BEN ASHAARI

Wednesday, February 1, 2012

MAKAN BUBUR LAGI SEDAP........

rsz_dsc_6075
Assalammualaikum, salam malam semua. Dah santap malam?..Hari ni makan bubur dengan ayam halia, tekak payau je lah. Ayam halia tu masak untuk anak2 buah, tapi mat gebu rembat sama, patut lah bom meletup saja dari tadi, terlebih halia. Bubur nasi mat masak untuk big boss, tapi tekak tak lalu nak makan, hmm, terpaksa lah anakanda yang menelannya..nasib baik masak sikit. Tapi sedap lah, bila makan dengan ayam halia, letak telur dadar, dan tabur dengan serbuk lada hitam, laju je masuk dalam tekak, tapi mengunyah jugalah kan ada bahan2 lain juga atas tu, mau tercekik kang kalau telan je. Pada mat, kalau bubur nasi, ada telur asin, lagi ngam. Selalunya untuk bubur nasi kita guna beras yang agak tinggi kandungan kanjinya kerana ini akan membuatkan bubur nasi kita lagi sedap. Dengan menambah daun pandan, rasanya lebih enak dan baunya juga sungguh harum. Ok lah kita semak resipi, tapi bubur nasi sapa lah yang tak reti buat kan....

AYAM MASAK HALIA....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong pada saiz sederhana, cuci dan toskan*
1 inci halia, tumbuk halus*
3 ulas bawang putih, tumbuk halus*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan perap 1 jam)
2 biji bawang besar
1 inci halia, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 camca besar sos tiram
3 camca besar kicap manis
Garam secukup rasa
Secubit gula
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang putih dan halia hingga harum, masukkan ayam yang diperap tadi dan goreng sekejap hingga 1/2 masak. Masukkan sos tiram dan kicap manis, tuang air dan kacau rata.
  2. Perlahankan api dan renih hingga kuah pekat. Masukkan secubit gula, hirisan bawang besar dan garam jika perlu. Kacau rata, rasa dan jika ok boleh matikan api. Jika ingin kuah, boleh tambah air. Hidangkan bersama bubur nasi atau nasi putih...

BAHAN BUBUR NASI :-)
1 1/2 cawan beras wangi
1 helai daun pandan, disimpul
Sedikit garam
Air secukupnya (1500ml kurang lebih atau secukupnya)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci beras, kemudian masukkan kedalam periuk, tuang air dan masukkan sedikit garam serta daun pandan. Jerang atas api hingga mendidih, perlahan kan api dan biar merenah hingga beras kembang, jika pekat bolah tambah air lagi. Kacau sekali sekala bila beras kembang untuk mengelakkan dasarnya hangus.
  2. Atau anda boleh guna slow cooker untuk memasak bubur nasi. Hidangkan bersama masakan kegemaran anda atau ayam masak halia, telur asin, ikan masin atau apa yang anda fikir sesuai.

MASAKAN KESUKAAN ANAK-ANAK...

rsz_dsc_5833
Habis idea?..Ini kan blog masak2, bukan blog tulis2..jadi apa yang kita masak dan rasa sesuai, boleh lah masukkan dalam blog. Bukan perlu pujian segala, cukup lah sekadar mengingati. Kadangkala dalam hidup ini, kita tak boleh nak pastikan apa yang kita impikan akan tercapai, dan ada masa, kita tak boleh nak jangka sesuatu yang diluar jangkaan berlaku tanpa kita sedar. Syukur alhamdulillah. Pada mat setakat ini mat puas hati dah dengan cara mat berblog. Kali ni hanya entri untuk kanak2. Ayam masak kicap sahaja, cuma tak letak lada hitam, takut anak2 yang tak tahan pedas tak leh nak tahan. Ayam masak kicap cukup sinonim dengan budaya masyarakat kita, terutama orang2 Jawa, wajib ada ayam masak kicap yang agak kering dalam melengkapkan hidangan nasi ambeng. Dan pada mat ayam masak kicap satu masakan praktikal, sebab semua orang suka, dari kanak2 hingga orang dewasa. Senangkan, sekali jalan saja...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong pada saiz sederhana, cuci bersih dan toskan
2 biji bawang besar, hiris bulat
1 inci halia, hiris halus
4 ulas bawang putih, dititik
1 biji cili hijau, belah 2
1 biji cili merah, belah 2
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 camca besar sos tiram
1/2 cawan kicap manis
3 camca besar kicap lemak
Air secukupnya (untuk kuah)
2 batang leek, kerat pendek dan rendam
10 kuntum cendawan butang, belah 2 setiap satu (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dilumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam, gaul rata dan goreng hingga masak, tapi jangan garing. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang putih, halia, kayu manis dan bunga lawang hingga harum. Masukkan sos tiram dan kacau rata. Masukkan ayam, cendawan dan leek (toskan), gaul dan tuang air (anggaran 1/2 cawan). Bila mendidih, masukkan kicap manis dan kicap lemak.
  3. Masak hingga pekat dan tambah hirisan bawang dan cili merah/hijau, masak hingga bawang lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Jika ingin kuah lebih, anda boleh letak air lagi. Boleh hidangkan bersama nasi panas atau bubur nasi..

CEKODOK BAWANG IKAN BILIS DI BULAN FEBRUARI

rsz_dsc_5734
Salam morning pagi...dah sarapan?. pagi ni sarapan cekodok bawang ikan bilis. Kadang2 dah puas bersarapan benda2 aneh, tiba2 nak bersarapan benda2 yang biasa kita makan dedulu. Cekodok bawang ikan bilis ni amat2 lah biasa sangat. Tak letak dalam blog pun takpe, tapi saja lah suka nak letak. Cekodok atau cucur antara hidangan waktu senggang yang boleh dikatakan popular di kalangan orang2 kita. Kalau Kak Ummi buat cekodok pisang bulat2...Mat gebu buat cekodok bawang tak berapa bulat. Mat buat cari sikit dan goreng hingga garing sedikit. Cuma api kita nak kena jaga, kalau tidak cekodok akan melengas dengan minyak. Mat tak letak telur tapi cuma letak 1/4 camca teh baking powder. Mat letak juga sediki bawang goreng, yang ni mat tengok Puan Nanirostam buat, dia letak bawang goreng, wangi okeh cekodok. Resipi pun sebenarnya main agak2, jangan terlalu pekat atau cair sangat. Sedap dimakan bersama sos cili atau sos cili + sos seribu pulau...hehe..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis yang telah dibersihkan, rendam
1 biji bawang besar, hiris halus
1 camca besar penuh bawang goreng
2 cawan tepung gandum
1/4 camca teh baking powder
Garam secukup rasa
2 1/3 cawan air atau secukupnya
Sos kegemaran untuk mencicih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan ikan bilis, perah sedikit, masukkan dalam mangkuk besar bersama bawang hiris dan bawang goreng. Masukkan tepung gandum dan baking powder, gaul rata dan tuang air, kacau hingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair atau yang boleh disudukan.
  2. Tambah garam secukup rasa, kacau rata dan rehatkan sekejap. Panaskan minyak dan sudukan 1 camca besar dalam minyak panas. Buat 8 - 10 biji sekali goreng, bergantung pada saiz kuali. Goreng hingga kuning keemasan pada semua bahagian.
  3. Angkat dan toskan, buat kaedah sama untuk baki bancuhan tadi. Hidangkan bersama sos kegemaran anda samada untuk sarapan atau minum petang.