RESIPI KEK PISANG LEMBAP

Assalammualaikum, salam 5 Syawal 1442 Hijrah. Tahun ni kita semua sambut hari lebaran sama macam tahun lepas. Takpe lah janji kita semua patuh SOP untuk mengelakkan penularan Covid19. Benda ni bukan main2 dan ada juga segelintir yang ambik remeh, tapi beringatlah jangan pulak kita jadi penyebab kesedihan pada orang lain. Yelah, katalah dah tau kita ada covid tapi tak ambik langkah sewajarnya dan sengaja berada di tempat2 awam. Raya tahun ni pun agak hambar dan aktiviti sudah pasti banyak dihabiskan di rumah. Anak2 juga sudah mula bersekolah tapi belajar secara atas talian di rumah masing2. Hari ni che mat saja buat kek pisang untuk mengisi rasa bosan. Kebetulan ada pisang embun atau pisang masak hijau dari  pokok yang abang long tanam. Kata mak, pisang embun antara pisang paling sedap kalau nak buat kuih atau kek, sebab rasa dia lemak2 manis dan wangi. Jadi che mat pun on lah buat. Kalau nak buat kek pisang, pilih pisang yang betul2 masak ranum, baru kek jadi cantik dan molek. Dan tempoh hari abang long ada juga belikan acuan kek di Lazada (boleh tengok contoh acuan di sini). Che mat memang mengidam lama acuan pattern yang ini, tapi yang beli yang jenama nordicware tu mahal sangat, rasa macam membazir pulak, lagi pun bukan kita buat kek kerap sangat. Beli pun sebab nak dapatkan corak dia saja, betul tak. Acuan yang ni harga di Lazada termasuk pos kurang lebih RM 45 ajer, berbanding yang jenama tu harga saja hampir RM 300! Boleh pingsannnnnn!..

Resipi kek pisang lembap ni dah kerap kali juga che mat kongsikan dalam blog. Kek ini boleh juga kalau nak dipelbagaikan, contohnya boleh dimasukkan kacang walnut, pecan atau parutan coklat. Selain tu boleh juga ditabur dengan parutan keju cheddar atasnya sebelum dibakar. Che mat guna gula perang atau soft brown sugar sebagai ganti gula kastor. Lagi pun pisang tu sendiri dah manis, apa tah lagi kalau kita masukkan parutan coklat, bertambah2 manis jadinya. Kuantiti kek ini juga ngam2 dengan tin kek baru yang che mat guna tu. Naik dia pun sedang elok ajer. Toksah risau bila nampak kek agak tinggi, sebab bila dah masak, dia akan kecut sedikit. Kalau dibiarkan semalaman, kek akan jadi lagi moist. Hidangkan pulak dengan teh O panas atau kopi O, memang nyaman sangat. Jomm che mat kongsikan resipinya di bawah ini. Kalau ada masa boleh lah cuba nanti..

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 ml minyak jagung
5 biji telur gred A
100 gram gula perang lembut (soft brown sugar), boleh juga guna gula kastor
1 camca besar ovallate
250 gram tepung gandum*
1 camca teh rata soda bicarbonate*
1/4 camca teh garam halus*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
1 camca teh esen vanilla
250 gram pisang embun, dilecek halus (boleh guna pisang montel, pisang emas, dll)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 170C, sapu acuan pilihan anda dengan mentega atau majerin, jika guna tin kek (8 x 8 x 3 inci), alas dasarnya dengan kertas minyak dan lenserkan juga kertas tadi dengan mentega atau majerin. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk pengadun, satukan gula perang dan ovallate, putar hingga rata. Masukkan telur dan putar pada kelajuan tinggi hingga telur kembang seperti adunan kuih bahulu, kurang lebih 8 - 9 minit. Perlahankan kelajuan, masukkan pisang lecek dan esen vanilla, putar rata.
  3. Pada kelajuan paling perlahan, masukkan tepung yang telah diayak tadi sedikit demi sedikit hingga habis, putar sebati. Matikan mixer dan cedok 1/3 bahagian adunan dan masukkan ke dalam mangkuk. Tambah minyak jagung dan kacau hingga sebati. Kemudian masukkan kembali ke dalam mangkuk adunan dan gaul rata hingga sebati menggunakan spatula. Pastikan digaul perlahan2.
  4. Tuang dalam acuan yang telah disediakan, ratakan dan ketuk sedikit acuan tadi untuk membuang udara. Bakar dalam oven selama 40 - 45 minit, atau bila diuji dengan mencucuk lidi sate bersih atau cake tester dibahagian tengah kek dan jika keluarnya bersih, tanda kek dah masak. Keluarkan kek dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan kek dari acuan.Sejukkan atas jaringan sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.