RESIPI MI HOON SUP UTARA

Assalammualaikum, salam semua dan selamat Hari Malaysia untuk semua warga negara Malaysia. Mesti ramai yang tengah bercuti. Macam che mat yang kat rumah ni, tak kira hari apa pun, cuti tu memang takde lah, kerja sentiasa menunggu, cuma tekanan tu agak kurang sebab semua urusan atas diri sendiri bukan atas perintah orang lain, jadi ikut lah macam mana kau susun waktu, kalau terhegeh2, alamatnya masa untuk kau berehat agak kurang lah. Hari ni che mat bikin mi hoon sup utara atau bi hoon sup utara. Mana2 pun takpe lah benda yang sama tetap guna mi hoon walaupun ejaannya berbeza sikit. Dah lama juga plan nak buat tapi tu lah, mood belum sampai, jiwa rajin, hati rasa malas, bila hati rajin, jiwa pulak malas, kesudahannya, kau tengok gambar mi hoon sup utara orang lain ajer lah gamaknya. Tapi tak hari ini, semuanya gara2 mak che mat malam tadi tersebut, esok masak sup tulang lah, teringin pulak. Che mat seperti biasa, kalau semua bahan2 ada, aku ok saja, bukan susah mana pun, yea dak... 

Maka  malam tadi sebelum tidur, che mat keluarkan lah tulang dan daging tetel, kalau dicampur kedua2 tu adalah dalam 1 kg lebih sikit. Keluarkan awal sebab benda2 tu semua dok diam dalam freezer jadi keras jelatu, kalau masa nak masak baru nak keluarkan, alamatnya tengah hari lah baru siap masak. Che mat kalau boleh nak siapkan awal, dan boleh makan untuk sarapan pagi. Lepas sebuh tadi, kita pun mulalah masak. Resipi kuah sup dia agak bea sikit dari sup biasa. Dan daging tetel yang ada lemak2 tu yang buatkan kuah sup bertambah sedap, ditambah pulak penggunaan tulang lembu, che mat guna tulang serangka. Nak guna tulang gear box pun boleh, tapi kenalah rebus lama sikit untuk keluarkan jus2 dia... 

Seperti biasa atau bagi yang tak biasa, mi hoon sup utara ni mi hoon dia wajib kaler kuning, itu identiti dia orang. Mi hoon tu kita boleh rendam dengan serbuk kunyit atau macam che mat, masa celur mi hoon, aku campurkan serbuk kunyit dan sedikit garam. Tujuan taruk garam tu nak kasi mi hoon rasa lemak, tapi jangan taruk banyak sangat, jadi lain pulak nanti... 

Bahan2 sampingan atau pendamping mi hoon sup utara ni agak berbeza dari mi hoon sup biasa. Kalau kat Johor, mi hoon sup atau mi soto dihidangkan denga taugeh, begedil dan sambal kicap, tapi mi hoon sup utara  mesti ada lobak asin dan sambal merah. Sambal merah tu  seakan2 sambal tumis dan ada yang buat guna serbuk cili merah, tapi che mat guna cili kisar. Bawang goreng, hirisan daun sup dan daun bawang tu biasalah, sebagai penambah aroma. Pada pendapat che mat mi hoon sup utara ni takde lah susah mana nak buat, dan tak secerewet mi soto. Rasa dia macam mana? Serius sedap dan amat berbaloi mencuba, tak rugi wakkkk! Resipi che mat kongsikan kat bawah ni...

BAHAN-BAHAN SUP :-)
1+ kg tulang lembu yang masih ada isi (che mat guna tulang + daging tetel)
2 batang serai, diketuk
1 1/2 inci halia, ditumbuk kasar
5 biji bawang merah, tumbuk hancur
4 ulas bawang putih, tumbuk hancur
15 kuntum bunga cengkih, tumbuk hancur
1 camca  lada hitam, tumbuk halus
1 sup bunjut, sup tulang Adabi
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 camca besar bawang goreng
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk perasa (jika suka)
Air panas secukupnya, anggaran 3 - 4 liter

BAHAN-BAHAN SAMBAL MERAH :-)
1 1/4 cawan cili kisar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
300 gram (kurang lebih) mi hoon*
3/4 camca besar serbuk kunyit*
1 camca teh penuh garam*
Air secukupnya*
Hirisan daun bawang
Hirisan daun sup
Bawang goreng
Sawi asin secukupnya, cuci, perah dan didadu kecil
Limau nipis atau limau kasturi secukupnya, dibelah 2
Sambal merah

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK SUP :- Cuci tulang dan daging tetel hingga bersih, toskan dan masukkan ke dalam periuk, tuang air hingga tulang dan daging tetel tenggelam. Rebus selama 20 minit, kemudian toskan dan buang air rebusan tadi. Masukkan kembali tulang dan daging tetel ke dalam periuk yang lebih besar. Masukkan ke semua bahan2 untuk sup kecuali garam dan serbuk perasan, jika guna. Tuang air panas dan rebus kembali hingga daging tetel dan daging yang melekat pada tulang tadi lembut. Kalau kurang kuah, tambah lagi air panas.Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan serbuk perasa, jika guna. Kuah sup dah siap, ketepikan.
  2. UNTUK SAMBAL MERAH :- Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 5 camca besar, tumis bawang merah tumbuk, bawang putih tumbuh hingga wangi, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan asam gelugor, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak hingga sambal pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api...
  3. UNTUK MI HOON* :- Masukkan mi hoon ke dalam periuk, tuang air hingga mi hoon tenggelam. Tambah serbuk kunyit dan garam, kacau rata. Rebus hingga mi hoon lembut, tapi jangan rebus lama sangat sampai mi hoon terlalu lembut. Tos dan biarkan sejuk. Ketepikan.
  4. UNTUK MI HOON SUP UTARA :- Ambik secukupnya mi hoon dan masukkan ke dalam mangkuk atau bekas sesuai. Tuang kuah sup dengan isi2nya, pastikan kuah sup panas. Hias dengan hirisan daun sup, daun bawang, bawang goreng dan lobak asin. Sudukan sedikit sambal merah dan perahkan jus limau nipis atau limau kasturi sebelum dihidangkan, hmmm, apa lagi boleh lah santap....sedapp wakkk!
CATATAN MAT GEBU :- Che mat rebus tulang dan daging tetel dalam periuk tekanan dan mengambil masa kurang lebih 30 minit untuk daging pada tulang tu lembut. Kalau suka, boleh juga masukkan urat dan perut dalam sup tadi, kata orang sup akan jadi lebih sedap. Tapi tak taruk pun dah sedap. Selamat mencuba semua....

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.