LONTONG SINGAPURA

rsz_lss

Assalammualaikum, salam Ahad. Semalam che mat tak masak, dan hari ni memang merancang nak bikin lontong. Maka petang semalam che mat rebus ketupat segera. Kuah lodeh pulak kita cuba resipi dari Singapura. Che mat google2 juga resipi di internet dan terpikat resipi dari orang lama tanah Temasik, iaitu Puan Asmah Laili atau lebih mesra dipanggil Mami Asmah. Beliau bukan sahaja hebat memasak tapi juga penyampai radio terkenal di Singapura dulu. Dan che mat tak ikut 100% resipi beliau, guna apa yang ada dalam peti sejuk. Lontong che mat ni banyak kekurangannya, tempe takde, serunding pun takde, cuma benda2 asas sahaja. Kalau ikutkan lontong yang 'asli'. kita guna beras yang dimasukkan dalam daun pisang, diponjot bentuk silinder, diikat atas dan bawahnya, kemudian direbus. Tapi Che mat guna ketupat NONA atau anda boleh guna nasi impit yang dibikin sendiri. 

rsz_lss1
Kalau ikut resipi dari Mami Asmah Laili, dia masukkan hirisan daun kunyit. Tapi che mat tabur kendian. Ini terpulang pada anda, dan jangan tanya che mat, betul ke lontong Singapura kuah lodeh dia ada taruk hirisan daun kunyit. Kita hanya ikut resipi yang diberi oleh 'orang Singapura'. Rencahnya agak mewah, ada ikan bilis, udang kering dan udang hidup (che mat guna udang saiz kecik, jadi tak kelihatan dalam gambar). Ada juga yang kasi tau, lontong Singapura ditambah dengan begedil. Jika anda rajin. dan inginkan kelainan, boleh lah buat dan hidangkan bersama lontong. Ok, che mat kongsikan resipi tapi sukatannya main agak2 saja yea, ikut bijak anda lah nak menggayakannya..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/4 bahagian kobis bulat, hiris kecil, cuci dan toskan
1 batang lobak merah saiz kecil, potong bentuk jejari
1/2 biji sengkuang saiz sederhana, potong bentuk jejari
5 keping cendawan 'black fungus @ cendawan telinga kera', potong kecil
5 tangkai kacang panjang, hiris serong
2 keping tauhu, potong kiub
2 keping tempe, potong kiub (tak letak sebab tak de)
Sebesar penumbuk bunga kobis, dipotong sekuntum2
Fucuk @ tauhu kering secukupnya, potong kecil dan rendam hingga lembut
1/3 cawan isi udang
1 cekak soo hoon, kerat pendek
1 batang serai, diketuk
1.2 liter santan cair
300 ml pati santan
1 helai daun kunyit, hiris halus
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
7 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas - 5 minit dan toskan
1 genggam udang kering, rendam sekejap dan toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
1 batang serai, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Nasi impit atau ketupat
Sambal tumis
Telur rebus, dibelah dua
Serunding (optional)
Begedil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LODEH :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis serai titik dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan lobak merah, sengkuang dan cendawan 'black fungus', kacau rata dan tuang santan cair. Biarkan mendidih hingga lobak merah dan sengkuang empuk sedikit. Masukkan bunga kobis, tauhu, tempe dan kacang panjang. Kacau dan masak sekejap. Tambah sedikit air jika perlu.
  2. Masukkan kobis, udang dan juga soo hoon, kacau rata dan tuang pati santan. Masak dengan api kecil dan kacau sekali sekala. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Tambah hirisan daun kuyit (jika guna). Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama bahan2 lain.
  3. UNTUK LONTONG SINGAPURA :- Masukkan secukupnya ketupat atau nasi impit dalam bekas sesuai. Cedok kuah lodeh bersama isi2nya dan tuangkan atas ketupat/nasi impit tadi. Tambah telur rebus, seruding, begedil dan hidangkan dengan sambal tumis. Jika suka boleh hias dengan hirisan daun kunyit...Sedap dimakan panas....Selamat mencuba!!

Post a Comment

2 Comments

  1. Hujan2 pastu tgk makanan sedap , ko ghase. Haha dapnyee

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Pak Mat Gebu & semua, best sangat resepi dari Pak May Gebu ni������boleh try selepas ini, jemput lawat our blog di http://sambalbelacan.com ����

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.