RESIPI KACANG POOL

Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni pagi2 dah hujan, alhamdulillah, setelah cuaca panas dan kering sejak beberapa hari lepas, maka Allah swt turunkan hujan untuk manfaat kita semua. Pagi tadi che mat dah cuci baju, tapi tak sempat nak jemur, langit dah melingkup, pokok hari dah naik dan angin mula bertiup tanda nak hujan. Kalau nanti cuaca terang, kita jemur lah balik baju tu. Hari ni che mat buat kacang pool. Plan dari semalam nak buat, tapi tunggu beli roti paun Sallehhudin di Jalan Dhoby, Johor Bahru, lepas tu baru kita bikin kacang pool, baru nikmat makan dengan roti paun. Resipi dah banyak kali sebenarnya che mat kongsikan kat dalam blog, harap takde yang jemu lah yea. Bagi yang tak pasti, kacang pool tu apa. ia sejenis kuah pencecah untuk roti yang berasal usul dari negara Arab. Dan diperkenalkan di negeri Johor oleh orang2 arab yang datang berdagang ke semenanjung. Makanan ni lebih popular di Johor Bahru dan Singapura. 

 Secara amnya, kacang pool dihidangkan dengan bahan2 sampingan seperti telur mata, bawang besar yang didadu, tomato yang didadu dan hirisan cili hijau. Masa nak makan nanti, curahkan sedikit minyak sapi yang telah dicairkan dan perah jus limau kasturi. Kebiasaanya, kacang pool menggunakan daging lembu kisar. Tapi yang tu boleh kita gantikan dengan daging kambing atau ayam., ikut selera kita. Bahan utama mestilah kacang pool atau kacang parang. Che mat guna kacang pool dalam tin jenama Kimball. Boleh juga beli di kedai2 arab. tapi che mat kurang suka sikit, sebab ada tu kacang pool dalam tin dia orang masin sangat. Untuk resipi ini, seperti biasa che mat gunakan baked bean dan juga kacang merah dalam tin. Kedua2 jenis kacang ni optional, tak de pun takpe, tapi kalau ada lagi sedap!...Dah bersedia nak mencuba resipi kacang pool? Ok, jomm kita semak resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin kacang pool, brand Kimball (atau sebarang jenama pilihan anda)
1 tin kecil baked beans - ayam brand
1 tin besar kacang merah dalam tin, toskan airnya
300 daging lembu cincang (boleh ganti dengan daging kambing atau ayam)
2 camca besar penuh rempah kari daging Babas
1 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar sos tomato
6 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*(*dikisar halus)
1 camca teh lada hitam kisar - optional
Garam secukup rasa
Air secukupnya
1 camca besar penuh minyak sapi

BAHAN-BAHAN SAMINGAN :-)
Roti paun atau roti perancis secukupnya, untuk dimakan dengan kacang pool
Tomato, didadu
Bawang besar, didadu
Cili hijau, hiris kasar
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Telur mata secukupnya
Minyak sapi cair, jika suka

CARA MEMUATNYA :-)
  1. Kacang pool, diramas hingga hancur, tak perlu sampai halus sangat, ketepikan. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari daging dan ketumbar serbuk, kacau rata hingga menjadi pes. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biarkan minyak sapi cair. Tumis pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak.
  2. Masukkan daging kisar dan masak dengan api sederhana hingga daging berubang warna dan kering airnya. Tambah sos tomato, kacau rata dan tuang air anggaran 700 ml. Kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan kacang pool, baked beans dan kacang merah. Kacau perlahan.
  3. Tambah lada hitam, kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya, masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikana api. Cedok kacang pool secukupnya ke dalam mangkuk sesuai. Hias dengan bawang besar, tomato, cili hijau dan telur mata. Curahkan sedikit minyak sapi cair dan perah jus limau kasturi ketika hendak dimakan dengan roti yang telah dipanggang....Selamat mencuba! 

RESIPI KACANG POOL RESIPI KACANG POOL Reviewed by Mat Gebu on 8/12/2020 11:53:00 AM Rating: 5

1 comment:

  1. Wowww! Rindu tau kacang pool belah Johor punya padu...kena cuba ni suatu hari nanti buat. Pekena roti bakar haihhh laju ni haha

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.