RESIPI KERABU BABAT SAMA TAUGE

Assalammualaikum, salam sejahtera semua. Hari ni che mat curi sedikit masa untuk kemas kini blog. Kali terakhir ada resipi dalam blog tiffinbiru ini pada 1 Januari 2023 , iaitu dua belas hari lepas. Kadang2 mood nak berblog pun amat tak memberangsangkan mungkin sebab faktor usia yang semakin meningkat. Oh yea, 8 hb tu hari che mat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 47.. tua dah, rasanya dunia dah mula tolak che mat sedikit demi sedikit. Apa pun kita hanya mampu berdoa dan pendek atau panjang usia kita, itu urusan Allah swt, yang penting selagi ada usia, kita berbuat baik lah. Untuk perkongsian hari ini, che mat kongsikan resipi mudah sebagai pembuka selera iaitu kerabu babat sama tauge. Resipi ini amat mudah dan insha Allah sedap dimakan dengan nasi panas atau pun boleh diratah macam tu saja. Menghasilkan kerabu yang sedap ini sebenarnya tiada petua yang khusus, semuanya bergantung pada selera masing2, apa yang penting kerabu mesti ada rasa masam, masin, sediki manis dan tahap kepedasan bergantung pada citarasa masing2. Aroma kerabu datang dari herba2 yang kita guna seperti bunga kantan, serai, daun limau purut dan sebagainya. Lemak pulak dari kelapa goreng atau ada yang suka masukkan sedikit pati santan. Kerabu sedap dimakan sejurus kita buat atau boleh juga disimpan dalam peti sejuk sekejap sebelum dihidangkan. Kalau nak mencuba, meh che mat kongsikan resipi kerabu babat sama tauge di bawah ni...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan atau secukupnya, babat lembu yang telah direbus dan dipotong kecil
200 gram tauge, cuci dan toskan
1 kuntum bunga kantan, dimayang halus
1 biji bawang besar, dimayang halus
3/4 cawan kelapa parut
Jus limau nipis secukupnya
1 camca teh pes asam jawa adabi
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
4 biji bawang merah kecil
1 biji cili merah
10 biji cili padi kampung
Belacan sebesar hujung ibu jari, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan tauge dalam tapis, kendian siram rata2 dengan air panas mendidih, ketepikan dan biar tauge sejuk. Kelapa parut digoreng hingga kekuningan, pastikan jangan sampai hangus. Kemudian tumbuk hancur, tak perlu tumbuk sampai halus. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk besar, masukkan bahan2 tumbuk hancur, pes asam jawa, sedikit garam dan gula. Kacau hingga semua rata. Tambah kelapa goreng yang telah ditumbuk tadi, gaul. Masukkan bunga kantan, bawang besar, babat dan taugeh. Gaul hingga semua rata.
  3. Masukkan jus limau nipis dan sesuaikan rasa. Tambah apa yang perlu, maksudnya kalau kurang masin, tambah garam dan jika kurang masam, tambah lagi jus limau nipis. Bila rasa dah ok, boleh hidangkan sebagai pembuka selera. Selamat mencuba!

Post a Comment

3 Comments

  1. Alhamdulillah selamat ulang tahun che mat. Semuga sentiasa dalam redho Allah dan kasih sayang Allah selalu hendakNYA.

    ReplyDelete
  2. alaa tak reti makan babat... 😆

    ReplyDelete
  3. terima kasih che mat atas resipinya. Taklah tua, biasa2 jee hehe

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.