihidangkan.

MEE SOTO

Mee Soto

Hari ni kan malas tau nak masak, kalau boleh nak masak paling senang, paling ringkas dan paling cepat!!!....Buat mee soto ni pun guna rempah segera yang mat dapat...Eh!! sedap u rempah soto Muar nihh!!, mat ganti kan mee kuning dengan mee laksa. Mee kuning kalau diikutkan banyak bahan yang pelik, kalau yang orang jenis "kalah", mudah kena sakit perut!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 rangka ayam, potong kecil
2 1/2 camca besar rempah soto segera
2500 ml air
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
2 biji buah pelaga*
4 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
2 batang serai, dititik

BAHAN KISAR :-)
1 biji bawang besar
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 camca teh lada hitam biji
2 biji buah keras

BAHAN SAMPINGAN :-)
Mee laksa secukupnya, nak ganti dengan mee kuning pun ok
Taugeh. dicelur (mat tak celur)
Daging ayam, digoreng dan disiat2 halus
Tauhu, digoreng, dan potong nipis
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng
Cili kicap
Begedil (tak letak sebab malas nak buat!!!)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis rempah tumis dan serai hingga harum, masukkan bahan kisar dan masak hingga terbit minyak, masukkan rangka ayam, gaul rata dan tuang air. Masukkan rempah soto. Masak hingga mendidih, tambah garam dan kecil kan api, renih selama 45 - 60 minit. Rasa dan jika ok, boleh matikan api.
  2. PENYEDIAAN MEE SOTO :- Masukkan mee laksa/mee kuning secukupnya dalam mangkuk, tuang kuah dan tabur bahan sampingan. Hidangkan bersama cili kicap.....Masa buang ekor taugeh tadi, sempat lagi chit chat dengan "Kak Umi-E" kat fon....

KACANG PHOOL

Kacang Phool

Mat perna masak beberapa kali Kacang Phool ni, sesuai dibuat pencicah roti canai atau roti2 biasa, selalunya kacang phool ni femes di Singapura...Kali ni mat masak ikut gaya dan style sendiri....Kalau tak silap orang2 "Arab" suka makan kacang phool nihh...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin kacang "Phool", diramas kasar2
150 g daging cincang
1/3 cawan jus asam jawa
2 camca besar rempah kari daging + sedikit air, kacau rata
1 camca besar cili kisar
5 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*(*dikisar halus)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN LAIN :-)
Telur, digoreng mata kerbau
Bawang besar, didadu
Tomato, didadu
Cili hijau, dipotong
Limau kasturi, dibelah dua
Sedikit minyak sapi, dicairkan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar hingga wangi, masukkan cili kisar dan tumis hingga garing, masukkan rempah kari dan daging cincang, masak hingga daging kecut dan tambah air (anggaran 1 cawan).
  2. Bila mendidih, masukkan kacang phool dan jus asam jawa. Tambah sedikit garam dan gula. Kecilkan api dan renih hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. CARA PENYEDIAANNYA :- Cedok kacang phool ke dalam bekas, letak sekeping telur mata kerbau, tabur tomato, bawang dan cili hijau tadi. Tuang sedikit minyak sapi cair dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan bersama roti canai atau roti biasa....

Thursday, September 11, 2008

POPIA

Popia

Ini sepatutnya n3 semalam, tapi malam tadi lepak leer....Mat buat kek lapis semalam, tapi nanti2 lah baru masukkan kat blog kek lapis tu, cuma kek lapis biasa saja....Popia macam dah biasa kan, jadi mat bagi resipi inti dia saja yeaa..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan taugeh
1 cawan sengkuang yang telah dipotong memanjang
1 batang lobak merah, potong halus memanjang
1 biji cili merah, buang biji dan hiris halus
1/2 cawan isi udang, cincang halus
1 biji bawang besar, cincang halus
1 ulas bawang putih, cincang halus
2 camca besar kicap cair
1 camca besar sos tiram
Secubit gula
Kulit popia secukupnya (kurang lebih 18 - 20 keping)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum, masukkan sos tiram dan isi udang, kacau rata.
  2. Masukkan senkuang, lobak merah dan cili hiris, gaul rata dan tuang sedikit air jika perlu. Masukkan kicap cair dan taugeh, tambah secubit gula dan kacau hingga semua rata. Matikan api, angkat dan sejukkan.
  3. Bentang sekeping kulit popia, letak 1 1/2 camca teh inti dan gulung kemas2, sapu sedikit bancuhan tepung gandum dihujung kulit popia sebagai gam. Buat hingga siap.
  4. Goreng dalam minyak sederhana panas sehingga popia kuning keemasan. Angkat dan toskan. Hidangkan bersama sos cili.


