rsz_dsc_2371
Salam semua, dah makan?..Mat hari ni masak satu masakan yang mudah tapi sungguh sedap (erkk...sori lah, aku yang masak, opkos kena puji sendiri, yea tak, dah mak aku pun kata sedap). Cuma yang tak makan tempoyak ai very sorry lahh tamby. Kali ni nak habis kan baki ikan tenggiri dan ada sebiji timun dalam peti sejuk. Asyik nak masak asam pedas, dah jemu, jadi apa kata kita cuba test satu resipi yang secara tak sengaja terlintas di kepala mat. Masak dia amat2 mudah, janji tempoyak ada. Serai dan daun kunyit tu wajib lah. Mat guna cili padi kampung, guna cili padi yang merah sahaja untuk mendapat kuah yang menarik dan rasa yang "matang". Sedap dimakan panas bersama nasi dan ulam2. Selain ikan tenggiri, ikan kembong juga sesuai atau apa2 ikan yang berdaging. Ok kita semak resipi pulak....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 keping ikan tenggiri (atau ikan pilihan anda)
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
1 camca besar penuh tempoyak
1 kiub ikan bilis (optional)
1 biji timun, belah 4, buang biji dan kerat
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 genggam cili padi kampung merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis serai dan bahan tumbuk halus hingga harum. Masukkan tempoyak dan kacau rata, tuang air secukupnya dan kacau lagi. Biar mendidih.
  2. Masukkan asam gelugor, kiub ikan bilis dan ikan, tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Jika kurang kuah tambah sedikit air lagi. Akhir sekali masukkan timun dan daun kunyit. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain.