RESIPI KERABU JANTUNG PISANG ALA NYONYA

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni pakcik dalam mood memasak yang mudah2 saja. Tapikan kerabu jantung pisang ni walaupun nampak mudah, tapi takde lah berapa nak mudah sangat, cuma berbaloi lah rasa dia bila dah siap. Kebetulan tu hari masa che mat masak gulai pisang muda sama cendawan kukur, abang long ambik sekali dengan jantung pisang (jenis pisang kapas). Terus che mat plan nak buat kerabu, tapi kalau tu jam nak buat nanti tak habis pulak memandangkan gulai pisang tu seperiuk banyaknya. Maka ditundakan pembuatannya hingga ke hari ini. Alhamdulillah jantung pisang masih ok dah tak kecut. Ada macam2 jenis resipi kerabu jantung pisang, mungkin orang2 belah pantai timur lain resipi mereka, begitu juga orang2 utara atau selatan. Kali ni che mat buat kerabu jantung pisang ala nyonya, iaitu dari kaum peranakan baba nyonya. Mereka ni antara kaum yang terkenal dengan kepelbagaian masakan fusion gabungan antara masakan cina, melayu, india dan barat. Resipi yang che mat cuba ni asalnya dari Chef Florence Tan, chef nyonya yang terkenal sejak tahun 90an hingga sekarang. 

Ianya satu resipip pembuka selera yang begitu enak, selain makan dengan nasi, boleh juga diratah macam tu saja. Resipi che mat tak ubah apa pun cuma kalau resipi asal guna udang hidup, tapi kami gantika dengan isi kerang (ikut apa yang ada di rumah). Satu lagi, bila buat kerabu, rasa memainkan peranan yang amat penting, maksudnya sukatan rasa masam, manis, masin dan pedas tu ikut selera masing2, mana yang rasa kurang, boleh tambah. Jadi tak perlu terikat dengan resipi sangat. Ada juga yang tanya che mat, kalau buat kerabu ni, lauk apa lagi yang sesuai untuk digandingkan. Pada pendapat che mat lah, menu macam ni tak perlu lauk2 yang 'mewah' sangat, gandingkan dengan ikan/ayam goreng dan sambal belacan pun dah ok sangat. Kalau nak boleh topup dengan telur dadar. Yang penting nasi tu mesti panas2, baru lah terangkat bila makan. Eh, cerita2 ni lapar pulak rasanya, jomm semak resipi di bawah ni, nanti boleh cuba buat..

BAHAN-BAHANNYA ;-)
1 biji jantung pisang kapas (boleh guna jantung pisang nipah atau pisang hutan)
1 keping asam gelugor
1 kuntum bunga kantan, hiris halus
1 batang serai, ambil bahagian putihnya dan hiris halus
5 biji bawang merah kecil, hiris halus
5 - 6 biji cili padi, hiris halus
3 helai daun limau purut, buang tulang tengahnya dan hiris halus
1/3 cawan isi kerang yang telah dicelur
1/3 cawan pati santan
Garam dan gula secukup rasa
4 - 5 biji limau kasturi, perah jusnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
2 biji cili merah
1 inci belacan dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Didihkan air dalam periuk hingga menggelegak, masukkan asam glugor. Jantung pisang dikupas kulitnya hingga jumpa bahagian bewarna cerah. Cucin, belah 4 dan terus masukkan ke dalam air yang menggelegak tadi. Rebus jantung pisang hingga lembut. Kendian toskan dan biar hingga jantung pisang sejuk.
  2. Sementara itu, masukkan santan ke dalam periuk kecil. Tambah bahan2 tumbuk halus dan kacau rata. Masak dengan api kecil hingga santan suam, tak perlu sampai mendidih. Perasakan dengan garam dan gula, biarkan sejuk.
  3. Jantung pisang diperah sedikit dan hiris halus, masukkan ke dalam bekas besar bersama dengan hirisan bunga kantan, hirisan serai, bawang merah hiris, kerang rebus, daun limau purut dan cili padi hiris. Gaul rata dan tuangkan bancuhan santan tadi, gaul sebati.
  4. Masukkan jus limau kasturi secukupnya (yang ni ikut selera masing2 , nak masam, tambah lebih nak kurang masam, taruk sikit). Kalau suka sedikit manis, boleh tambah sedikit gula. Gaul rata dan boleh hidangkan, atau disimpan dalam peti sejuk sekejap dan baru dihidangkan. Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. Sejak arwah Mak aku takde, nak makan jantung susahnya laa, biasa belakang uma Mak je Mat ada.. nak beli, selalu dapat tak elokk, dah hitammm

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.