Wednesday, September 10, 2008

TAG DARI KAK UMMI KUANTAN......

Ala..ala...ala..comeynyaa...kalau gambar tu mat lah, sure habihhh botak bulu2 aku kena sambar dengan api!!!!!. Tapi yang nak gelak apa tau, gambar beruang tu siap ada jambul lagi u, dia boh kaler maroon lagik!!..Ahaks jambul untuk hari raya gamaknyaa!!!!....Ini nak jawab tag dari kak ummi. Harap kak ummi bacalah dengan teliti dan bijaksana yeaa kak!!!...

1. NAMA TIMANGAN :-)
  • Kat rumah orang panggil pakcik dengan nama "denan"...haiyoo, nampak sangat ke"jawaan ku!!
  • Anak2 buah ada yang panggil pak usu dan ada yang panggil "ucu"....geli tau i bila depa panggil "ucu".
  • Mak/pak sedara semua panggil nama penuh ----> "Adnan", senangkan.
2. SAYA SEORANG YANG :-)
  • Berfikiran terbuka walaupun agak konservetif, ortodox dan sedikit ketinggalan zaman....
  • Tak kesah lah apa orang nak kata, pedulikan aje, lama2 depa diam laa.
  • Kadang kala ada sikit "gila2"..tapi tak delah sampai tahap serius yang melibatkan ubat2tan moden atau tradisional..ahaks..
  • Boleh memasak sehari suntuk dan ada masa tak nak masak langsung, lalu kat dapur pun tak hinggin masa tu!!.
  • Pantang nampak benda yang melibatkan dunia masakan, mesti nak rembat. Selagi tak dapat, hati tu macam bengkak jeeek!!!
  • Apa lagi ek..ishh tak tau lahh yang lain tu biasa2 saja...
3. INSAN TERISTIMEWA :-)
  • Tentulah ahli keluarga terutama Bonda, Ayahanda, Kekanda2 termasuk ipar duai, anak2 buat tersayang, sepupu2, mak/pak sedara......lagi sapa ek...?
4. MAKANAN :-)
  • Yang ni mat tak menolak, selagi halal semua aku bedal...tapi ada yang alergi tu terpaksalah tolak...kalau tak, mula lah aku ala2 cipanze, bergaru2 sakan gitu!!
5. WARNA KEGEMARAN :-)
  • Kuning, merah, biru, putih, hijau....dan bewarna-warni!!!...hahaha sah ada yang pitam baca jawapan aku nihh!!!
6. LAGU KEGEMARAN :-)
  • Lagu moden boleh, klasik boleh, rock pun boleh...tapi mat suka "Ghazal"..maklumlah kita orang Johor gitu.
7. BENDA YANG MEMBUATKAN ANDA STRESS :-)
  • Tak suka orang yang kuat komplen, sikit2 komplen, pekara kecik pun nak komplen..tensenn!!!
  • Kalau tengah2 masak, tetiba ada tetamu datang, dah lah tu, sama2 sibuk dengan kita kat dapur...pening wooo!!!
  • Tiba2 kan tengah masak atau buat kuih, bekalan letrik terputus atau keputusan bekalan air.....
  • Lain2 tu tak yah lah, sebab kes2 terpencil.
8. 3 BENDA DALAM WALLET :-)
  • Duit, itu sudah pastilahh.
  • IC... yang ni kalau tak de, tengok2 aku dalam trak polis, depa hantaq pi tanjung balai!!!
  • Sarung "ang pow" kaler merah dengan duit note RM10 dalam dia...
9. KALI TERAKHIR MENANGIS BERIYA-IYA :-)
  • Ntah ek....i segan u nak nangis beriya2, sebab masa nangis beriya2 tu kan muka kita jadi tak lawa, tak hansem dan tak macho!!...Macam mana mat tau, sebab mat pernah nangis macam tu duluuuu!!!!!...Ahakss....sori ek sebab tak bley bagi tau laaa sebabnya...maluuu!!
10. TAG RAKAN ANDA :-)
  • Nita
  • Lemon Grass
  • Ruhil

