RESIPI CUCUR UDANG

Assalammualaikum, petang ni mood che mat ada rajin sikit lah. Lepas masak dan uruskan apa yang patut pagi tadi, sempat juga lah bancuh adunan untuk kuih cucur udang, lepas solat Zohor, kita orang makan dan siap tu pakcik pun on bikin cucur udang untuk minum petang. Che mat kerap juga bikin cucur udang menggunakan resipi ini. Rasanya banyak tahun dah guna resipi yang sama. Ni resipi yang kami blogger masak2 sering guna dulu. Kalau ada antara kami yang punya resipi bagus dan menjadi, maka resipi itu akan disimpan untuk kegunaa masa perlu. Rindu juga zaman berblog dulu, yelah masing2 teruja nak mencuba resipi yang geng2 blogger masakan kongsikan di blog masing2. Walaupun kini dunia blog masak2 tak sekencang dulu, tapi kami masih berhubung antara satu sama lain.  
Resipi cucur udang ini akan menghasilkan kurang lebih 20 biji cucur udang yang tembam dan gebu. Tapi bergantung pada saiz acuan atau senduk yang kita guna. Macam che mat guna senduk kecil bersukatan kurang lebih 1/4 cawan lebih. Udang che mat guna udang kertas saiz sederhana, yang ni ikut selera masing2, kalau ada budget, nak taruk udang saiz besar sikit pun ok, tapi agak2 lah yea, jangan besar sangat, nanti tak comel pulak cucur udang kita. Kalau guna udang saiz kecik, boleh taruk 2 - 3 ekor. Udang yang paling sesuai ialah udang kertas. Kalau dapat yang fresh, lagilah sedap, manis! Oh yea sebut pasal manis, che mat regukan cucur udang dengan sos cili buatan sendiri, atau yang suka makan dengan kuah kacang, dipersilakan ikut selera masing2. Kalau teringin nak mencuba, boleh lah semak resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan tepung gandum
1/2 camca besar instant yeast
1 genggam taugeh, dibersihkan, cuci, toskan dan ramas sedikit
10 tangkai daun kucai, dipotong
1 biji bawang besar, didadu
2 cawan air, kurang lebih
1 camca teh serbuk kunyit
20 ekor udang kertas, saiz sederhana
Garam secukup rasa, anggaran 1 camca teh penuh

BAHAN-BAHAN SOS CILI :-)
7 tangkai cili hidup (cili merah)
3 ulas bawang putih
1/3 cawan gula
4 camca besar cuka makan Jalen
1 camca teh garam
1 1/4 cawan air
3/4 camca besar tepung jagung*
4 camca besar air*(*disatukan dan kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK CUCUR UDANG :- Masukkan tepung, kucai taugeh. serbuk kunyit dan instant yeast ke dalam besen besar. Masukkan garam dan gaul rata. Tuang air sedikit demi sedikit dan kacau rata dengan senduk. Bancuh hingga mendapat adunan yang tak terlalu pekat atau cair. 2 cawan air tu tak habis digunaka, tinggal dalam 2 camca besar macam tu. Kacau rata adunan tadi, tutup permukaan besen dengan plastik cling dan biarkan selama 45 minit. Udang dicuci bersih, kerat bahagian muncungnya yang tajam dan juga buang janggutnya. Lap kering udang tadi dengan tissue dapur sebelum digunakan agar minyak tak meletop masa kita menggoreng cucur udang nanti.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Panaskan juga senduk mungkum saiz sederhana, tak kesah lah jenis aluminium atau stainless steel, dengan cara merendam dalam minyak panas, untuk 3 - 4 minit. Keluarkan senduk dari minyak panas dan sudukan bancuhan cucur udang ke dalamnya hingga hampir penuh (adunan cucur udang akan naik, pastikan kacau dulu sebelum kita masukkan ke dalam senduk panas tadi). Ambik seekor udang dan lingkarkan atasnya. Tekan sedikit, dan celop senduk berisi adunan cucur udang ke dalam minyak panas. Masak hingga cucur udang boleh ditanggal dari senduk. 
  3. Terbalikkan biar bahagian yang ada udang berada di bawah. Masak dengan api sederhana hingga kuning keemasan, balik2kan agar masak sekata. Buat kaedah sama untuk baki adunan dan udang tadi. Untuk sekali goreng che mat buat 5 - 6 biji cucur udang saja. Bila dah masak, angkat, toskan minyaknya dan susun atas dulang yang dialas tissue dapur, biar minyaknya terserap. Hidangkan cucur udang dengan sos cili atau kalau suka boleh juga dimakan dengan kuah kacang.
  4. UNTUK SOS CILI :- Kisar cili merah, bawang putih dan air, kisar hingga halus. Masukkan ke dalam periuk, tambah gula dan garam. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan cuka makan, kacau rata dan biar mendidih dengan api kecil selama 15 minit. Rasa, jika kurang manis, boleh tambah sedikit lagi gula. Akhir sekali tuang bancuhan tepung jagung, kacau dulu bancuhan tepung jagung sebelum dituang ke dalam sos. Kacau dan masak hingga pekat. Boleh matikan api, biar sos cili sejuk dan boleh hidangkan dengan cucur udang.

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.