RESIPI ROJAK ASMA

RESIPI ROJAK ASMA

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat buat rojak asma. Dah banyak minggu, yea, minggu ok, bukan hari. Tekak ni mengidam rojak asma. Dulu kalau masa takde pkp, boleh juga meretans daerah ek Kota Tinggi. Tu jam kalau hari Isnin, ada pasar malam dan kat situ ada orang jual rojak asma. Masalahnya tekak ni dia mengidam masa2 gini, time pkp, kat manalah nak cekau, yea dak. Dah lah kita ni duduk ceruk pendalaman. Jalan terbaik ialah kena buat sendiri. Walaupun tekak tu nak, tapi kerajinan masih belum sampai. Hinggalah hari ini, Allah gerakkan hati che mat, buat rojak asma. Serius kalau orang tanya, amacam rojak tu boleh dapat nama rojak asma, che mat memang minta maaf lah, sebab tak tau. Yang tau, rojak asma ni dia femes kat Johor. Sebenarnyakan kuah rojak asma dia kurang lebih macam rojak mamak atau rojak mi, cumanya rojak mamak ada yang taruk biskut marie sebagai pemekat, tapi kuah rojak asma guna keledek oren. Satu lagi bahan2 untuk rojak asma ni versetile, semua boleh cuma takde orang masukkan mi kuning ajer dalam dia...


Rasanya che mat pernah buat dulu, resipi masa tu jam kutip dari majalah, memang bahan2 rojak dia meriah, kuah dia pun lain macam sikit. Lepas tu bertahun rasanya tak buat hingga lah ke hari ini. Resipi kuah rojak asma yang ni che mat dapat dari IG Kak Zaidah, pakar masak dari Johor. Cuma che mat adjust sikit bahan2 dia, sebab kalau ikut resipi dia, jadi banyak. Tapi kan kuah tu, kalau banyak pun takpe, selain boleh disimpan beku dalam freezer, kuah rojak asma juga sesuai dijadikan sos pecicah untuk cucur udang, jemput2 atau popia, sedap wakkk! Untuk rojak asma kali ni che mat guna bahan2 rojak seperti dalam gambar tu. Kalau nak tambah paru goreng boleh, crab stick pun boleh. Kalau ikut cara orang Johor, bahan2 seperti kentang, telur, tauhu, sosej, tempe dan fishcake, digoreng celop tepung macam goreng pisang, tapi che mat malas, aku goreng bogel sudah lah, janji jadi yea dak. Yang penting rojak asma ni berbaloi membuatnya dan tak rugi mencuba...Jomm che mat kongsikan resipi dia kat bawah ni..

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
12 tangkai cili kering
1 genggam udang kering, cuci dan rendam 10 minit, toskan
Keledek oren sebesar 2 penumbuk orang dewasa, direbus hingga empuk
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 keping nipis hirisan halia
Sebesar hujung jari belacan (che mat tambah)
3/4 cawan kacang tanah yang telah dikisar
2 camca besar penuh bijan, digoreng tanpa minyak hingga kekuningan
1/4 cawan gula melaka
3/4 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN CUCUR TEPUNG :-)
1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 camca teh baking powder
1 camca besar udang kering, rendam sekejap, toskan dan tumbuk halus
1 biji telur
1 1/4 cawan air
1 camca teh garam
1 camca teh gula
15 tangkai kucai, kerat pendek
1 biji bawang besar, didadu
Beberapa titik pewarna kuning makanan

BAHAN-BAHAN ROJAK :-)
Fishcake secukupnya, digoreng
Sosej ayam secukupnya, digoreng
Tauhu, digoreng
Tempe, digoreng
Sotong kembang, hiris, cuci dan rebus seminit, toskan
Kentang, kupas kulitnya, rebus hingga empuk dan goreng
Telur rebus secukupnya, digoreng
Daun salad secukupnya, dipotong 
Timun, dihiris
Cili hijau, hiris kasar
Cucur tepung secukupnya, dipotong 4 setiap 1

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH ROJAK :- Cili kering dibuang biji, cuci bersih dan lap kering. Goreng cili kering tadi sekejap, angkat dan ketepikan. Goreng pulak udang kering, angkat dan ketepikan. Kisar keledek oren dengan air rebusannya dan ketepikan. Kemudian kisar lada kering tadi dengan udang kering, belacan, bawang merah kecil, bawang putih dan halia hingga halus.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan2 kisar hingga harum dan naik minyak. Guna api sederhana, kacau sentiasa. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tambah keledek kisar, kacau dan tambah air anggaran 4 cawan. Kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kacang tanah kisar, kacau dan masak hingga pekat.
  3. Masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa. Masak sekejap dan tambah gula pasir secukupnya, biasanya kuah rojak asma sedikit manis, ini ikut selera masing2 lah yea. Bila elok pekatnya, boleh masukkan bijan, tinggalkan sedikit bijan untuk digunakan sebagai hiasan. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biasanya uah rojak asma tidak terlalu pekat.
  4. UNTUK CUCUR TEPUNG :- Masukkan ke semua bahan2 cucur tepung ke dalam mangkuk, kecuali air dan pewarna kuning makanan. Gaul hingga semua rata. Tuang air sedikit demi sedikit dan kacau hingga semua sebati. Masukkan pewarna kuning makanan, kacau rata dan rehatkan adunan sekejap dalam 15 minit. 
  5. Sementara itu, panaskan minyak untuk menggoreng cucur tepung. Sudukan 1 camca besar adunan cucur ke dalam minyak panas. Buat 8 - 10 biji cucur sekali buat, bergantung pada saiz kuali. Balik2kan agar cucur masak sekata. Bila kuning keemasan, boleh angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur bersih. Baki tepung cucur boleh simpan dalam peti sejuk, jika tak habis.
  6. UNTUK MENGHIDANG ROJAK ASMA :- Fishcake, sosej ayam, tauhu, tempe dan kentang dipotong pada saiz sederhana. Susunkan ke dalam pinggan sesuai bersama bahan2 lain. Potong pula telur rebus yang telah digoreng tadi dan letakkan atas bahan2 rojak. Tuang kuah secukupnya, taburkan bijan dan boleh dihidangkan. Selamat mencuba!

Post a Comment

2 Comments

  1. Salam, Che Mat

    Kak Sari antara peminat rojak asma, paling suka bila kunyah cucur yang macam span meresap kuah rojak tu, wallawehhh

    ReplyDelete
  2. Alahai..sedapnya rojak. Terima kasih Che Mat share macam-macam resepi org Johor. Sangat berguna untuk orang di perantauan macam saya. Semua kena buat sendiri. Semoga Che Mat terus sihat dan terus berkongsi resepi.

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.