Tuesday, September 9, 2008

ROJAK PETIS

Rojak Petis

Jom makan rojak petis untuk berbuka puasa.....Cerita banyak pun tak guna, apa kata kita try buat yeaa....Kalau nak pedas boleh tambah cili padi!!!

BAHAN SOS PETIS :-)
1 botol kecil petis/otak udang
1/2 cawan jus asam jawa
1 ketul gula melaka
1/2 cawan gula pasir
1/4 cawan kicap pekat
3 - 4 camca besar kicap cair
1 biji bawang besar*
5 - 6 biji cili padi*
3 ulas bawang putih*(*kisar halus)
1 cawan air
1 cawan kacang tanah tumbuk

BAHAN ROJAK :-)
2 keping tauhu, goreng dan potong kecil
1 biji timun, cuci dan potong kecil
1 biji sengkuang, kupas, cuci dan potong kecil
1 cekak kangkung, cuci, siang dan celur sekejap, toskan
300 g taugeh, cuci dan celur, toskan
1 biji nenas masak ranum, kupas dan potong kecil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SOS PETIS :- Satukan semua bahan2 sos kecuali kacang tumbuk, dalam periuk dan masak atas api sederhana hingga sos pekat. Sejukkan.
  2. PENYEDIAAN ROJAK :- Dalam satu bekas, masukkan sos petis, kacang tanah secukupnya dan cili padi yang telah ditumbuk (jika suka). Kacau rata dengan senduk hingga rata. Kalau kurang manis atau masin boleh tambah gula atau kicap masa ni. Kacau hingga semua sebati.
  3. Masukkan bahan2 rojak dan gaul rata. Hidangkan segera.....

GULAI DAGING

Gulai Daging

Mat masak gulai daging menggunakan rempah kari "cap orang terbang" yang dikirimkan oleh "IDA", terima kasih yea...Rasa dia memang berbeza dari rempah2 kari lain....Sedap dan tak menyengat sangat, tapi masih mengekalkan aroma dan rasa kari....Makan dengan roti jala atau roti prata..fuhh lagi sedap uuuu!!!!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 g daging lembu, potong nipis, cuci dan toskan
3 biji kentang, kupas dan potong 4 setiap biji
2 biji tomato, belah 2 setiap biji
1 keping asam gelugor
2 camca besar rempah kari daging
1 camca besar cili kisar (nak pedas boleh tambah)
1 liter santan cair
250 ml pati santan
1 1/2 camca besar kerisik
1/2 camca besar gula Melaka
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
1 tangaki daun kari
1 batang kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumis dan cili kisar, tumis hingga harum, masukkan bahan kisar dan juga rempah kari, gaul rata dan masak hingga terbit minyak. Gunakan api sederhana.
  2. Masukkan daging dan gaul rata. Masak hingga daging kecut, tuang santan cair dan air secukupnya untuk melembutkan daging. Masak hingga daging lembut, masukkan kentang, bila kentang 1/2 empuk, tambah kerisik, asam gelugor dan gula melaka.
  3. Bila mendidih, masukkan santan pekat dan tambah gara, secukup rasa. Akhir sekali masukkan tomato. Rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, roti prata atau roti jala...

