RESIPI LONTONG KUAH LODEH

Assalammualaikum, salam sejahtera semua dan selamat tahun baru 2023 bersamaan 8 Jamadilakhir 1444 Hijrah. Lama betul tak update blog, sampai ada yang ingat che mat dah tak berblog lagi. Entahlah sejak ada umur ni, mood berblog pun dah tak berapa nak ghairah seperti dulu. Nak masukkan resipi rasa tak berapa nak rajin, terutama part nak ambik gambar. Resipi yang che mat masak pun cuma biasa2 saja. Kat IG dan FB pun dah ramai yang berkongsi resipi yang lagi elok. Cuma ada kala, rasa sayang dengan blog tiffinbiru yang telah banyak merubah diri che mat. Sempena tahun 2023 ni, mariah kita mulakan dengan satu entri baru yang resipi dia tak delah baru sangat. Tahun lepas, che mat saja2 lah habiskan beleh2 ketupat segera adabi yang tersimpan dalam freezer rumah, kita kasi rebus dan terus plan tahun depan (hari ni) nak buat lontong. Kalau ikutkan lontong tu sebenarnya beras yang diisidalam kelongsong daun pisang berbentuk silinder kendian direbus 4 - 5 jam dan menghasilkan nasi seakan2 ketupat, yang tu dipanggil lontong. Dihidangkan dengan kuah lodeh. Kalau kat Johor, lontong dihidangkan sebagai sarapan pagi dan time hari raya..

Hidangan lontong biasanya disertakan dengan serunding, sambal tumis atau kuah kacang serta telur rebus. Kalau di Singapura, mereka akan tambah begedil. Ada macam2 rasa memasak kuah lodeh untuk lontong, kata orang kalau kuah lodeh ori, kaler dia kuning keorenan dan bukan kuning. Kalau kuah putih tu luah lodeh orang malas katanya, sebab dah serupa masak lemak putih biasa. Pada che mat, itu semua tak jadi isu, kita buat, kita yang makan. Asal jangan kuah lodeh kaler pink sudah lah. Untuk resipi kali ini kuah lodeh tu che mat kisarkan cili merah sebiji untuk beri warna kuah dia sedikit berlainan dan ditambah udang hidup sebagai rencahnya, selain udang kering. Sambal dia sedikit lain, che mat bikin sambal sotong dan untuk sedikit kelainan, che mat tambahkan kacang tumbuk. Moga resipi lontong ini dapat memberi inspirasi buat semua di tahun 2023...Jomm kita semak resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHAN KUAH LODEH :-)
4 tangkai kacang panjang, hiris serong
2 keping tauhu, dipotong kiub
2 keping tempe berbungkus daun, dipotong kiub
1 batang kecil lobak merah, dipotong seperti batang mancis
1/2 biji sengkuang saiz kecik, dipotong seperti batang manis
1 biji terung bulat, dipotong kiub dan rendam
1/4 bahagian kobis bulat saiz sederhana, hiris kecil, cuci dan toskan
Fucuk/tauhu kering sebesar 2 tapak tangan orang dewasa, potong kecik dan rendam hingga kembang
1/2 cekak suhun, kerat pendek
1 kotak (200ml) santan kara 
3 helai daun salam (optional)
1/3 cawan isi udang
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 camca besar penuh udang kering, direndam 10 minit dan toskan
1 biji cili merah
1 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
1 batang serai, dihiris

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Nasi himpit atau ketupat secukupnya
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Serunding kelapa
Sambal tumis (yang ini ikut pilihan masing2)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tahu dan tempe digoreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Dalam periuk, panaskan minyak anggaran 5 camca besar. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum dan pecah minyak. Masukkan daun salam, kacau rata dan tuang air secukupnya, anggaran 1 liter. Kacau dan biarkan mendidih, Masukkan sengkuang dan lobak merah, masak hingga lembut. Tambah fucuk (toskan dulu air rendamannya), tempe dan tauhu. 
  2. Biarkan mendidih, kendian masukkan kacang panjang, kobis dan terung (toskan air rendamannya), kacau dan masak sekejap. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas. Bila sayur lembut sedikit, boleh masukkan isi udang diikuti santan, kecikan api dan kacau hingga rata. Perasakan dengan garam secukup rasa dan Biarkan mendidih, akhir sekali masukkan suhun, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. 
  3. UNTUK MENGHIDANG LONTONG :-  Taruk secukupnya nasi himpit atau ketupat dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah lodeh dan hias dengan telur rebus, serunding dan juga sambal tumis. Kalau ada begedil, boleh ditambah sekali dalam hidangan. Boleh hidangkan untuk sarapan pagi atau ikut suka tekak korang bila nak makan... Selamat mencuba!

RESIPI SAMBAL SOTONG KACANG TUMBUK...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor sotong kembang saiz besar
1/2 cawan cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa adabi
1 camca besar penuh gula Melaka
2 camca besar kacang tanah tumbuk
Garam secukup rasa
1/2 cawan air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
3 keping hirisan nipis halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong kembang dipotong kecil, cuci dan toskan. Kemudian celur satu minit dalam air mendidih, angkat dan toskan. Dalam kuali, panaskan 1/3 cawan minyak masak. Tumis bahan2 kisar halus hingga wangi, masukkan cili kisar dan kacau rata. Masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
  2. Tuang air, kacau dan bila mendidih, boleh masukkan sotong. Tambah gula melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa. Masukan kacang tumbuk, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga sambal pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 

Post a Comment

3 Comments

  1. Menu feveret ni 😋. Selamat tahun baru che mat & selamat bercuti juga.

    ReplyDelete
  2. salam kenal.. wah.. fav ni..dapppp

    ReplyDelete
  3. Sedap pulak tengok.. Selamat Tahun Baru

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.