RESIPI BISKUT KELAPA


Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mula buat biskut raya, tapi tahun ni takde lah macam tahun2 sudah. Kerajaan pun tak benarkan sessi kunjung mengunjung masa raya nanti, jadi biskut2 raya pun buat ala kadar sekadar memuliakan bulan Syawal yang bakal tiba kurang lebih 2 minggu lagi. Biskut pertama tahun ni che mat buat biskut kelapa. Biskut ni berbeza dari biskut senyum walaupun bahan asasnya kelapa. Biskut kelapa yang ini cukup nostalgia, sejak dulu mak che mat akan buat biskut kelapa setiap kali lebaran. Resipinya mudah dan bentuk asasnya dari dulu lagi ialah bentuk bulan sabit. Cetakkannya pula tak perlu guna acuan biskut, tapi cukup hanya menggunakan mulut gelas bersaiz kecil yang diterap bentuk bulan sabit. Bakar pula dalam oven hitam cap kupu-kupu, yang ditenggek atas dapur gas. Tu jam takde guna loyang2 yang elok, semuanya guna tudung periuk, asal muat masuk dalam oven, kita gunakan yang tu. Zaman sekarang ni kita bakar guna oven letrik lah dan lebih modern. Tapi rasanya tetap seperti zaman dulu. Resipi che mat tuliskan di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 3/4 cawan tepung ubi
1/4 cawan tepung gandum
1/2 camca teh baking powder
1/4 cawan gula kastor
1/2 cawan (130 gram) mentega
1 cawan kelapa parut putih
1/2 camca teh esen vanilla
1 kuning telur gred A
Secubit garam (kalau guna salted butter, tak perlu garam)
1 kuning telur, untuk disapu atas biskut

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Kelapa parut digoreng tanpa minyak dengan api sederhana hingga kuning keemasan, tapi pastikan jangan jadi seperti kerisik pulak. Kacau sentiasa agar tidak hangus. Ketepikan dan biarkan sejuk. Satukan tepung ubi, tepung gandum dan baking powder, gaul rata dan ayak. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula hingga pucat, masukkan kuning telur dan esen vanilla, putar sebati. Sementara itu gaulkan kelapa parut yang telah digoreng tanpa minyak tadi dengan tepung yang telah diayak, dan masukkan ke dalam adunan mentega sedikit demi sedikit hingga habis dan adunan menjadi doh yang boleh dicanai.
  3. Bahagikan doh kepada 2 bahagian, tutup baki doh dengan tuala dapur bersih yang telah dilembapkan. Canai doh antara 2 lapisan plastik bersih setebal 1/2 cm. Canai dengan terap acuan bentuk bulan sabit dan susun dalam dulang pembakar. Buat hingga siap. Sapu permukaan biskut dengan kuning telur.
  4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 160C (bergantung pada oven masing2) selama 25 minit atau hingga kuning keemasan. Keluarkan biskut dan biarkan sejuk dalam dulang. Alihkan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara. Banyak atau sikit biskut yang akan kita dapat bergantung pada acuan yang kita gunakan. Selamat mencuba!
RESIPI BISKUT KELAPA RESIPI BISKUT KELAPA Reviewed by Mat Gebu on May 07, 2020 Rating: 5

2 comments:

  1. Kalau pakai kelapa kering paket boleh tak Che Mat?

    ReplyDelete
  2. Suka juga biskut kelapa...tambah lagi kalau guna gula merah...rasa sedap

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.