SINGGANG IKAN KEMBONG

Singgang Ikan Kembong

Ini lauk paling senang didunia untuk disediakan...Bukan saja mudah tapi sedapnyaaa...kuah dia tu boleh hirup2 lagi u....Kalau nak pedas, boleh tambah cili padi....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 ekor ikan kembong, siang, cuci bersih dan toskan
1 biji bawang besar, hiris halus
4 ulas bawang putih, dititik
1/2 inci halia, dititik
2 biji cili hijau, belah 2 jgn putus
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 kiub ikan bilis "MAGGI"
2 keping asam gelugor
Garam dan sedikit gula
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan semua bahan2 diatas kecuali ikan, garam dan gula. Tuang air secukupnya (kurang lebih 1 liter). Masak hingga mendidih.
  2. Tambah ikan, asam gelugor, garam dan secubit gula. Kalau suka boleh masukkan serai yang dititik atau bunga kantan. Masak hingga ikan masak, gunakan api sederhana. Rasa dan jika ok, boleh matikan api...

Monday, September 8, 2008

TELUR GORENG CENCALUK

Telur Goreng Cencalok

Ini salah satu signature dish kaum baba peranakan, ianya nampak biasa dan sesiapa saja boleh membuatnya, kalau pandai buat telur dadar pasti anda boleh buat resipi ni.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur gred A
1 biji bawang besar, hiris halus
1 ulas bawang putih, cincang halus
1 tangaki kacang panjang, hiris halus
4 - 5 biji cili padi, hiris halus
6 tangaki daun kucai, hiris halus
1 pokok kecil daun sup, hiris halus
2 camca besar cencalok, toskan dan perah sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan semua bahan tadi bersama telur, kacau dengan garfu sehingga semua bergaul sebati. Panaskan minyak dalam "non-stick pan", dan tuang bancuhan telur. Tutup permukaan frying pan dengan tudung periuk. Masak guna api sederhana.
  2. Bila permukaan telur kelihatan kering, dengan berhati2, terbalikkan telur dan masak hingga kedua2 permukaan garing dan kuning keemasan. Angkat dan hidangkan panas bersama nasi hangat dan sambal belacan....

PENGAT LABU

Pengat Labu

Yang ni sedap, orang2 Johor memang kerap menyajikan pengat2 kalau bulan puasa. Kali ni tekak macam teringin nak makan pengat labu, ada pulak bubur caca...mmm lagi leer sedap, tapi mat tak letak biji sagu, takut jadi banyak nanti....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cawan labu yang telah disiang dan dipotong berbaji
1/3 cawan bubur caca, cuci dan toskan
1 ketul gula melaka, potong kecil*
3/4 cawan gula pasir*
1 helai daun pandan*
1 cawan air*(*dimasak hingga gula larut dan tapis)
1200 ml santan cair
250 ml pati santan
1/4 camca teh garam
1 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci labu dan toskan, masukkan ke dalam periuk bersama bubur caca, santan cair dan daun pandan. Masak atas api sederhana hingga labu 1/2 empuk, tuang air gula dan masukkan juga garam.
  2. Bila mendidih, tuang pati santan dan kacau rata. Masak atas api kecil hingga mendidih dan labu serta bubur caca lembut. Rasa dan jika kurang manis boleh tambah sedikit lagi gula.
  3. Matikan api dan hidangkan panas atau pun sejuk untuk berbuka puasa. Kalau suka, boleh tuang sedikit pati santan lagi sebelum disantap..

CEMPEDAK GORENG

Cempedak Goreng

Hari ni mat goreng cempedak, puasa sedikit meletihkan dengan hidung yang masih tersumbat...adoiii lemasss i..ahaks....Tapi kan cempedak tu nampak je lawa, bergaya dan seksi. Bila makan masa waktu berbuka puasa tapi, alahh kecewaa tau, dah leer tawar hebeyy, ada tu pulak yang pahit2, tak pelah dugaan kan....apa2 pun setakat nak cuci mata tu ok lah dan bayangkan aje isi cempedak yang manis bak madu berselindung disebalik salutan tepung yang rangup itu yeaa.....

Sunday, September 7, 2008

ROTI GULUNG DAGING

Roti Gulung Daging

Untuk dibahagi2 pada jiran, hari ni mat cuma pelbagaikan resipi asas roti "Norzailina Nordin". Hari tu kita gulung dengan blueberry, kali ni cuba gulung dengan isian daging yang dimasak ala2 inti murtabak bersama hirisan keju......

