RESIPI DAGING SALAI MASAK LEMAK SAMA PUCUK PAKU

Assaalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan resipi tradisi orang melayu dan masakan sebegini popular di Negeri Sembilan. Tapi bahan2 yang che mat guna bukan lah authentic macam orang nismilan masak. Ini lebih kepada masakan ikut selera. Daging salai masak lemak sama pucuk paku, mungkin ada yang pernah masak walaupun bukan orang negeri sembilan. Daging salai diimport dari Rembau dan che mat suka aroma daging salai yang disalai dengan sabut kelapa. Bau asap di cukup wangi. Kalau daging salai modern yang mereka salai kemudian tutup, ianya agak 'kuat' dengan bau asap. Tapi ini semua terpulang pada selera masing2. Kalau yang tak suka daging salai, boleh guna daging lembu biasa yang telah direbus terlebih dahulu. Nak2 tak lama lagi kan raya korban, kalau dapat daging lembu, boleh cuba masak macam ni, memang terangkat wehhh!

Disebabkan daging salai ni agak liat, jadi che mat rebus dulu dengan rencah2 dia sampai daging tu lembut, kendian baru dimasukkan pucuk paku. Nak cepat boleh rebus dalam periuk tekanan kurang lebih 20 minit, yang ni ikut periuk tekanan masing2. Pucuk paku pulak guna yang daun hijau atau pucuk paku perak dalam secekak macam tu, kalau lebih pun ok, sebab bila dah masak nanti dia kecut, jadi tak banyak dah. Kata mak che mat, orang nismilan kalau masak lemak atau lemak cili api daging/ayam, mereka gunakan serai kalau ikan atau makanan laut, baru gunakan daun kunyit, serai tak perlu. Tapi pada che mat lah, kalau korang suka nak taruk, humbankan saja lah, tak salah mana, cuma tak klasik lah kan sebab derhaka resipi yang asli. Satu lagi, kalau masak guna ikan, asam gelugor akan diganti dengan perahan jus limau kasturi untuk mendapat rasa masam dia. Yang ni memang ngam sangat dengan ikan, terutama ikan air tawar. Ish, cerita2 ni terliur pulak tekak, jom lah kita semak resipi, kalau ada kesempatan jangan lupa cuba....

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram daging salai yang telah dihiris, cuci dan toskan
2 batang serai, diketuk
1 cawan santan segar
2 cawan santan cair (atau boleh ganti dengan air)
2 keping asam gelugor
1 cekak pukuk paku perak (pucuk paku daun hijau)
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN2 TUMBUK HALUS :-)
1/4 cawan cili padi kampung
4 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan daging salai ke dalam periuk. Tambah bahan2 tumbuk halus dan serai titik, tuang santan cair (atau air), kacau rata dan masak hingga daging salai lembut, tambah air panas jika perlu (kalau rebus guna periuk tekanan, ambik masa kurang lebih 20 minit).
  2. Sementara itu pucuk paku perak diambil daun dan bahagian lembutnya sahaja. Cuci 1 - 2 kali dan toskan hingga kering. Bila daging salai dah lembut, boleh masukkan pucuk paku dan asam gelugor. Kacau perlahan dan masak dengan api sederhana. Tambah air panas jika kurang kuah.
  3. Kecilkan api dan tuang pati santan, kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukupnya. Biarkan mendidih dengan api kecil sambil dikacau supaya pati santan tidak berkepala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangan dengan nasi putih dan lauk pauk yang lain. Selamat mencuba!.

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.