RESIPI TART BUAH-BUAHAN

RESIPI TART BUAH-BUAHAN

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi yang pasti semua orang suka, tak kira kanak2, orang dewasa atau pun yang dah berusia. Dan satu lagi benda ni memang sesuai untuk semua keadaan, sama ada untuk majlis keraian, perjumpaan keluarga atau untuk makan sendiri, macam che mat. Tart buah-buahan atau fruit tart, satu hidangan yang cukup menarik, walaupun kerap dihidangkan, ianya tetap menjadi kegemaran che mat sampai bila2. Nak membuatnya pun tak susah mana, apa tah lagi sekarang tart shell ready made banyak dijual di kedai2 baking. Kat kampung che mat sendiri ada sorang jiran ni memang mengusahan pembuatan tart shell dan dipasarkan di sekitar kedai2 baking di Kulai, Kluang dan Batu Pahat. Tapi untuk tart buah-buahan ni, shell dia che mat buat sendiri menggunakan acuan bersaiz 4 inci. Untuk buah-buahan terpulang nak guna apa. Che mat hanya ada buah kiwi dan raspberry ajer. kalau ada buah mangga atau peach, lagi cantik dan berseri..

RESIPI TART BUAH-BUAHAN

Walaupun setakat 2 jenis buah ajer, ianya tetap berseri dan cantik dipandang mata. Yang penting cara kita menyusun atau assemble buah-buahan tu dan penambahan sedikit aksesori seperti daun pudina dan croquant (biji2 yang macam kacang tu) sebagai penyeri. Satu lagi tart buah-buahan seelok2nya kita sapu dengan mirror glaze atau boleh guna jem aprikot yang dicairkan dengan sedikit air panas, agar buah-buahan kelihatan berkilat dan menyelerakan. Ini juga dapat mengelakkan buah-buahan tadi jadi kering dan kecut. Tips yang selalu che mat buat untuk mengelakkan tart shell tu cepat lemau, ialah dengan menyapu permukaan tart shell dengan sedikit coklat susu atau coklat masakan yang dicairkan. Ini bertujuan agar bahagian pastry tadi terhalang dari menyerap kelembapan dari kastard dan buah-buahan yang kita guna. Kalau rasa rajin nak mencuba, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini..

BAHAN-BAHAN PASTRI :-)
200 gram tepung halus (atau boleh guna tepung gandum dan diayak 3 kali)
80 gram unsalted butter sejuk, didadu kecil
1 camca besar gula aising, diayak
1/3 camca teh garam halus (kalau guna salted butter, tak perlu taruk garam
1 biji telur gred A, dipukul sedikit
1/2 camca teh esen vanilla

BAHAN-BAHAN KASTARD :-)
1/2 cawan heavy cream
1/2 cawan susu segar
1 1/2 camca besar tepung kastrad (brand Bird's Kastard)
1 camca besar penuh gula halus
1 camca teh esen vanilla
1 camca besar mentega

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Coklat susu atau coklat masakan secukupnya, dicairkan
Buah-buahan segar pilihan anda (Stroberi, Kiwi, Mangga, Raspberry, Anggur dan lain2)
Sedikit jem apricot, dicairkan sedikit sedikit air panas, untuk sapuan
Croquant (butiran bertih jagung kisar), untuk hiasan - optional
Sedikit daun pudina, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PASTRINYA :- Masukkan tepung ke dalam food processor, tambah garam, gula aising dan mentega sejuk. Kisar hingga bahan tadi menjadi seakan2 serbuk roti. Masukkan esen vanilla, putar lagi. Tambah telur sedikit demi sedikit dan terus kisar hingga adunan menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk pengisar. Dan tak perlu ditambah telur lagi. Keluarkan doh, bulat2kan dan sejukkan 20 minit dalam chiller. 
  2. Keluarkan doh dan canai nipis, kurang lebih 0.3 mm, alaskan ke dalam acuan tart berukuran 4 inci, kemaskan dan buah hingga selesai (dapat 4 acuan). Cucuk2 permukaannya dengan garfu dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C, selama 25 - 30 minit. Bila masak, keluarkan dari oven, biarkan 5 minit dan berhati2, keluarkan dari acuan. Sejukkan atas jaringan.
  3. UNTUK KASTARD :- Masukkan kesemua bahan2 untuk kastard ke dalam bekas, kecuali mentega dan esen vanilla. Kacau rata dan tapis ke dalam periuk. Masak dengan api kecil sambil dikacau sentiasa hingga kastard menjadi pekat. Matikan api, masukkan esen vanilla dan mentega, kacau hingga semua sebati. Alihkan kastard ke dalam mangkuk, tutup dengan plastik cling dan pastikan permukaan plastik kena pada bahagian kastard, untuk mengelakkan permukaan kastard menjadi keras. Sejukkan.
  4. UNTUK TART BUAH-BUAHAN :- Sapukan permukaan kulit tart dengan coklat cair hingga rata. Biarkan hingga coklat mengeras, boleh simpan sekejap kulit tart tadi dalam peti sejuk. Sementara itu boleh siapkan buah2an yang nak kita guna. Potong ikut cara mana kita nak susun buah2an tadi atas kulit tart. Paipa atau sudukan kastard yang telah sejuk tadi ke dalam kulit tart. Hias dengan potongan buah2 atasnya. Buat hingga siap.
  5. Sapukan permukaan buah2an tadi dengan aprikot jem atau mirror glaze hingga rata. Hiasn tepinya dengan croquant dan boleh hidangkan. Seelok2nya simpan dalam peti sejuk agar tart buah2an lebih tahan lama. Tapi biasanya tak sempat lama, dahh licin... Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.