RESIPI MI SIAM BERKUAH

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat curi2 masa sikit untuk update blog. Puas juga fikir nak masukkan resipi apa lah hari ni, sebab hari2 masak menu yang ringkas dan semua orang dah biasa masak. Lagi pun kat rumah cuma tinggal kami bertiga, masak pun tak boleh meriah sangat. Tu pun kadang2 nasi dua hari baru habis, lauk pun macam tu juga. Jadi che mat ambil pendekatan, masak sikit2 kalau menu 2 - 3 jenis, setiap satu memang kuantiti dia sedikit. Hari ni che mat buat mi siam berkuah atau ada yang panggil mi siam Singapore. Orang peranakan baba nyonya pun suka mi siam ni. Kalau orang cina, bila masak mi, terutama untuk sambut hari lahir, pantang bagi mereka kalau mi tu dipotong pendek, konon2nya bila mi panjang, usia pun boleh panjang macam mi tu juga. Tapi ada bahayanya, kalau yang makan tu gigi kurang, mau tercekik jadinya, silap hari bulan dari nak usia panjang, terus jadi usia penden, mati tercekik, hahaha. Apa2 pun itu kepercayaan mereka, dan kita sebagai umat islam kenalah hormat, yea dak. Apa tah lagi hidup kat Malaysia ni, masyarakat berbilang kaum dan agama.

Bercerita pasal mi siam berkuah ni, ada macam2 cara dan resipi. Senang cakap che mat buat versi yang paling mudah dan sedap. Walaupun nampak rumit, tapi percayalah, ianya berbaloi. Resipi ini boleh dimakan untuk 4 - 5 orang macam tu. Dan che mat hanya guna 200 gram mi hoon mentah. Bahan utama dia mesti nak ada tauco dan paling utama kuah mi siam tu harus ada rasa macam, manis, masin dan pedas, tapi pedas tu kalau tak cukup, kita boleh topup dengan sambal bila nak makan nanti. Paling sedap dimakan sejurus kita tuang kuah dia. Kalau dibiar lama, nanti mi jadi kembang. Che mat suka lebihkan taugeh mentah dan hirisan kucai masa makan mi siam berkuah. Nak sedap lagi, time nak makan tu, kita perahkan jus limau kasturi, boleh pingsann wakkk!....Nak cuba buat sendiri? Jommm kita semak resipinya di bawah ni..

BAHAN-BAHANNYA PES SAMBAL :-)
3/4 cawan cili kisar
2 camca besar penuh udang kering, cuci dan rendam dalam air panas*
1/2 inci belacan, dibakar*
4 biji bawang merah kecil*
3 ulas bawang putih*(*dikisar halus)
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air

BAHAN-BAHAN KUAH MI SIAM :-)
1/2 bahagian pes sambal
1 camca besar penuh tauco
1 /2 camca besar pes asam jawa
600 ml air rebusan kulit udang
2 camca besar kacang tanah kisar
1/4 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya, anggaran 2 cawan

BAHAN-BAHAN MI SIAM :-)
1/2 bahagian pes sambal
200 gram mi hoon, direndam hingga lembut dan toskan
1 genggam longgar taugeh
10 - 15 tangkai kucai, dihiris
Garam secukup rasa
Sedikit air, jika perlu

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Tauhu, digoreng dan dihiris
Taugeh, dibersihkan, cuci dan toskan
Kucai, dihiris
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1
Limau kasturi, dibelah 2
Udang, dikupas kulitnya dan dicelur (kulit udang dicuci dan direbus, gunakan air rebusan untuk kuah mi)
Sambal tumis, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PES SAMBAL :- Panaskan 1/4 cawan minyak masak. Tumis bahan2 kisar halus hingga wangi, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, kacau sentiasa dan gunakan api sederhana.Tambah sos cili dan sos tomato, kacau dan tuang air, kecilkan api dan masak hingga sambal pekat dan naik minyak. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Pes sambal dibahagi kepada dua bahagian.
  2. UNTUK KUAH MI SIAM :- Dalam periuk, panaskan 1 camca besar minyak dan satu bahagian pes sambal tadi, masukkan pes asam jawa dan tauco, kacau rata dan masak sekejap. Tuang air rebusan kulit udang, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kacang tanah kisar dan tambah air, biarkan mendidih. Tuang pati santan dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan kacau sentiasa. Sesuaikan rasa dan boleh matikan api.
  3. UNTUK MI SIAM :- Masukkan baki pes sambal ke dalam kuali, tambah sedikit air dan kacau. Perasakan dengan garam secukupnya (toksah masin sangat sebab mi ni nanti kita nak makan dengan kuah dia). Bila mendidih, boleh masukkan mi hoon  dan gaul rata dengan pes sambal tadi. Masak dengan api kecil, jika mi hoon masih keras, boleh tuang sedikit air panas. Kacau dan masak hingga mi hoon lembut. Akhir sekali masukkan taugeh dan kucai, gaul rata dan boleh matikan api.
  4. UNTUK MI SIAM BERKUAH :- Cedok mi siam secukupnya ke dalam bekas sesuai. Kemudian tuang kuah secukupnya dan hias dengan telur rebus, hirisan tauhu goreng, udang, taugeh, kucai dan jika suka boleh tambah sambal tumis. Perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Selamat mencuba dan selamat menjamu selera....

RESIPI MI SIAM BERKUAH RESIPI MI SIAM BERKUAH Reviewed by Mat Gebu on 9/27/2021 01:30:00 PM Rating: 5

No comments:

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.