RESIPI PECAL JAWA

RESIPI PECAL JAWA

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat cuti masak nasi, tapi kita makan pecal atau orang jawa panggil 'pecel'. Ini memang makanan tradisi orang Indonesia yang beretnik Jawa. Dan sedia maklum, masyarakat jawa juga ramai di Malaysia terutama di Johor, Selangor dan Perak. Tapi ada juga makanan yang biasa orang Jawa Malaysia hidangkan, yang tiada di Indonesia, contohnya nasi ambeng, kalau kat sana lebih popular nasi tumpeng, nasi yang berwarna kuning dan dibentuk seperti kon, kemudian dihidangkan dengan lauk pauk lain di sampingnya. Seakan2 nasi ambeng juga. Bahan utama untuk pecel mesti ada cekur atau di Indonesia, dia orang panggil kencur. Ia juga bahan penting kalau nak buat urap. Selain pecal yang macam dalam gambar tu, ada juga pecel ikan keli, atau pecel ewak lele, pecal ikan pari dan juga ayam di beri kuah pecal, tapi untuk masakan yang che mat sebutkan tadi, kuah pecal dia lain, kerana ditambah santan, dan takde kacang tanah. 

RESIPI PECAL JAWA

Bahan-bahan pecal terbahagi kepada tiga bahagian, bahan yang bergoreng, bahan yang direbus atau dicelur dan satu lagi bahan yang mentah. Bahan seperti tauhu dan tempe, kita perlu goreng, kacang panjang, pucuk ubi, taugeh dan kangkung perlu direbus atau dicelur manakala timun dan sengkuang, dimakan mentah macam ulam saja. Boleh juga kalau nak tambah telur rebus, alaaa kan kita buat dia, apa ada kesah, betul tak. Kuah dia boleh dibuat pedas atau tidak, bagi che mat kuah dia pedas sederhana saja. Untuk resipi kali ni, che mat masukkan ikan bilis yang digoreng garing, kemudian dikisar dengan bahan2 rencah untuk kuah pecal. Rasa dia lagi terangkat, serius tak tipu, kalau tak percaya nanti cuba buat.. Resipi che mat kongsikan di bawah ini...Jomm kita masak!

BAHAN-BAHAN KUAH PECAL :-)
1 1/2 cawan kacang tanah, digoreng tanpa minyak, dan buang kulitnya
10 - 12 tangkai cili kering, buang biji, cuci dan lap kering
10 biji bawang merah kecil 
3 ulas bawang putih
10 biji cili padi merah siam (boleh lebih atau kurangkan)
3 camca besar hirisan gula melaka
1 inci belacan, dibakar
1 genggam ikan bilis, dibersihkan
2 inci isi cekur
3/4 camca besar pes asam jawa adabi
Garam secukup rasa
Gula pasir jika suka lebih manis
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN PECAL :-)
4 - 5 tangkai kacang panjang
1 biji sekuang
1 biji timun
Taugeh secukupnya
Tauhu secukupnya
Tempe secukupnya
Pucuk ubi secukupnya
Kangkung scukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH PECAL :- Kacang tanah dikisar hingga hancur, toksah sampai halus sangat. Sementara itu ikan bilis, digoreng hingga garing. Kemudian goreng pula bawang merah, bawang putih, cili padi hingga layu. Kemudian goreng pula cili kering hinggga perang, angkat dan toskan. Masukkan bahan2 tadi ke dalam alat pengisar (blender) bersama cekur dan pes asam jawa adabi. Tuang sedikit air dan kisar hingga halus. Tuang ke dalam bekas, masukkan gula melaka dan kacang kisar, kacau rata. Tuang air panas secukupnya dan kacau rata. Pastikan kuah pecal tidak teralu pekat. Tambah garam secukup rasa dan jika nak lagi manis, boleh tambah gula pasir secukup rasa. Ketepikan.
  2. UNTUK BAHAN2 PECAL :- Tauhu dan tempe digoreng hingga kekuningan, kemudian potong kecil. Siang pucuk ubi dan kangkung, rebus berasingan hingga lembut, toskan, kemudian pucuk ubi tadi dipotong kecil. Kacang panjang dikerat pendek dan rebus hingga lembut. Taugeh dicuci dan letak dalam tapis, siramkan dengan air panas. Timun dipotong kecil, sengkuang dikupas dan hiris kecil. Ketepikan.
  3. UNTUK MENGHIDANG :- Ambik serba sedikit atau secukupnya bahan2 untuk pecal dan masukkan ke dalam bekas sesuai. Kemudian tuang kuah pecal dan gaul rata, kuah tu ikut suka lah, nak tuang sikit ke banyak, tapi kalau banyak sikit baru sedap. Gaul rata dan boleh hidangkan, apa lagi, jommm lah makan!...Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.