RESIPI ACAR IKAN MASIN

Assalammualaikum, salam semua. Sebelum che mat mulakan menulis resipi hari ini, che mat nak ucapka terima kasih pada yang masih sudi memberi sokongan pada blog tiffinbiru ini. Bulan Jun lepas pada tarikh 29 hb, 2022, blog tiffinbiru meraikan ulang tahunnya yang ke 15, alhamdulillah. Kalau budak dah masuk tingkatan 3, dah besar panjang gamaknya. Tapi che mat bersyukur sangat2, dengan adanya blog ini, tak sikit banyak dia dapat merubah sifat diri, dari yang agak tertutup, kepada lebih terbuka dalam menerima kehadiran sahabat2 alam maya. Cukup setakat itu saja, kita mulakan dengan kesah resipi acar ikan masin yang che mat akan kongsikan nanti. Resipi ini pernah ada dalam blog tiffinbiru dan ianya dari sorang kenalan FB che mat, Paun Monaliza atau lebih mesra dengan panggilan kak mona. Wajah kak mona persisi wajah arwah Noreen Noor (al-fatihah), artis tahun 80an dulu, malah mereka berdua berkawan rapat. Dan resipi ini asalnya dari arwah Noreen Noor dan dikongsikan oleh Kak Mona...Alhamdulillah, moga arwah mendapat pahala jariah dengan perkongsian ini...aminnn...

Mungkin ada ramai yang berkongsi resipi acar ikan masin di media2 sosial, tapi tak semuanya sama, terutama penggunaan bahan2 dalam rencahnya. Che mat sudah 2 - 3 kali rasanya buat acar ikan masin resipi arwah, dan memang kena pada tekak kami. Ikan masin tu ikut pilihan masing2, tapi seelok2nya gunalah isi ikan masin sahaja seperti ikan talang, ikan merah, ikan kurau dan sebagainya. Untuk yang ni che mat guna isi ikan kurau masin dan kami tambah sedikit lobak asin dalam dia. Satu yang perlu bila kita buat acar ikan masin ni, minyak perlu lebih, sama seperti acar buah. Ini salah satu cara agar acar kita lebih tahan lama. Masa nak makan tu boleh cedok isi dia saja, yang minyak dia toksah ambik. Acar yang telah sejuk, kita boleh simpan dalam botol (pastikan botol tu kering dan bersih). Dan taruk dalam peti sejuk agar tahan lebih lama. Nak cuba buat sendiri? Kalau nak, jomm semak resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram isi ikan kurau masin 
1/2 cawan lobak asin yang telah dipotong kiub
10 ulas bawang putih, dibelah 2 setiap 1
10 ulas bawang merah, dibelah 2 setiap 1
10 biji cili padi merah
10 biji cili padi hijau
2 tangkai daun kari(optional)
2 - 3 camca besar penuh gula atau secukup rasa
2 camca besar gula melaka
1/4 cawan cuka makan Jalen
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 camca besar cili kisar

BAHAN-BAHAN REMPAH :-)
1 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan manis
1 camca teh jintan putih
1 camca teh halba
1 camca teh biji sawi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kurau masin dipotong dadu, tapi jangan kecil sangat. Cuci dan rendam sejam dan setiap 20 minit, tukar air rendamannya. Begitu juga lobak asin, direndam kurang lebih 30 minit, cuci dan toskan. Sementara itu, goreng tanpa minyak kesemua bahan2 rempah, goreng hingga harum kendian kisar kering hingga halus. Ketepikan. Ikan masin kurau ditoskan dan goreng hingga garing, angkat dan toskan. Goreng juga lobak asin untuk 2 - 3 minit, angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3/4 cawan. Tumis bahan kisar hingga wangi, masukkan bahan2 rempah, kacau dan masak hingga garing. Tuang cuka makan dan kacau rata. Masukkan bawang merah dan bawang putih, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah gula melaka dan masak hingga gula larut.
  3. Masukkan ikan masin dan lobak asin tadi, kacau rata dan masak dengan api kecil. Tambah cili padi merah dan hijau, masukkan garam dan gula pasir secukupnya. Rasa dulu, acar mesti ada rasa masam, masin, manis dan sedikit pedas. Kacau dan masak hingga pekat, sesuaikan rasa dan jika ok boleh matikan api. Biarkan sejuk sebelum disimpan dalam botol yang kering dan bersih atau di dalam bekas kedap udara. Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. Teringin juga aku nak buat acar gini Mat, nanti nak try laaaa

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.