Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan resipi mi rebus, hidangan ringan untuk minum petang juga sesuai untuk dihidangkan untuk tetamu atau saudara mara bile mereka bertandang ke rumah kita. Tapi musim2 covid19 ni sapa lah yang nak datang yea dak, seelok2nya dok rumah sudah lah, dan keluar bila perlu. Che mat masak awal sebenarnya pagi tadi, sebab hari ni mak che mat buat operation buang katarak kat mata kanan, kesian bila tengok kan penglihatan mak semakain kabur. Dah dua kali buat cermin mata, tapi tetap sama. Jadi bila buat check up mata di klinik swasta, doktor mata tu kata mak che mat kanan dan kiri ada katarak. Buat masa ni, buat mata kanan dulu, in sha Allah nanti bila dah ok, buat pulak mata kiri, ikut nasihat doktor. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan operation pun tak lama kurang lebih 20 minit saja, dan tadi mak che mat cakap, mata dia dah mula ok, dah kurang kabur. In sha Allah 2 - 3 hari nanti, penglihatan akan bertambah baik, tapi tak lah seterang penglihatan orang muda, yea dak.
Berbalik cerita mi rebus yang che mat buat hari ni, disebabkan bahan2 dah ada (kecuali satu bahan yang takde, iaitu tauhu, tapi takde pun takpe, tak mencacatkan rasa, namun begitu seelok2nya kalau nak buat, kena lah ada baru lengkap). Resipi boleh dikatakan senang nak buat, che mat guna keledek oren dan campur dengan kentang untuk kuahnya. Selain tu, guna juga stok air rebusan daging dan ditambah udang kering untuk mendapat rasa yang lebih sedap. Biasanya mi rebus kuahnya sedikit manis, tapi yang ni ikut selera masing2lah, kalau nak manis, boleh tambah gula. Kalau di Johor, mi rebus akan dihidangkan dengan tepung rangup, sebagai bahan sampingan. Bagi yang nak mencuba, meh che mat kongsikan resipi nya di bawah ini..
BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 cawan keledek oren yang telah direbus dan dilecek
1 cawan kentang yang telah direbus dan dilecek
1 liter air rebusan daging
1/2 inci lengkuas diketuk
1 camca besar tepung jagung*
1/2 cawan air*(*disatukan dan kacau rata)
Garam dan gula secukup rasa
Air panas secukupnya
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 genggam udang kering, cuci dan rendam dalam air panas
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
8 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas, toskan
BAHAN-BAHAN TEPUNG RANGUP :-)
1/2 cawan tepung beras
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 cawan air
1 camca teh garam
1/2 camca teh serbuk kunyit
BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning, secukupnya, cuci dan celur dalam air panas, toskan
Taugeh, dibersihkan dan siram dengan air panas
Tauhu goreng, dihiris nipis (tak letak, sebab takde)
Daging rebus secukupnya disiat kasar
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Limau kasturi secukupnya, belah 2 setiap 1
Hirisan daun sup dan daun bawang
Cili hijau dan cili merah, hiris kasar
Bawang goreng
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK KUAH MI REBUS :- Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/3 cawan. Tumis lengkuas dan bahan2 kisar halus hingga wangi dan naik minyak. Masukkan air rebusan daging (jika ada air rebusan keledek dan kentang, boleh masukkan sekali). Kacau rata dan biarkan mendidih. Tambah keledek dan kentang yang telah dilecek tadi. Kacau rata dan masak hingga menggelegak. Tambah air panas jika perlu. Perasakan dengan garam secukup rasa dan juga gula (che mat guna kurang lebih 3 camca besar penuh gula perang). Kacau dan masak sekejap dan boleh masukkan bancuhan tepung jagung, kacau rata dan masak hingga kuah pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
- UNTUK TEPUNG RANGUP :- Masukkan udang kering ke dalam alat pengisar (blender), tuang air dan kisar halus. Masukkan tepung beras, garam dan serbuk kunyit, kisar lagi hingga semua rata dan sebati. Panaskan minyak untuk goreng terendam, pastikan minyak betul2 panas. Gunakan senduk, cedok bancuhan tepung rangup tadi dan berhati2 curahkan ke dalam minyak panas. Kemudian kacau dengan sudip yang jarang. Masak dengan api sederhan hingga tepung garing, angkat dan toskan minyaknya. Taruk atas tissue dapur, biarkan minyaknya terserap. Buat kaedah sama untuk baki bancuhan, lakukan hingga selesai. Biarkan sejuk dan simpan dalam bekas kedap udara.
- UNTUK MI REBUS :- Ambik mi kuning secukupnya dan masukkan ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah mi rebus dan hias dengan taugeh, hirisan daun bawang/daun sup, tauhu goreng. hirisan cili merah dan cili hijau, telur rebus dan akhir sekali tabur kan tepung rangup atasnya. Jangan lupa perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Sangat enak dimakan ketika panas....Selamat mencuba!
2 Comments
sedap nya mee rebus..boleh cuba ni. mcm2 resepi che mat ada ye..hehe..follow dia lah
ReplyDeleteSy memang jd kn abgmat sifu......cayalh resepi nya best2
ReplyDelete