Assalammualaikum, salam Selasa dan salam 13 Syawal 1442 Hijrah. Alhamdulillah, hari ni che mat, mak dan abang long selesai berpuasa 6, maka rayalah kita orang bertiga. Mula2 tu che mat plan nak buat laksa Johor, tapi mak che mat awal2 dah request, nanti 'raya' , buat soto lah. Maka hari ni kami bertiga pun makan lah soto. Che mat pun cutilah memasak nasi serta lauk pauk. Soto anrata makanan orang Johor, tapi tak boleh lah nak kata asal usulnya soto ni datangnya dari Johor. Kalau kita perhatikan, soto terkenal di Indonesia, dan kat sama pun ada macam2 jenis soto. Salah satu yang boleh dikatakan agak terkenal ialah soto Madura. Mungkin juga soto berasal dari tanah jawa dan dibawa masuk oleh pendatang2 dari Jawa pada zaman dulu ke Semenanjug tanah melayu ke Johor. Kat Johorkan macam2 orang ada, Arab, Jawa, Bugis dan macam2 lagi lah, tu yang makanan Johor dipengaruhi dari pelbagai2 cabang citarasa dari etnik2 bangsa Melayu di nusantara. Tuu dia, macam buku sejarah pulak pakcik kau menulis...haha...
Resipi soto sebenarnya dah banyak kali che mat kongsikan. Untuk rempah biasanya kami guna rempah soto dari Syarikat Ismail Yahya di Batu Pahat, Johor. Tapi yang ni che mat guna soto brand Maharani, dari Muar. Kalau susah nak dapat, boleh saja gabungkan rempah sup dan rempah kurma, ratio dia guna 1 1/2 sudu besar rempah sup dan 1/2 sudu besar rempah kurma. Dan selain tu, tambah sedikit serbuk biji buah pala untuk memantapkan rasa dan aroma kuah soto. Che mat masukkan juga buah keras sebagai agen pemekat dan bagi rasa kuah soto lebih lemak. Bahan2 sampingan untuk makan soto seperti biasa, mesti ada begedil, kacang tanah goreng, suhuun goreng, hirisan daun sup/daun bawang, isi ayam yang dicarik, bawang goreng dan sambal kicap. Sambal kicap kalau takde, soto jadi hambar dan kurang sedap., tak Johor lah, yea dak. Boleh juga perahkan jus limau kasturi sebelum kita menikmati soto. Satu lagi, soto sedap dimakan dengan kuah yang panas. jadi sebelum hidang tu pastikan kuah soto panas...Jomm che mat tuliskan resipi dia...
BAHAN-BAHAN KUAH SOTO :-)
3 ketul rangka ayam (boleh juga campurkan kaki ayam), dicuci bersih dan toskan
2 keping isi ayam bahagian dada, cuci dan toskan
1 sup bunjut tulang, adabi
2 camca besar rata rempah soto (che mat guna brand Maharani dari Muar)
1 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 camca besar penuh bawang goreng
1/2 camca teh serbu kunyit (optional)
Rempah 4 sekawan - kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga
3 liter air
Garam secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris halus
1 inci halia
1 camca teh lada hitam biji
BAHAN-BAHAN SOTO :-)
Nasi impit atau ketupat secukupnya
Begedil (resipi di bawah)
Hirisan daun sup/daun bawang
Suhuun goreng
Kacang tanah goreng
Bawang goreng
Isi ayam yang dicarik
Sambal kicap - resipi di bawah
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
BAHAN-BAHAN BEGEDIL :-)
200 gram daging kisar
1/2 inci halia*
2 ulas bawang putih*(*ditumbuk halus)
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 genggam bawang goreng, diramas
1 pokok daun sup, dihiris halus
1/4 camca teh garam
5 biji kentang, saiz sederhana, dikupas , hiris dan rendam
2 biji telur, dipukul sedikit, untuk menggoreng begedil
BAHAN-BAHAN SAMBAL KICAP :-)
1 cawan kicap lemak manis Jalen
1/4 cawan gula pasir
2 ulas bawang putih
1/2 cawan cili padi kampung
1 camca besar bawang goreng
CARA MEMBUATNYA :-)
- Mula2 kita siapkan kuah soto dulu. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/4 cawan. Tumis serai, lengkuas dan rempah 4 sekawan hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masukkan rempah soto dan serbuk biji pala. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
- Tuang air dan masukkan sup bunjut. Kacau rata dan masukkan rangka ayam, dada ayam, daun sup yang dikerat kasar dan bawang goreng, kacau rata dan biarka mendidih. Cedok keluar buih2 yang timbul diatas permukaan kuah soto. Kuatkan api dan biar hingga menggelegak, kemudian kecikkan kembali api dan renih untuk satu jam.
