RESIPI BAMIA KAMBING

RESIPI BAMIA KAMBING

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak bamia kambing. Masak ni sebab tu hari ada beli roti paun di kedai Salahuddin Bakery di Jalan Dhoby JB. Roti paun atau ada yang panggil roti bai, tekstur dia sedikit kasar dan che mat suka cecah dengan kuah kari atau kuah gulai. Sekali2 kita buat pulak bamia untuk makan dengan roti. Bamia ni sejenis masakan timur tengah yang terkenal di Johor dan Singapura terutama di kalangan mereka berketurunan arab. Biasanya bamia dibuat menggunakan daging kambing, kalau guna lembu boleh juga tapi kurang kick. Tapi yang tak makan kambing tu, tak salah ganti dengan lembu. Nampak seakan2 kari, tapi tak guna rempah kari sikit paun. Kuah bamia memang pekat dan bendi adalah bahan utama, kalau takde bendi, tak lengkaplah masakan bamia. Cara memasak bamia agak mudah, walaupun bahan2 nampak macam banyak. Kalau nak lagi sedap, masak malam dan esok pagi baru makan....boleh pingsann... Jomm kita semak resipinya di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg daging kambing yang telah siap dipotong, cuci, gaul rata dengan 1 camca besar tepung gadum dan perahan jus limau nipis, diperap
2 biji tomato masak, dibelah 4 setiap 1
12 biji (atau ikut suka) bendi muda, pilih yang saiz kecil, rendam dan toskan
2 pokok daun ketumbar, dikerat kasar
4 camca besar sos tomato
1 cawan susu cair
1 camca penuh gula perang
10 kuntum bunga cengkih
6 biji buah pelaga
1 biji limau nipis, perah jusnya
Garam secukup rasa
Minyak masak dan minyak sapi, untuk menumis
Air secukupnya (atau boleh guna air rebusan daging kambing)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah kecil
6 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
10 tangkai cili kering, buang biji, rendam dalam air panas 10 minit dan toskan

BAHAN-BAHAN REMPAH :-)
3 camca besar ketumbar biji
1 camca besar jintan putih (halus)
1 camca besar jintan manis (kasar)
1 camca teh lada sulah (lada putih)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing yang telah diperap tadi, dicuci bersih, toskan dan rebus hingga empuk, masukkan sedikit halia dan bawang putih semasa merebus. Boleh juga dimasukkan terus daging kambing ke dalam masakan bamia, tapi ia akan mengambil masa yang agak lama untuk daging kambing empuk, yang ni terpulang tapi che mat rebus dulu daging kambing, kemudian asingkan air rebusannya. 
  2. Sementara itu, goreng tanpa minyak (sangai) bahan2 rempah, gunakan api kecil dan sangai hingga harum. Kisar kering rempah tadi hingha halus atau boleh juga ditumbuk dengan lesung batu, pastikan ditumbuk halus. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dalam periuk. anggaran 2 - 3 camca besar. Tambah minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Tumis bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga garing dan naik minyak. Tambah rempah kisar, kacau rata dan masukkan sos tomato. Kacau dan masak sekejap.
  4. Masukkan daging kambing dan tomato, gaul rata dan masak hingga tomato lembut. Tuang air rebusan kambing, kacau dan masak hingga mendidih dan pekat. Tambah susu cair, kacau rata dan masukkan gula. Masak dengan api kecil hingga pekat, kacau sekali sekala. Masukkan bendi dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak dengan api kecil hingga bendi lembut, kacau sentiasa agar tidak hangus. Akhir sekali masukkan jus limau nipis dan hirisan daun ketumbar, gaul rata dan sesuaikan rasa, jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan roti, nak makan dengan nasi pun sedap....Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.