RESIPI KARI NANGKA MUDA BERKERISIK

Assalammualaikum, salam semua. Rasanya lama juga che mat tak kemas kini blog dengan entri baru. Kadang2 tu masa tak mengizinkan, dan masak pun yang biasa saja. Kebanyakkan resipi dah pernah kongsi kat sini, tu yang rasa macam, hurmm, tak payah kot masukkan resipi tu kat dalam blog, nanti ada pulak yang bosan sebab resipi sama ajer. Tapi hari ni che mat curi sedikit masa masukkan entri kari nangka muda berkerisik yang che mat masak semalam, tu pun sebab ada permintaan dari teman2 di IG. Resipi kari nangka muda berkerisik ni sebenarnya biasa saja, macam kari biasa cuma ada lah kot perbezaan dari bahan2 yang che mat guna dan mungkin juga teknik memasaknya. Nangka muda antara hidangan kegemaran che mat sekeluarga, tapi ada juga alah pada nangka dan kalau makan boleh sebabkan perut jadi sebu, kata orang nangka ni banyak angin. Nangka yang che mat guna ni, abang long petik kat pokok. Dulu masa tak musim nangka, selalu juga beli di pasar, tapi agak mengecewakan, nangka muda dia nampak elok, putih melepak, tapi bila masa, jadi keras, walaupun sebelum masak kita dah rebus dulu. Rasa serik dah nak beli nangka muda, dah 2 - 3 kali juga che mat kena macam tu.

Nangka yang ni, alhamdulillah, sedap lembut dan lemak. Mak che mat dia agak cerewet bab nangka muda ni, kata dia, kalau nak masak kari, rendang atau gulai, guna nangka muda yang belum ada biji atau bijinya kecil, orang panggil nangka temabal. Kalau nangka muda yang sudah ada biji, lebih sesuai dimasak lemak putih atau  digulai dengan ikan masin. Tu mak che mat lah, sebenarnya takde masalah pun nak guna nangka macam mana sekali pun, tapi dia orang tua yang banyak pengalaman dan apa yang dia nampak orang dulu2 masak, macam tu lah dia ikut, betul tak. Tapi kan guna nangka muda yang macam mak che mat cakap tu, serius memang lagi sedap kalau dimasak kari. Satu yang bagusnya kari nangka muda berkerisik ni, kalau tak habis, kita keringkan, maka jadilah ia seperti rendang dan rencang paling ngam mestilah guna daging, nak lagi sedap guna daging yang ada lemak2 tu, atau daging tetel. Dah sedia nak memasak, jommm semak resipi yang che mat kongsikan di bawah ini...
BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram nangka muda, yang telah disiap disiang
500 gram daging (nak sedap guna daging tetel)
1 1/2 cawan santan pekat
4 camca besar rempah kari daging Babas
2 camca besar kerisik
1 camca besar pes asam jawa
3 camca besar cili kisar
1/2 camca besar gula melaka
1 batang kau manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
4 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris
1 camca teh lada hitam
1/2 inci belacan

BAHAN-BAHAN TUMIS DARAT :-)
4 biji bawang merah kecil, dihiris
1 ulas bawang putih, dihiris
4 tangkai daun kari

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Nangka muda dipotong kiub, pastikan bahagian empulur nangka dibuang. Kemudian rendam dalam air yang dicampur garam, tujuan untuk mengelakkan nangka lebam. Toskan dan rebus nangka muda tadi hingga 1/2 empuk dan toskan, ketepikan. Daging dihiris dan rebus dengan sedikit halia dan bawang putih hingga lembut, toskan dan asingkan air rebusannya. Ketepikan.
  2. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari daging, kacau rata dan tambah sedikit air jika perlu. Kacau hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/2 cawan. Tumis kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga hingga wangi, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukkan pes rempah dan pes asam jawa, kacau rata dan masak hingga rempah garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan nangka muda dan daging yang telah direbus tadi, gaul rata dan masak sekejap. Tuang air rebusan daging hingga nangka dan daging tenggelam, tambah air panas jika perlu. Kacau dan masak hingga mendidih dan nangka empuk. Tambah kerisik dan santan, kacau rata dan biarkan mendidih dengan api perlahan. 
  4. Tambah gula merah dan perasakan dengan garam secukup rasa. Masak sekejap dan sesuaikan rasa. Jangan matikan api dulu, terus kecikkan api. Dalam kuali, panaskan minyak masak dalam 3 - 4 camca besar, tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga wangi dan keperangan seperti bawang goreng. Kemudian tuangkan ke dalam periuk kari nangka muda tadi, tuang dengan minyak2nya sekali. Ratakan dan terus tutup periuk dan matikan api. Biarkan 10 minit, baru dikacau. Boleh hidangkan.
RESIPI KARI NANGKA MUDA BERKERISIK RESIPI KARI NANGKA MUDA BERKERISIK Reviewed by Mat Gebu on 11/14/2020 10:03:00 AM Rating: 5

2 comments:

  1. woahhh, tak pernah lagi rasa kari nangka. Gabungan nangka dan daging pon tak pernah cuba lagi. Dulu rumah ada pokok nangka, tapi tu pon jarang2 makan, tgk entri ni rasa rindu pulak hehe

    ReplyDelete
  2. As salam Nak, rasa Bonda serupa macam paceri....bahan2nya sama😊

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.