RESIPI PULUT SERUNDING

RESIPI PULUT SERUNDING

Assalammualaikum, salam 10 Ramadan 1442 Hijrah. Hari ni che mat masak awal untuk berbuka puasa. Menu simple saja, ada pucuk manis tumis air, sotong goreng kunyit, sambal tumis ikan kembong dan dalam masa sama, sempat juga lah buat pulut serunding. Ni pun sebab ada serunding frozen, tinggal kukus pulut, bentukkan dan golekkan dengan serunding, dahh siap. Faham2 sajalah bila bulan puasa ni, tekak mulalah teringin nak makan macam2. Tapi che mat memang malas nak ke bazar ramadan, apa tah lagi dengan keadaan sekarang yang membuatkan kita kurang selesa nak ke tempat yang sesak2. Maklumlah bila dah ramai tu, SOP pun macam nak tak nak ajer, semua nak cepat. Jadi yang mana boleh buat sendiri kat rumah, tu kita buat lah. Resipi ni che mat hanya guna kurang lebih 1 cawan pulut dan dicetak menggunakan cawan teh cina plastik kaler merah yang biasa orang buat kuih lompang tu. Dapatlah dalam 10 - 11 biji macam tu. Pulut tu kita kukus dengan sedikit santan. Kalau nak tanak pun boleh, tapi che mat rasa kukus lagi senang, tak risau hangus atau berkerak. Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHAN SERUNDING KELAPA :-)
2 cawan kelapa parut putih, kalau boleh parut biar kasar2 sikit
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca besar cili kisar
1 helai daun limau purut
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, dihiris
1/2 camca teh jintan putih serbuk
1/2 camca teh jintan manis serbuk
1 camca besar rata ketumbar serbuk

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul kelapa parut dengan serbuk kunyit dan ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga naik minyak. Tambah kelapa parut, gaul rata.
  2. Masukkan gula dan garam secukup rasa, tambah daun limau purut dan kacau dengan api kecil hingga serunding kering dan berderai. Biarkan sejuk dan boleh digunakan. Atau boleh dibekukan dalam freezer untuk kegunaan kemudian.

BAHAN-BAHAN PULUT SERUNDING :-)
1 cawan penuh  membukit pulut, cuci dan rendam 2 jam, toskan
1 cawan air*
4 camca besar santan kotak*
1/2 camca teh garam*
1 camca teh minyak masak*(*disatukan dan kacau rata)
1 helai daun pandan, dikerat

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan. Masukkan pulut yang telah ditoskan tadi ke dalam loyang. Tuang air yang telah dibancuh dengan santan, garam dan minyak masak tadi, pastikan hingga pulut tenggelam sahaja jangan lebih nanti lembik. Masukkan daun pandan dan kukus selama 15 minit. Gemburkan dan kukus lagi 1 - 2 minit lagi hingga pulut masak. Keluarkan loyang berisi pulut dan biarkan sejuk.
  2. Sapu sedikit minyak pada acuan lompang. Isikan dengan pulut hingga penuh, padatkan dan keluarkan pulut dari acuan. Buat hingga selesai. Golekkan pulut yang siap dibentuk tadi ke dalam serunding hingga rata. Buat kaedah sama untuk baki pulut. Jika suka, hiaskan dengan hirisan cili merah sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.