RESIPI ASAM PEDAS AYAM DAUN KESOM

Assalammualaikum, hari ni che mat masak asam pedas ayam daun kesom. Rasanya dah lama juga tak masukkan resipi asam pedas dalam blog tiffinbiru, jadi sebagai mengimbau kenangan silam, che mat rajin2kan diri lah hari ni, kita masukkan entri asam pedas ayam. Asam pedas ayam antara hidangan unik di Johor, macam kat Melaka, ada asam pedas tetel. Biasanya kalau masak asam pedas ayam, daun kesom dan bunga kantan antara herba yang wajib ada. Sebagai bahan sampingan atau bahan 'ada-ada', kami masukkan nenas. Yang tu terpulang pada selera masing, nak masukkan bendi boleh, terung pun ok, tomato ke atau pun tak perlu masukkan apa2. Cara menyediakan asam pedas ayam ni senang saja, kalau nak lagi sedap boleh guna ayam kampung atau ayam pencen(ayam tua). Tapi che mat guna ayam daging biasa saja, dalam 1/2 ekor macamt tu. Kuah asam pedas ni kalau cecahkan dengan lempeng pekak atau roti prata, memang ngam sangat, sedappp! Tak percaya nanti boleh cuba tapi kena lah masak dulu. Resipi che mat kongsikan di bawah ni..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
1 biji nenas saiz kecil, kupas, buang empulur dan potong besar2
1 camca besar pes asam jawa Adabi
1 kiub pati ayam (optional)
1 batang serai, diketuk
1/3 cawan cili kisar
1/2 camca teh lada hitam, ditumbuk halus
1 - 2 kuntum bunga kantan, dibelah dua
1 genggam daun kesom
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
Secubit belacan (sebesar hujung jari)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/4 cawan. Tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga wangi. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Gunakan api sederhana dan kacau sentiasa. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut dan berubah warna.
  2. Masukkan pes asam jawa dan lada hitam tumbuk, kacau rata dan tuang air hingga ayam tenggelam, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kiub pati ayam (jika guna) dan daun kesom, ramas dulu daun kesom tadi sebelum dimasukkan ke dalam periuk. Sederhanakan api dan biar hingga ayam 1/2 empuk.
  3. Masukkan nenas, kacau perlahan dan tambah bunga kantan. Masak hingga ayam empuk, perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan asam pedas ayam dengan ulam-ulaman, telur dadar dan nasi panas. Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.