RESIPI ROTI PULLMAN DAN KARI SARDINE

RESIPI ROTI PULLMAN DAN KARI SARDINE

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat teringin sangat nak makan kari sardine, maka pagi tadi, ha ah wak, seawal pagi dalam jam 7 macam tu che mat dah on masak kari sardine, punyalah bersemangat. Kari sardine ni lawanya kentang lah yang paling ngam, selain tu cempak masuk juga tomato dan cili hijau./merah yang dibelah. Dah siap kari sardine, eh, teringin pulak nak makan roti, kalau dapat roti paun Salahudin Jalan Dhobby, Johor Bahru pun sedap jugak, tapi jauh pulak nak pi. Takpe, jomm kita buat roti. Beberapa hari lepas, che mat ada singgah IG Kak Jun di sini. Dan ternampak Kak Jun buat roti pullman. Roti pullman ni seakan2 roti bai atau roti benggali juga, tapi dibakar dalam tin yang ada penutup, maka hasil roti tadi elok lah jadi seketul macam roti gardenia tu, macam roti sandwich. Bahan2 pun tak banyak dan semuanya bahan2 asas buat roti. Yang paling che mat suka, dia tak guna telur. Roti pullman ni memang sedap, makan panas2 sapu butter dan jem atau pun cicah kari sardine, paling koman pun cicah kopi O panas, ye Allah, heaven sangat, betul tak cakap tipu ni..

RESIPI ROTI PULLMAN DAN KARI SARDINE

Kari sardine tu che mat guna 1 tin sardine cap ayam yang leper, tapi bukan tin besar, tin sedang. Terpulang pada masing2 nak guna sardine cap apa pun boleh. Tapi che mat suka cap ayam. Satu lagi ada dua jenis sadine, satu dia guna ikan sardine, satu lagi ikan mackeral. Yang guna ikan sardine tu lagi sedap, ikan dia tak keras dan saiz dia pun elok. Kalau ikan mackeral agak besar dan chuncky isi dia. Satu lagi rasa isi dia macam tawar sikit. Roti ni kalau tak habis dan cara nak simpan dia, kita bungkus dalam plastik atau taruk dalam bekas kedap udara, kalau biar terdedah kena udara, roti akan jadi keras. Kecuali kalau nak buat biskut roti, yang tu ok kot, kalau dibiarkan kena angin. Tinggal potong kecil, sapu sediki majerin, tabur gula pasir dan bakar dalam oven dengan suhu rendah hingga roti jadi garing seperti biskut....ish, sedap pulak kan...Nak buatlah nanti...Tapi buat masa sekarang, che mat kongsikan resipi roti pullman dan kari sardine....Jommm semak resipi..

RESIPI ROTI PULLMAN (KAK JUN)

BAHAN-BAHANNYA :-)
330 gram tepung roti (high protein flour)
30 gram gula kastor
1/2 camca teh garam halus
1 1/2 camca teh instant yeast
190 ml susu segar (4 camca besar susu segar + air ais, jadikan 190 ml)
25 gram shortening (lemak sayur), boleh guna mentega atau majerin

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mixer, satukan tepung roti, gula kastor, garam dan instant yeast, gaul rata. Pasangkan pengcangkuk doh dan putar rata. Tuang susu segar sedikit demi sedikit dan putar perlahan hingga adunan menjadi doh yang sekata. Masukkan lemak sayur dan terus memutar pada kelajuan sederhana hingga doh roti kenyal, licin dan elestik. Uji dengan menggunakan teknik menarik sedikit adunan doh, jika doh tidak koyak, tanda dah doh dah ok. Jika koyak, tambah masa menguli. Kalau guna mixer, kurang lebih 15 mint. Kalau  uli guna tangan kurang lebih 25 minit. Lebih mudah jika ada breadmaker, masuk semua bahan2 dalam tu dan pilih setting untuk doh, dan breadmaker akan lakukan kerja menguli dan memerap.
  2. Perap doh tadi lebih kurang 30 minit  (che mat perap 45 minit). Keluarkan doh, tumbuk perlahan untuk membuang udara, bulat2kan doh dan rehatkan sekejap dalam 15 minit. Sementara tu, sediakan 2 tin berukuran 8 x 4 x 4 inci, sapu kan dengan majerin dan ketepikan.
  3. Keluarkan doh, bahagikan kepada 2 bahagian sama. Ambil 1 bahagian, tekan2 sedikit biar leper, kemudian gulung doh ketat2 seperti membuat swissroll, kemaskan dan masukkan ke dalam tin. Buat kaedah sama untuk baki doh. Perap 45 minit atau hingga naik sekali ganda (che mat perap 1 jam).
  4. Panaskan oven pada suhu 200C selama 15 minit. Dan bakar roti tadi pada rak bawah selama 25 - 30 minit, bergantung pada oven masing2. Che mat suka roti yang sedikit garing dengan bahagian atasnya sedikit gelap. Bila masak, keluarkan roti dari tin dan sejukkan atas jaringan. Boleh hidangkan.

RESIPI KARI SARDINE

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin sardine cap ayam leper (saiz sederhana)
2 biji kentang saiz sederhana, kupas dan potong 8 setiap 1, rendam
1 biji tomato, belah 4
1 biji cili merah, belah 2
1 biji cili hijau, belah 2
1/2 camca besar pes asam jawa
1 camca besar sos cili
2 camca besar penuh rempah kari ikan babas
2 camac besar cili kisar
Garam secukup rasa
1/4 cawan santan
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
Secubit belacan

BAHAN-BAHAN TUMIS DARAT :-)
1 camca teh halba campur
2 tangkai daun kari, dilurut
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
4 camca besar minyak masak

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan ikan sardine dari kuahnya. Sementara itu satukan bahan2 tumbuk halus dengan rempah kari, kacau rata dan tambah sedikit air jika perlu. Kacau hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk anggaran 1/4 cawan. Tumis pes rempah hingga wangi, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing. Masak dengan api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tambah sos cili, kuah sardine dan pes asam jawa, kacau rata dan masak sekejap hingga naik minyak. Masukkan kentang, toskan dulu air rendamannya. Gaul rata dan masak sekejap. Tuang air hingga kentang tenggelam. Masak hingga kentang empuk.
  3. Masukkan ikan sardine, kacau perlahan dan tuang pati santan. Boleh tambah sedikit lagi air panas jika suka lebih kuah. Biarkan mendidih, perasakan dengan garam secukupnya. Masukkan tomato dan cili belah, dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. Sementara itu, dalam kuali bersih, panaskan 4 camca besar minyak, dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu, masukkan dan kari dan halba campur, masak hingga daun kari garing dan halba campur wangi serta bawang menjadi perang. Kemudian tuang kesemuanya ke dalam peruk kari sardine, tutup periuk dan biarka 10 minit. Kemudian kacau perlahan dan boleh hidangkan dengan roti...Selamat mancuba!

RESIPI ROTI PULLMAN DAN KARI SARDINE RESIPI ROTI PULLMAN DAN KARI SARDINE Reviewed by Mat Gebu on 12/05/2020 05:30:00 PM Rating: 5

No comments:

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.