- Selepas 20 minit merenih, keluarkan isi ayam bahagian dada tadi, dan sambung memasak hingga cukup sejam atau lebih. Perasakan dengan garam secukupnya dan boleh matikan api. Dada ayam tadi dibiarkan sejuk dan goreng hingga kekuningan, goreng sekejap ajer jangan lama sangat. Sejukkan dan carik2 isi ayam dan ketepikan.
- UNTUK BEGEDIL :- Daging kisar digaul dengan halia dan bawang putih tumbuk, kemudian masak dalam kuali hingga daging kisar berubah warna dan kering airnya, kacau sentiasa, angkat dan sejukkan. Goreng pulak kentang hingga empuk, angkat, toskan minyaknya dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Tumbuk hancur kentang tadi, masukkan daging, hirisan daun sup, garam, lada sulah dan bawang goreng. Gaul hingga semua sebati dan rata.
- Ambil kurang lebih 1 camca besar penuh adunan begedil, bulat2kan dan tekan sedikit. Jangan buat nipis sangat, nanti begedil mudah hancur masa digoreng. Buat hingga siap dan rehatkan 20 minit, kemudian celop setiap satu begedil tadi dalam telur dan goreng hingga keemasan. Angkat dan toskan.
- UNTUK SAMBAL KICAP :- Ok, yang ni ada dua cara, bagi yang takut sakit perut, boleh lah goreng dulu cili padi dan bawang putih tu dengan sedikit minyak (che mat tak goreng pun, aku humbankan ajer masuk mentah2), kemudian masukkan ke dalam blender bersama2 gula pasir, kicap lemak manis dan bawang goreng. Kendian kisar hingga semua sebati dan halus. Sambal kicap dah siap! Simpan dalam esbox, boleh guna untuk cecah pisang goreng.
- UNTUK MENGHIDANG SOTO :- Masukkan secukupnya nasi impit atau ketupat yang telah dipotong ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah soto secukupnya, pastikan kuah soto panas dan dikacau sebelum kita cedok. Hias dengan taugeh, isi ayam yang dicarik, hirisan daun sup/daun bawang, kacang tanah goreng, bawang goreng, suhun goreng, begedil, sambal kicap dan perahkan jus limau kasturi sebelum dimakan. Sedappp dia, tak bolh dibawak berbincanggg!..
CATATAN MAT GEBU :- Untuk suhun goreng, pastikan gunakan minyak baru dan biar minyak betul2 panas. Suhun pulak toksah guna banyak2, sikit pun dah cukup, sebab nanti dah goreng dia jadi kembang. Satu lagi, suhun kita kerat pendek guna gunting sebelum digoreng. Masa goreng tu, bila dah kembang, berhati2 terbalikan dan goreng sekejap lagi, terus angkat, dan toskan minyaknya. Bila dah sejuk simpan dalam bekas kedap udara, suhun goreng ni cepat lemau... Selamat mencuba!
3 Comments
sedapnya soto, nak buat tu boleh, tapi renyah byk pulak bahannya, haha!
ReplyDeleteJom dapatkan santan segar di sini.
ReplyDeleteKari ayam tanpa santan
Santan pekat
Perniagaan santan
hok aloh..sedap kaloh resepi ni...
ReplyDeletejemput singgah sini https://saripkay.com/