RESIPI KARI TERUNG IKAN MASIN

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mengidam nak makan kari terung sama ikan masin, atau ada juga yang sebut gulai. Tak kesahlah, apa nama sekali pun janji sedap dimakan yea dak. Semalam masa pergi ke pasar pagi di Benut, che mat beli terung dalam 3 biji, saiz sederhana. Molek2 sangat, geram tengok, dari tak nak beli pun boleh terbeli. Dah plan malam tadi, esok nak masak kari dengan ikan masin. Korek2 dalam peti sejuk ada pulak tulang ikan masin kurau, ok, kita kasi rendam dulu, biar tak masin. Biasanya che mat rendam semalaman, sebab utamanya nak kurangkan rasa masin, kang kalau masin2 tekanan darah naik pulak. Bagi yang takde masalah kesihatan, boleh rendam sekejap ajer, tapi kalau garam kena jagalah. Nak ganti dengan ikan talang masin pun sedap, ikan duri masin pun ok, ikut selera masing2. Kari che mat agak ringkas takde guna segala macam bijik butik rempah campur bagai, yang penting kau ada rempah kari ikan dan cili kisar untuk rasa pedas dan cantik kan warna kuah dia. Nak cuba masak? Jomm semak resipi kat bawah ni..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji terung ungu
4 - 5 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isinya
1 biji tomato, belah 4
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1 kiub pati ikan bilis
1/2 camca besar pes asam jawa
1 camca besar sos tomato
1 camca besar sos cili
2 camca besar cili kisar
1/2 inci halia*
2 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup*(*ditumbuk halus)
2 camca besar penuh rempah kari ikan dibancuh dengan 1/3 cawan air hingga menjadi pes
200 ml santan, sederhana cair
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
2 tangkai daun kari
4 biji bawang merah, hiris

CARA MEMBUATNYA:-)

  1. Tulang ikan masin dicuci bersih dan rendam 4 - 5 jam, toskan. Terung dikerat 2 setiap 1, kemudian belah 2 setiap keratan. Setiap keratan dibelah 2 lagi tapi jangan sampai putus, rendam dalam air yang dimasukkan sedikit garam, tujuan untuk mengelakkan terung bertukar warna. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/3 cawan. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga wangi. Masukkan cili kisar, sos cili, sos tomato dan bahan2 tumbuk halus, kacau rata dan masak hingga cili garing. Tambah pes rempah, kacau rata dan masak hingga rempah wangi dan naik minyak.
  3. Masukkan  pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya, anggaran 700 ml. kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan kiub ikan bilis dan terung (toskan dulu air rendamannya), biarkan terung separuh masak, boleh masukkan tulang ikan masin kurau, kacau perlahan dan biarkan mendidih.
  4. Tuang santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali masukkan tomato, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan kari terung dengan nasi putih, sambal belacan, telur dadar dan ulam-ulaman. Selamat mencuba..

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.