Rendang Ala Nyonya
As'laikumm, yuu huu buat apa tuu...Hari2 Sabtu ni mesti masing2 ada agenda tersendiri, tapi tak juga, memandangkan anak2 bersekolah ganti untuk Chinese New Year, kena lah hadkan aktiviti luar. Hari ni mat masak rendang mudah, iaitu rendang ala nyonya. Hendak menghabiskan stok ayam dalam peti sejuk dan juga sebagai pelengkap nasi jagung (resipi di bawah). Masakan ni senang, lagi satu kalau lah tak nak guna santan, boleh ganti dengan susu cair, macam resipi hari hari ni mat guna susu cair, baki dari masak nasi jagung tadi. Rasanya tetap meletopssss!!!...

Rendang Ala Nyonya
Kalau diperhatikan masakan peranakan ni tak lari dari penggunaan rempah ratus macam orang2 melayu juga, lepas tu santan, belacan, daun limau purut tu semua boleh dikatakan wajib dalam satu2 resipi. Lagi satu, orang2 peranakan depa tak guna kerisik macam kita, tapi depa guna kelapa parut yang digoreng tanpa minyak hingga kuning keemasan dan ditumbuk kasar. Kalau kerisik, ditumbuk hingga keluar minyak. Yang paling utama, buah keras atau omputeh dok gelar "candle nut"..yang tu mesti ada, tak sah kalau tak letak dalam gulai2 mereka... Jom pantun kejap:-)

BUNGA TELANG BEWARNA BIRU,
MARI DIISI KE DALAM SAKU,
WALAUPUN ZAMAN BERGANTI BARU,
MASAKAN NYONYA TETAP DI HATI KU.

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ayam, potong ikut suka, cuci dan toskan
250 ml santan (mat guna susu cair jeee)
3 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, hiris halus
2 keping asam gelugor
2 camca besar kelapa goreng yang ditumbuk kasar (guna kerisik pun ok)
1 1/2 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
700 ml air
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
6 biji cili merah*
10 biji bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1/2 inci belacan*
3 biji buah keras*
1 1/2 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan halus*
1 camca teh jintan kasar*
1 inci kunyit hidup*
1 inci lengkuas*
1/2 camca teh lada hitam biji*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan kayu manis, bunga lawang, bahan2 kisar dan daun limau purut. Tumis hingga terbit minyak. Masukkan ayam tadi, gaul rata dan masak hingga ayam kecut.
  2. Tuang santan (atau susu) dan air, kacau rata. Masak hingga kuah pekat sedikit. Masukkan gula melaka, garam secukup rasa, asam gelugor dan kelapa goreng tumbuk. Gaul rata. Kecilkan api dan masak hingga hampir kering.
  3. Rasa dan jika perlu tambah sedikit lagi garam. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit, kacau dan matikan api. Hidangkan bersama nasi jagung tadi. Sedap dimakan bersama nasi putih, roti dan lain2....