RESIPI KUIH SERI MUKA


Assalammualaikum, salam 11 Ramadan. Hari ni che mat bikin kuih seri muka. Manisan pencuci mulut yang kerap kali dihidangkan pada majlis2 keraian, kesyukuran dan juga majlis perkahwinan. Tapi sejak Covid19 ni, kuih muih kalau kita teringin nak makan, kena lah buat sendiri. Che mat sendiri bukanlah pakar dalam buat kuih muih tradisional. Kadang2 nampak mudah, tapi kalau tak kena cara dan tekniknya, kuih akan jadi tak cantik, rasa pun lari. Bila kurang cantik, kita nak hidang pun tak nampak menarik, tak presentable kata orang putih. Tapi kalau kuih elok, molek, rasa ke laut pun tak guna juga, yea dak. Kuih seri muka yang che mat buat ni menjadi resipi simpanan. Asalnya dari blog masakan kak ida, seorang blogger masakan dulu, tapi kini dia sudah tidak aktif berblog lagi. Che mat buat 1/2 dari resipi di bawah ini dan menggunakan loyang berukuran 8 x 4 x 3 inci. Teringin mencuba? Jomm kita semak resipinya...

BAHAN-BAHAN PULUT :-)
350 gram beras pulut, cuci dan rendam 2 jam, toskan
230 ml santan cair
1 helai daun pandan, dicuci dan dikerat
3/4 camca teh garam

BAHAN-BAHAN KASTARD :-)
300 ml santan segar
3 biji telur gred B
4 helai daun pandan, dicuci dan dipotong kecil
180 gram gula pasir (che mat guna 140 gram)
4 camca teh rata tepung jagung
2 camca besar + 1 camca teh, tepung gandum
Secubit garam
Beberapa titik pewarna hijau makanan, jika suka (che mat tak letak)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan kukusan, balut penutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sapu tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan minyak makan, alas dengan aluminium foil dan lebihkan pada bahagian kiri dan kanan tin, tujuannya agar senang kita nak keluarkan kuih tu nanti. Sapu permukaan aluminium foil dengan minyak makan, ketepikan.
  2. UNTUK BAHAGIAN PULUT :- Masukkan pulut ke dalam tin, ratakan. Campur garam ke dalam santan, kacau rata dan tuang ke dalam pulut tadi. Kacau perlahan dan masukkan daun pandan. Kukus selama 20 minit, gemburkan pulut dan kukus lagi 5 minit. Keluarkan tin dari kukusan dan tekan pulut tadi hingga padat. Ketepikan.
  3. UNTUK BAHAGIAN KASTARD :- Kisar daun pandan dengan santan, kemudian tapis. Masukkan ke dalam mangkuk besar. Tambah telur, tepung gandum, tepung jagung, gula pasir, pewarna hijau makanan (jika guna) dan secubit garam. Kacau rata dengan whisk hingga gula larut dan semuanya sebati. Tapiskan ke dalam bekas tahan panas.
  4. Tenggekkan bekas tadi atas periuk berisi air mendidih (pastikan air sentiasa mendidih). Kacau dengan whisk hingga bancuhan kastard kelihatan pekat. Kemudian tuangkan atas pulut yang telah kita tekan tadi. Sambung kukus dengan api sederhana selama 25 - 30 minit. Sejukkan kuih sebelum dikeluarkan dari tin. Potong guna pisau plastik yang disapu sedikit minyak makan. Boleh hidangkan. Selamat mencuba!
RESIPI KUIH SERI MUKA RESIPI KUIH SERI MUKA Reviewed by Mat Gebu on 5/04/2020 05:16:00 PM Rating: 5

No comments:

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.