RESIPI PUFF KELADI @ TARO PUFF

RESIPI PUFF KELADI @ TARO PUFF

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat cuba sesuatu yang baru tapi sebenarnya resipi ini dah lama didominasi oleh masyarakat cina. Taro puff atau puff keladi menjadi hidangan di restoran2 mewah mereka. Che mat pun sebenarnya tak plan nak buat. Tadi masa kemas2 peti sejuk, terjumpa keladi 2 ketul yang siap dikupas kulitnya. Menjadi kebiasaan, kalau beli keladi, che mat akan kupas kulitnya dan simpan dalam peti sejuk, lepas kupas tu toksah dicuci, nanti keladi jadi berlendir. Terus bungkus dengan kertas dan simpa dalam peti sejuk. Keladi masih lagi dalam keadaan elok walaupun dah seminggu tersimpan. Sebenarnya berdebar2 juga nak mencuba buat puff keladi ni, maklumlah pertama kali. Kalau tengok gambar2 di internet dan youtube, hasilnya cukup cantik, bersarang dan rangup diluar, tapi moist didalamnya. Bila mencuba sesuatu yang baru, jangan letak harapan terlalu tinggi yang hasilnya jadi seperti yang kita hendaki. Maklumlah percubaan pertama kan. Walau bagaimana pun, hasilnya boleh dikatakan ok dan berpuas hati juga lah, walaupun bahagian luarnya tidak berapa besarang macam sarang burung. Mungkin juga bergantung pada jenis keladi yang kita gunakan barang kali. yea dak....saja nak sedapkan hati....

RESIPI PUFF KELADI @ TARO PUFF

Untuk intinya che mat guna daging cincang brand Ramly, boleh juga guna daging ayam. Kalau nak guna daging kambing pun tak salah. Disebabkan resipi ini orang cina yang biasa buat, jadi mereka ada tambah rempah 5 atau 5 spices powder. Che mat memang takde stok rempah tu kat rumah, jadi che mat gantikan dengan serbuk buah pala dan untuk inti dia, cuma masukkan serbuk lada hitam. Tapi sedap wak rasa dia, kiranya kalau takde rempah 5 tu pun boleh buat juga. Tak boleh buat sendiri ke rempah 5 tu? Sebenarnya boleh tapi biasanya orang cina akan guna satu lagi bahan sebagai campuran iaitu shicuan peppercorn, yang tu che mat takde, jadi kurang lengkap lah. Tapi lagi senang beli yang ready made kat pasaraya. Satu lagi bahan penting untuk intinya, ialah cendawan shitake, kalau takde, guna cendawan butang pun boleh. Sebenarnya inti dia tu boleh buat ikut selera kita...Toksah risau lah...


Dan ini salah satu bahan harus ada, kira terpenting, iaitu kanji gandum atau wheat starch. Boleh beli kat kedai menjual bahan2 baking atau macam yang dalam gambar tu, brand cap bintang, che mat beli kat Tesco. Jangan tanya che mat, boleh ke tukar dengan tepung lain, tepung jagung kaa, tepung ubi atau tepung sago. Sebab ikut resipi memang guna kanji gandum. Tak berani nak tukar2, lagi pun che mat baru pertama kali buat, mana boleh derhaka resipi, yea dak, takut menyeman nanti, tak menjadi kang, penat saja. Tapi kalau ada yang nak buat dan berani cuba guna tepung kanji jenis lain, lepas tu menjadi dengan elok, boleh lah kongsikan nanti yea. Ok, jomm kita semak resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHAN INTI  :-)
300 gram daging kisar
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, dicincang
5 biji cendawan butang, didadu
1/3 cawan mix vege - kacang pis, lobak merah dan jagung
1 camca teh penuh lada hitam kisar
1 camca besar penuh sos tiram
1 1/2 camca besar tepung jagung*
1/4 cawan air*(*disatukan dan kacau rata)
1 camca besar kicap cair
1 pokok daun bawang, hiris halus

BAHAN-BAHAN KULIT :-)
600 gram keladi yang telah siap dikupas kulitnya
1 camca teh garam
1 camca teh gula
1 camca teh serbuk buah pala
1 camca teh serbuk lada sulah
4 camca besar rata tepung kanji gandum
3 camca besar air panas mendidih
1/4 cawan mentega

CARA MEBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTINYA :- Panaskan kuali, masukkan daging kisar dan goreng tanpa minyak hingga  air daging kering. Tolak daging ke tepi kuali, masukkan 2 - 3 camca besar minyak masak dan tumis bawang holland hingga layu, masukkan bawang putih dan masak hingga wangi, Gaul rata dengan daging tadi. Masukkan cendawan dan mix vege, kacau rata. Tambah soso tiram, serbuk lada hitam dan kicap cair. Kacau rata dan masak dengan api sederhana. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung (kacau dulu bancuhan tepung jagung sebelum dituang ke dalam kuali). Gaul rata dan masak hingga kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biarkan sejuk dan masukkan hirisan daun bawang, gaul rata dan ketepikan.
  2. UNTUK KULIT PUFF :- Keladi dipotong kecil, cuci dan toskan. Kemudian kukus hingga lembut, kurang lebih 20 minit. Masukkan keladi kukus dalam mangkuk besar, tambah garam, serbuk buah pala, gula dan serbuk lada sulah. Lecek keladi tadi hingga lumat dan gaul rata. Sementara itu dalam mangkuk lain, bancuh tepung kanji gandum dengan air panas dan kacau rata hingga bertukar seakan2 doh. Masukkan ke dalam mangkuk berisi keladi lecek tadi, gaul hingga sebati. Akhir sekal masukkan mentega, gaul hingga rata. Adunan lembik sedikit, tapi jangan tambah apa2 tepung. Rehat kan adunan sekejap, dalam 15 minit.
  3. UNTUK PUFF KELADI @ TARO PUFF :- Bahagikan adunan tadi kepada 18 atau 20 bahagian, bulat2kan, sapu tapak tangan dengan sedikit tepung gandum agak tidak melekat. Ambil satu bahagian, leperkan dan isi dengan 3/4 camca besar inti (atau mengikut kesesuaina), kemudian tutup inti dan kemaskan, bentukkan bujur memanjang. Susun dalam bekas yang ditabur dengan sedikit tepung gandum. Buat kaedah sama untuk bagi adunan dan inti hingga selesai.
  4. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Goreng 2 - 3 biji sekali dan biarkan seminit dua baru dibalikkan agar puff keladi tidak pecah. Goreng hingga kuning keemasa, angkat toskan minyaknya dan letak atas tissue dapur agar lebihan minyak terserap. Hidangkan puff keladi panas untuk minum petang, boleh juga dicecah dengan sos cili jika suka. Baki puff keladi boleh disimpan dalam peti sejuk untuk digoreng kemudian. Selamat mencuba!

Post a Comment

2 Comments

  1. Takleh jadi ni! Esok juga nak cari bahan untuk buat 😅

    ReplyDelete
  2. mcm senang nak buat tapi sisyat ni tangan keraih..xtahu la boleh jadi roti ke tidak :-)

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.