RESIPI BUN SARDINE

rsz_rsk
Assalammualaikum, salam semua. lama betul tak bikin roti, sebenarnya sudah beberapa kali keluarkan tepung, ragi dan bahan2 untuk meroti, tapi kemalasan berpanjangan, maka che mat masukkan kembali bahan2 roti ke dalam peti sejuk. Hari ni bertekad, macam mana pun nak juga meroti. Lagi pun bukan uli guna tangan, cuma masukkan ke dalam Bread Maker (BM), sahaja. Kalau anda takde BM, boleh guna mixer atau guna tangan, cuma guna tangan kena kerja lebih sikit lah, menguli dalam 15 minit hingga doh kenyal dan elastik. Untuk inti sardine che mat guna 1 tin kecil sardine cap ayam. Kalau anda suka pedas, boleh masukkan 1-2 biji cili padi yang dicincang halus.

rsz_rsk1
Resipi ini akan menghasilkan 10 biji bun sardine saiz sederhana. Che mat saja2 taruk dalam bekas macam dalam gambar tu. Anda boleh susun dalam loyang pembakar seperti bun biasa. Sebenarnya ada keju dalam setiap bun sardine, sebab masa nak ambik gambar ni roti mula jadi sejuk, keju pun dah mula beku, tak cair. Kalau anda bikin, makan masa roti suam2, dan keju tadi akan meleleh, Che mat guna keju mozarella. Tapi terpulang pada anda sama ada nak letak keju atau tidak, tiada paksaan, ikut selera masing2. Untuk hiasan atas roti, che mat guna hirisan daun kucai, boleh juga guna bijan atau dibiarkan kosong. Sesuai untuk sarapan pagi dan minum petang...Resipi seperti berikut, dan che mat tuliskan 2 kaedah, pertama guna BM dan kedua guna tangan....

BAHAN-BAHAN DOH :-)
250 gram tepung roti (high protein flour)
50 gram gula kastor
6 gram instant yeast
1/4 camca teh garam halus
1/4 camca teh bread improver
1/4 camca teh bread softerner
1 camca besar penuh susu tepung 
30 gram telur (pecahkan 1 biji telur, pukul sedikit dan timbang, simpan bakinya)
20 gram mentega
125 ml air (kalau uli guna tangan, guna air suam)

BAHAN-BAHAN INTI SARDINE :-)
1 tin kecil sardine cap ayam, hancurkan
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 keping hirisan halia, cincang halus
1 biji kecil cili merah, buang biji dan cincang halus
1 biji kecil cili hijau, buang biji dan cincang halus
1 biji limau kasturi, perah jusnya
Sos ikan secukup rasa (boleh guna garam)

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
2 camca besar susu segar
Hirisan kucai
Keju mozarella dipotong sebesar hujung jari (10 biji)

rsk2
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH ROTI :- KAEDAH BREAD MAKER : Masukkan air dalam breadmaker diikuti dengan semua bahan2 untuk doh, pilih setting untuk 'DOH' dan tekan 'ON'. Tunggu hingga doh siap. Biasanya BM akan membancuh adunan selama 5 minit, kemudian menguli selama 25 minit dan memerap doh selama 1 jam (bergantung pada jenis BM yang anda guna).
  2. KAEDAH ULI DENGAN TANGAN : Dalam satu bekas, masukkan yeast, 1 camca besar gula kastor (gunakan dari senarai bahan2 untuk doh) dan 1/2 bahagian air suam. Kacau dan biarkan yeast hingga berbuih (lebih kurang 5 minit). Dalam bekas lain, masukkan kesemua bahan2 untuk doh kecuali baki air suam dan telur. Gaul rata dan buat lubang ditengah2. Tuang telur dan gaul perlahan. Masukkan bancuhan yeast dan gaul hingga semua sebati. Tambah baki air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga adunan menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk. Tabur tepung di meja kerja, keluarkan doh dan uli selama 15 minit, gunakan tapak tangan untuk menolak doh semasa menguli. Bila doh kenyal dan elestik, bulat2kan doh, masukkan ke dalam mangkuk. Bungkus mangkuk dengan plastik bersih dan perap selama 1 jam. 
  3. UNTUK INTI :- Sementara menunggu doh naik, kita bikin intinya pulak. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, cili merah dan cili hijau hingga layu. Masukkan sardine, kacau rata dan masak hingga kering, guna api kecil dan kacau sentiasa. Perasakan dengan sos ikan secukup rasa (atau garam). Akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau rata, rasa dan jika ok boleh matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian (che mat bahagikan inti sardine pada 10 bahagian sama banyak).
  4. UNTUK BUN SARDINE :- Tabur sedikit tepung pada meja kerja. Keluarkan doh dan tumbuk untuk membuang udara, uli sekejap kemudian bahagikan doh pada 10 bahagian yang sama saiz dan bulat2kan (anda boleh timbang jika suka). Ambil 1 biji doh, leperkan dan sudukan 1 bahagian inti sardine, taruk 1 hirisan keju. Kemudian cantumkan doh hingga menutupi inti tadi. Kemas dan bulat2kan, susun dalam loyang yang disapu sedikit mentega atau boleh guna paper cup macam dalam gambar tu. Buat hingga siap.
  5. Biarkan selama 45 minit atau hingga naik sekali ganda. Panaskan oven pada suhu 180C, selama 15 minit. Baki telur tadi dicampur dengan 2 camca besar susu segar, kacau rata. Sapukan atas roti dan tabur dengan hirisan daun kucai sebagai hiasan. Bakar selama 20 minit atau hingga kuning keemasan. Keluarkan roti dari oven dan sejukkan sekejap. Hidangkan roti suam untuk minum petang atau sarapan pagi...Selamat mencuba!!

Post a Comment

4 Comments

  1. sedapnya che mattt, keroncong perut tau!

    ReplyDelete
  2. Terliur nengoknya.... Part paling sadis yg bun dah koyak dua nampak isi dalamnya
    Bikin nangis oooo~

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum che mat gebu,

    Saya amat tertarik dgn entri pasal roti ni, maklumlah sy baru je berjinak2 dalam dunia roti ni.

    ni satu nak tanya, kalau kita uli pakai tangan, kenapa ya sy punya hasil tak seberapa mcm dlm gambar tu, baru2 ni sy cuba resepi dari web, dia guna 500g tpg dan 7g yis gitu, mungkin teknik uli sy tak betul atau tempoh uli yg tk brp cukup,

    tu sbbnya, sy takde BM so mmg tgh blajo pakai tgn so sdg blajar jgklah ttg teknik dan cara menguli yang betul.

    Baru2 ni sy guna resepi yg didapati dari sini: www.bbcgoodfood.com/recipes/1916656/easybake-bread

    Hasilnya, tekstur yg agak jarang dan sedikit kasar hehe. Lebihan doh sy buat pizza, rasanya agak keras sikit tapi boleh la makan, mungkin sbb terlebih lama perap.

    Maklumlah baru nak mula. mungkin sy boleh belajar teknik2 menguli dgn betul sikit demi sikit dari laman web ini, sbb nampaknya semua resepi roti disini bagus2 belaka.

    Keep it up, CMG!!!

    ReplyDelete
  4. wah cikmat..tadi kak ita tunjuk nasi lemak terasa mcmnak buat esok..tetiba cikmat tunjuk roti pulak...aduhai..kenapa la dugaan ini rasanya teramat berat...

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.