Roti Gulung Daging

Sedap dan harum bau rempah bergabung dengan bau keju....Kalau rajin dan ada masa boleh lah mencuba nanti yeaa...Lupa nak kata..dalam gambar tu bukan "wain" atau "wisky" yeaa..Itu jus "BEYH"...satu bes minuman khas dicipta semasa era pemerintahan "Almarhum Sultan Sir Ibrahim, Sultan Johor" ketika itu..Ianya diperbuat dari rempah ratus terpilih yang diperam untuk satu ketika...dan disajikan sebagai minuman "selamat datang" sebagai tanda alu-aluan....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 bahagian basic bread dough...boleh rujuk sini..
4 keping keju chesdale
200 g daging cincang
1 biji bawang besar, cincang halus
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*(*tumbuk lumat)
1 camca teh serbuk cili
1 1/2 camca besar rempah kari daging
1/2 cawan pati santan
1/2 camca besar gula
1 tangkai daun kari
1 pokok daun sup, hiris halus
Garam secukup rasa
1/2 cawan air




CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar, daun kari, bahan tumbuk, serbuk cili dan rempah kari hingga wangi, tuang sedikit air. Gaul rata dan masukkan daging dan kacau hingga rata.
  2. Bila daging kecut, tambah santan dan baki air, masukkan sedikit garam dan gula, kacau rata. Masak dengan api perlahan hingga inti kering. Akhir sekali masukkan hirisan daun sup dan gaul rata, angkat dan sejukkan.
  3. UNTUK ROTI :- Bahagi doh kepada 4 bahagian sama besar, ambil 1 doh canai 4 persei berukuran 7 x 9 inci. Ratakan inti dan tinggal kan ruang ditepi2 doh (seperti dalam gambar), keju tadi dipotong 4 dan susun, gulung kemas dan ketak2. Perelokkan bentuknya dan alih ke dalam mini loaf pan yang telah dilenser dengan mentega. Buat hingga siap. Boleh rujuk pada gambarajah..
  4. Biar 1 jam hingga naik sekali ganda. Bakar dalam oven pada suhu 180C selama 25 - 30 minit. Sejukkan roti atas jaringan sepenuhnya sebelum dipotong...

AGAR-AGAR CAYALAHH!!!

Agar-Agar Cayalah

Hmmm sedapnya makan agar2 masa berbuka tadi..Ini semua salah "Mama Fami"...dia goda i tau kat fotopages dia sampai i tak boleh tahannnn.....ahakss...amponnnnn mama beribu amponn sembah patik harap diamponn!!!!....Sebab tergoda sangat tengok agar2 yang Mama Fami buat, mat dengan sepantas kilatnya menyelongkar cari serbuk agar dan ada satu bungkus lagi, kita pun memulakan operasi.....dan inilah hasil dia...terima kasih mama fami!!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 g serbuk agar-agar
1000 ml air
400 ml susu cair (1 tin)
300 g gula (mat guna 250 g)
Secubit garam
Sedikit pewarna merah jambu
Sedikit perisa strawberry

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masak serbuk agar2, gula dan 1000 ml hingga mendidih dan gula larut. Masukkan pewarna merah jambu dan peris strawberry. Kacau rata dan biar mendidih perlahan.
  2. Bancuh garam bersama susu cair dan tuang ke dalam bancuhan agar2. Masak dengan api perlahan hingga mendidih. Kacau selalu untuk mengelakkan bancuhan meruap.
  3. Bila mendidih, matikan api dan boleh dibekukan dalam bekas kegemaran atau dalam loyang biasa. Biar sejuk dan dinginkan dalam peti sejuk. Sedap dimakan sejuk....

