Assalammualaikum, salam Khamis semua dan selamat berpuasa sunat bagi mereka yang berpuasa termasuk bonda che mat. Dah lama tak bikin kuih2 tradisional. Bukan tak nak cuma che mat rasa tak berapa rajin sangat. Kalau buat tu nanti 2 hari pun belum tau habis. Lagi pun bila dah tua2 ni, nak makan kuih-muih yang 'kaya-kaya' agak seram juga. Hari ni che mat ada rajin sikit, walaupun peratus dia tak banyak. Semalam bonda ada juga sebut2 pasal kuih onde2, dan biasanya dia tak panggil onde2, tapi bonda panggil kuih 'kelepong'. Jadi che mat korek2 dalam peti sejuk, ada belen tepung pulut yang masih elok, kalau dah hapak buang ajer, toksah bikin, nanti rasa dia tak sedap. Kuih tradisi ini agak mudah dibuat dan tidak memerlukan bahan2 yang banyak.
Resipi bergantung pada masing2, ada yang suka masukkan sedikit tepung gandum dalam adunan untuk mendapat onde2 yang bulat, ada yang suka campurkan labu. Tapi pada che mat, suka guna 100% tepung pulut dan guna jus pandan untuk mendapat warna hijau dan aroma yang harum. Kalau campur labu, onde2 anda akan bewarna keorenan, cantik juga dan kalau tak suka apa2, boleh saja buat onde2 putih, cuma bila dah bersalut kelapa parut, tak berapa menyerlah sangatlah. Che mat guna kurang lebih 500 gram tepung pulut dan banyak mana anda dapat tu bergantung pada saiz onder2 yang anda gentel. Bagi yang nak mencuba dan rasa banyak sangat, anda boleh buat 1/2 dari resipi dibawah..
BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram tepung pulut
4 helai daun pandan, potong kecil*
1 /2 cawan air*(*kisar dan tapis jusnya)
1 cawan air (lebih kurang)
Gula melaka dipotong kiub (sebesar hujung jari), secukupnya
Kelapa parut putih secukupnya
Garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA :-)
- Didihkan air dalam periuk, masukkan sehelai daun pandan, jika suka. Tepung pulut dimasukkan ke dalam mangkuk adunan. Buat lubang ditengah2 tepung dan tuang jus daun pandan, gaul rata. Tambah air sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang tidak melekat ditangan dan mangkuk adunan. Ketepikan.
- Gaul kelapa parut putih dengan sedikit garam atau secukup rasa (untuk mendapat rasa lemak kelapa). Alihkan kelapa parut tadi ke dalam loyang dan ratakan. Tujuan untuk memudahkan anda menggolekkan onde2 nanti. Ketepikan.
- UNTUK ONDE-ONDE :- Ambil sedikit adunan doh (anggaran 1/2 camca besar), leperkan dan masukkan satu kiub gula melaka, tutupkan guna melaka dengan doh dan bulat2kan seperti guli. Masukkan ke dalam air mendidih. Buat 10 - 15 biji sekali rebus.
- Bila onde2 timbul pada permukaan air mendidih, biarkan dalam 30 saat lagi, cedok keluar , toskan airnya (gunakan sudip berlubang) dan taruk dalam loyang berisi kelapa parut tadi. Golek2kan agar onde2 bersalut dengan kelapa. Alihkan ke dalam pinggan bersih. Buat kaedah sama untuk baki bahan2 hingga siap. Biar sejuk dan boleh dihidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Pastikan anda tidak menindih kuih yang baru disalut dengan kelapa untuk mengelakkan onde2 anda penyek. Susun sebiji2 atas pinggan atau dulang hingga sejuk. Kalau dah sejuk kuih lebih kenyal dan anda boleh susun bertindih. Satu lagi nak pesan, jangan makan masa panas, dikhuatiri gula melaka yang cair dalam kuih tadi akan mencederakan mulut anda!....Selamat mencuba!!..
4 Comments
fevereetttttt ever!
ReplyDeleteSedap sungguh layan kuih ni waktu petang dengan kopi O sambil tengok hindustan.
ReplyDeletelama tak buat kuih ni...bestnya
ReplyDeleteSalam Cik Mat, emak saya orang Melaka pun sebut kuih kelepong. Pakai 100% tepung pulut yang paling sedap pada saya.
ReplyDelete