RESIPI KURMA AYAM MERAH

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni 4 Zulhijjah 1444 Hijrah, tinggal tak lama lagi kita akan menyambut hari raya aidil adha atau hari raya haji/korban. Jadi resipi yang che mat nak kongsikan hari ini kiranya amat bersesuaian sangat lah kalau dimasak masa hari raya nanti. Walaupun resipi ini kita guna ayam, tapi boleh juga gantikan dengan daging lembu atau kambing. Cuma kalau guna daging kambing, halia kena tambah sedikit lagi. Ada yang tanya, kurma tu jadi merah taruk apa? cili kisar ke? Memang ada guna sedikit cili kisar, dan antara bahan yang wajib ada ialah tomato, guna tomato yang betul2 masak ranum dan warna merah. Selain tu, penggunaan sos tomato juga antara faktor yang menjadikan masakan kurma ini sedikit kemerahan. Untuk resipi yang ni che mat guna ayam pencen atau ayam tua. Tapi ayam tu kenalah direbus dulu sampai empuk, kendian baru dimasak kurma. Dalam resipi yang akan ditulis nanti, che mat tulis ayam biasa, sebab itu lebih memudahkan untuk dimasak dan budak2 pun suka, isi ayam daging kan lembut. Kalau dah ada umur macam kami ni, suka isi ayam yang kenyal2 sikit. Maklumlah dah menuju usia warga emas, yea dak. Apa2 pun che mat harap, sudi2lah mencuba resipi kurma ayam merah ini untuk kelainan hidangan di hari raya aidil adha nanti. Sesuai dihidangkan dengan semua jenis nasi, ketupat dan lemang...Jomm kita semak resipi dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam. kurang lebih 1.2 kg, dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan
2 biji kentang saiz besar, dikupas dan potong 4 setiap 1 dan direndam
4 - 5 biji telur, direbus, kupas dan goreng sekejap hingga 'berkulit'
1 biji bawang holland, dibelah 4
2 biji cili hijau, dibelah 2 tapi tak putus setiap 1
2 biji cili merah, dibelah 2 tapi tak putus setiap 1
1/2 cawan santan sederhana pekat (boleh guna susu sejat)
1 camca besar penuh hirisan gula melaka
1 camca besar penuh cili kisar
2 camca besar sos tomato maggi
3 camca besar  rempah kurma (boleh guna jenama adabi, babas dan sebagainya)
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya
1 camca besar penuh minyak sapi
Minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras, dihiris
2 batang serai, dihiris
2 biji tomato yang masak ranum

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah, hiris halus
1 ulas bawang putih, hiris halus
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
3 biji buah pelaga*
5 kuntum bunga cengkih*(*rempah 4 sekawan)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1/3 cawan minyak dan masukkan minyak sapi. Bila minyak sapi cair, tumis rempah  4 sekawan hingga wangi, masukkan hirisan bawang merah, bawang putih dan daun pandan. Tumis hingga bawang keperangan, gunakan api sederhana. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masak hingga terbit minyak. Tambah sos tomato dan juga rempah kurma. Kacau rata dan masukkan sedikit air panas. Masak lagi hingga pecah minyak dan tambah lagi sedikit air panas. Lakukan proses ini sebanyak tiga kali. Masukkan ayam dan kentang (toskan dulu air rendamannya), gaul rata dan masak hingga ayam kecut.
  3. Tuang air panas secukupnya hingga ayam tenggelam. Masak hingga menggelegak kendian kecilkan api dan biar mendidih perlahan hingga kentang dan ayam empuk. Masukkan santan (atau susu sejat), kacau dan masak hingga kuahnya pekat. Boleh tambah sedikit air panas jika perlu.
  4. Tambah gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Masukkan telur rebus, bawang holland, cili hijau dan cili merah, kacau perlahan dan masak hingga bawang holland lembut. Akhir sekali masukkan daun ketumbar yang dihiris kasar, kacau perlahan dan sesuaikan rasa, jika ok boleh matikan api dan boleh hidangkan. Selamat mencuba!..
CATATAN MAT GEBU :- Telur tu kalau tak goreng boleh tak? Kalau tak nak goreng pun boleh, tapi kalau digoreng sedikit, kuah masak kurma merah tu elok melekat pada telur, bukan setakat nak masak kurma saja, kalau nak buat sambal tumis pun, telur elok digoreng sedikit, baru lah molek sambal dia melekat, takde lah melurut jatuh bila di kita cedok...

Post a Comment

1 Comments

  1. tq che mat share resepi.buntu nak fikir nak masak apa tiap hari

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.