CHICKEN BLACK PEPPER

Chicken Black Pepper

Ini masakan guna perencah instant black pepper keluaran "MAGGI"...sejak2 puasa ni kan malas tau nak bersusah2 payah, berhempas pulas kat dapur....Tapi tak delah selalu guna yang segera2 ni. Walau pun nama "segera" kita perlu juga tambah sedikit bahan2 lain...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g ayam, potong ikut suka
1 paket rempan black pepper "MAGGI", bancuh dengan sedikit air
1 biji bawang besar, hiris bulat
2 ulas bawang putih, hiris halus
2 batang leek, dikerat2
1 biji cili merah, belah 2
1 biji cili hijau, belah 2
1 biji tomato, belah 6
1/2 inci halia, hiris halus
1 camca besar kicap cair
1/2 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci ayam, toskan, gaul sedikit garam dan 1/2 camca besar serbuk kunyit, gaul rata. Goreng ayam hingga masak, tetapi tidak garing. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak, tumis bawang putih, halia, leek, cili hijau dan merah hingga layu. Tuang rempah black pepper dan gaul rata.
  3. Masukkan kicap cair dan air. Masukkan ayam dan hirisan bawang besar, gaul rata dan masak hingga pekat. Akhir sekali masukkan tomato, kacau rata dan matikan api. Alih ke dalam bekas sesuai dan hidangkan.

GULAI LEMAK KETAM

Gulai Lemak Ketam

Ini ketam yang abah mat tangkap sendiri, tapi tak delah besar mana, cuma yang sedang2 sajaa.....TAPI malangnya, mat tak boleh makan laaaaahhhh.......frust tau, kang kalau aku bedal juga, dan derhaka, terus keluar ruam lampin u kan bahagian2 yang selalunya berlampin ittewww!!!!....Tak pelah kita tengok orang lain makan pun dah cukup seronok kan...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ketam (kalau dapat yang besar2)
2 helai daun kunyit, disiat
800 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan sedikit gula
3 biji cili merah*
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup tua*
2 biji buah keras*
1/2 inci belacan*
1 camca besar ikan bilis, rendam 10 minit dan toskan*(*kisar halus)
Sedikit minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siang ketam, buang kulit keras, gunting sedikit kaki2 ketam yg kecil dan ketuk sepit ketam, biar retak, kalau ketam besar, kerat dua. Cuci bersih dan toskan.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis bahan2 kisar bersama asam gelugor dan sedikit garam, masak hingga terbit minyak. Tuang santan cair dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan ketam dan masukkan daun kunyit. Bila mendidih, tuang pati santan dan tambah sedikit gula jika suka. Masak hingga mendidih atas api perlahan. Rasa dan jika perlu tambah garam. Masak untuk 1 - 2 minit lagi dan matikan api. Hidangkan panas2....

Saturday, September 6, 2008

AWARD FROM KAK JUN AND MASZ73.....

Jutaan terima kasih pada datin jun dan masz73 atas tanda ingatan ini....I love u all..ahaks, mampus skandal pulak kangg......Jadi mat panjang2kan award ni pada semua pengunjung blog mat, tak kira lah apa juga "spesis" blog atau fotopages anda, semua boleh ambik yeaa....Sekian terima kasih, selamat berpuasa untuk semuaa!!!!!

Friday, September 5, 2008

TAG DARI MAMA FAMI

POEM OF FRIENDSHIP

We need friends for many reasons,all throughout the season.
We need friends to comfort us when we are sad, and to have fun with us when we are glad.
We need friends to give us good advice,
We need someone we can count on, and treat us nice.
We need friends to remember us once we have passed, sharing memories that will always last.

Spread the poem of friendship....

17. You Next!

I love to pass this on to...

1. Kak Ummi
2. Nita Sheffield
3. Lizah Zakaria

AWARD FORM KAK UMMI KUANTAN.....

Terima kasih dan minta maaf yea kak ummi, sebab terlewat ambik award ala2 "olimpik" tuu..Mat tatau nak bagi kat sapa laaa, sebab semua blog macam dah ada, jadi sesapa yang tak de tu silalah ambil dan letak kat blog/FP masing2 yeaaa.....

TAG DARI KAK LIZA & KAK ROZIE REMBAU


Minta maaf kak liza dan kak rozie, kerana lambat sikit menunaikan "tag" yang Mak Engku berdua bagi, patik sibuk menjalan tugas dalam2 istana hinggap sekitar negeri..ahaks... TAG ni ada undang2nya, kena bagi pada 5 orang dan kena boh link blog/fotopages mereka sekali....Jadi secara rambang mat pilih, tak kesah lah dah dapat dari orang lain ke sebelum ni...okey!!!