Assalammualaikum, salam semua. Dah malam2 baru ada kelapangan waktu nak update blog. Sebelum tu, 29 hb Julai 2019 lepas, blog tiffinbiru meraikan hari ulang tahun yang ke-12. Diam tak diam dah 12 tahun juga che mat berblog, walaupun sekarang ni dah kurang aktif, tapi jika ada keizinan, in sha Allah blog tetap akan dikemas kini. Terima kasih pada semua yang masih setia dan sudi singgah ke blog tua ini dan jadikan ia sebagai bahan rujukan. Kali ni che mat nak kongsikan resipi kek, lama juga tak buat kek. Dan kek hari ni agak senang dibuat dan tak menggunakan mentega atau majerin, tapi kita guna minyak jagung (kalau nak guna minyak sayur pun boleh, tak de masalah). Rumah che mat ada beberapa sisir pisang yang masak ranum, dan dah jadi habuan burung, sayang pulak, nak dibuat cekodok atau lempeng, macam dah boring pulak, jadi kita oter jadikan kek chiffon. Resipi ini tidak menggunakan banyak sangat bahan2 dan in sha Allah rasa dia sedap...
Bagi yang kurang gigi, kek ini amat sesuai, lembut dan lembap, tak sempat nak kunyah, lesap ajer dalam mulut. Kalau tersangkut, kita lalukan pulak dengan air teh panas, laju ajer masuk dia, licin terus. Untuk kek chiffon pisang, che mat gunakan acuan tube atau acuan kek chiffon berukuran 19 cm, kalau ada yang 20 cm pun sesuai juga. Kek ini akan naik tinggi tapi bila dah masak ia akan turun sedikit. Tips nak dapatkan kek chiffon yang elok dan tak mengecut, pastikan selepas dikeluarkan dari oven, terus terbalikkan acuan kek atas jaringan dan biar dalam keadaan terbalik hingga kek sejuk, baru kita keluarkankan kek dari acuannya. Mesti dah faham kan? Ok, jomm kena semak resipi di bawah ini...
BAHAN-BAHAN A :-)
4 kuning telur gred A
20 gram gula kastor
50 gram minya jagung @ minyak sayur
110 gram tepung gandum
150 gram pisang tanpa kulit, dilecek halus
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam halus
BAHAN-BAHAN B :-)
4 putih telur gred A
60 gram gula kastor
1/4 camca teh krim of tartar
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan oven pada suhu 180C. Sediakan acuan kek chiffon berukuran 19 cm atau 20 cm, tak perlu disapu dengan mentega. Dalam bekas besar, satukan kuning telur dan 20 gram gula kastor, kacau dengan whisk hingga berkrim dan gula hancur. Masukkan pisang lecek, garam dan esen vanilla, kacau rata. Tambah tepung sedikit demi sedikit dan gaul rata. Akhir sekali masukkan minyak jagung, kacau hingga sebati dan ketepikan.
- Dalam mangkuk yang kering dan bersih, masukkan putih telur, putar hingga berbuih, tambah krim of tartar dan gula sedikit demi sedikit dan terus memutar pada kelajuan tinggi hingga putih telur kembang dan kental. Matikan mixer.
- Masukkan 1/3 bahagian putih telur ke dalam adunan pisang dan gaul rata, guna kaedah kaup balik, masukkan 1/3 bahagian lagi, gaul rata dan masukkan bakinya. Gaul hingga semua rata dan sebati, pastikan digaul perlahan.
- Tuang dalam acuan, dan bakar selama 45 minit atau hingga masak. Uji kek dengan mencucuk bahagian tengahnya dengan lidi sate bersih atau cake tester, jika keluarnya bersih, tanda kek dah masak. Keluarkan acuan kek dari oven dan terbalikkan atas jaringan dan biar hingga sejuk.
- Sisip tepi bahagian kek dengn spatula, keluarkan dan sisip pula bahagian bawah dan tengahnya. Keluarkan kek dan boleh dipotong. Hidangkan untuk minum petang. Selamat mencuba!
3 Comments
sedapnyaaa kek chifon pisang
ReplyDeletehttps://nurain-syahirah.blogspot.com/2019/07/review-restaurant-new-saladin-in-daegu.html
wahhhhhhh fav saya ni
ReplyDeletesedapnya lahai
ReplyDelete