RESIPI SUP DAGING TETEL ALA MAMAK

 Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak sup daging tetel ala mamak. Daging tetel korban ini pemberian kenalan keluarga kami. Ada yang masih kurang jelas, apa itu daging tetel atau orang Singapura suka guna perkataan 'tetelan' untuk daging tetel seperti ini. Daging tetel atau tetelan ialah bahagian2 lebihan daging yang bercampur dengan urat dan lemak. Biasanya jenis daging begini orang lebih gemar buat dalca dan sup. Kalau untuk sup, kena pilih daging tetel yang kurang sedikit lemaknya. Dan bagi che mat, penyediaan sup daging tetel, terlebih dahulu kita kena rebus kosong daging tetel tadi dalam 30 minit, kemudian buang air rebusan pertamanya. Ini kerana, air rebusan pertama tu mengandungi lemak2 yang akan membeku bila sup kita sejuk nanti. Kemudian baru dimasak sup, kiranya bila makan tu macam kurang berdosa sikit lah terutama bab kolestrol. Tapi awas, bagi yang ada tekanan darah tinggi, toksah makan banyak sangat, takut memudaratkan nanti. Menu hari ni che mat masak atas permintaan mak che mat. Kalau ikutkan tekak tak berapa nak menu yang macam ni. Tu pasal tadi che mat masak bening sayur bayam, ikan tongkol goreng kunyit dan sambal belacan. Dua kali kau pakcik makan bertambah...hancur diet...huhu, bertabahlah nak....Nak mencuba, jomm kita semak resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg daging tetel yang telah dibersihkan dan dipotong pada saiz sederhana
1 sup bunjut tulang Adabi
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga\
1 camca besar rempah sup
1/4 camca teh parutan biji buah pala
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 camca besar penuh bawang goreng
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 camca besar lada hitam biji

BAHAN-BAHAN TUMIS DARAT :-)
4 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
4 camca besar minyak masak

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Hirisan daun sup secukupnya
Hirisan daun bawang secukupnya
Bawang goreng
Belahan limau kasturi
Sambal kicap, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan daging tetel yang telah dibersihkan ke dalam periuk. Tuang air hingga daging tetel tenggelam, rebus selama 30 minit dan buang airnya, toskan. Masukkan kembali ke dalam periuk. Tuang air panas hingga daging tetel tenggelam, masukkan sup bunjut, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan kayu manis. Kacau dan masak hingga mendidih.
  2. Sementara itu, panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali, masukkan bahan2 kisar, rempah sup dan parutan biji buah pala. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga naik minyak. Kacau sentiasa. Matikan api dan masukkan rempah tadi ke dalam periuk berisi daging tetel. Kacau rata dan masukkan daun sup yang dikerat kasar dan satu camca besar bawang goreng. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga daging tetel empuk. Tambah air panas jika perlu dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap dan matikan api. Kalau masak guna periuk tekanan, ambik masak kurang lebih 20 minit.
  3. Sementara itu, panaskan 4 camca besar minyak masak dalam kuali dan tumis bawang merah dan bawang putih untuk tumis darat. Masak hingga bawang keperangan dan tuangkan kesemuanya ke dalam periuk berisi sup tadi. Terus tutup periuk agar aromanya terperangkap. Biarkan 15 minit.
  4. Cedok sup daging tetel dalam bekas sesuai, hias dengan hirisan daun sup, daun bawang, bawang goreng dan perahkan jus limau kasturi jika suka dan lebih nikmat jika dimakan bersama sambal kicap.....Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. Kalau tempat saya Limbang, Sarawak, kami panggil daging cancangan/cincangan. Sama juga kalau Brunei...
    Suka makan part ni..masak kunyit pun sodap. Pernah juga ada orang masak pais daging tetel. Tak pernah cuba lagi.

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.