RESIPI NASI AYAM

RESIPI NASI AYAM

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni ibarat hari malas masak sedunia. Dah tau tak masak, apsal tak puasa ajer, tanya makcik bawang holland. Entah, pakcik malas nak puasa hari ni, puas hati tak jawapan tu? Tak kuasa nak hipokrit kata lupa lah, kena makan ubat lah. Itu lah, ini lah. Malas kata malas, senang cerita. Ok, disebabkan hari ni che mat malas masak, maka kita masak nasi ayam. Tapi kan, masak nasi ayam ni renyah juga kerja dia. Kalau masak nasi putih, lauk dia, telur dadar pun dah ok. Hmm, macam tu, pakcik dalam kategori rajin sikit lah kan, sebab masak nasi ayam. Buat pun ala kadar ajer, daun salad pun belen2 tu hari punya, ada sikit lagi, yang selebihnya dah lecur. Tomato besar pun ada sebiji, nasib baik ada tomato ceri. Timun ajer yang masih elok. Tapi kan, seronok juga tau masak bila time malas ni, rasa terpaksa rela. Dah lah tu jadi cantik dan sedap pulak. Berbaloi juga lah walaupun terpaksa rela...

RESIPI NASI AYAM

Resipi nasi ayam ni, sama ajer macam orang lain masak. Bahan penting dia mestilah ayam. Cuma ada orang cara masak dia lain, dan mungkin kita lain. Ingatkan malas nak kongsi resipi, tapi rasa sayang pulak blog tak ada isi, kira boleh lah buat ada2. Setakat berkongsi bukan paksa sama2 buat, sekadar untuk rujukan bagi yang diri sendiri dan mereka yang rasa perlu. Nasi ayam che mat tu kaler dia kuning sikit, sebab taruk serbuk kunyit. Satu lagi kalau nasi ayam, che mat suka letak sedikit minyak bijan, dalam 1/4 camca teh, taruk akhir masa kita nak gemburkan nasi. Yang lain2 takde beza kot, eh, entah lah, tengok sendiri lah nanti resipi dia macam mana. Jomm kita mulakan memasak, selamat mencuba!

BAHAN-BAHAN  AIR REBUSAN AYAM :-)
4 keping bahagian besar peha ayam, cuci bersih dan toskan
1 pokok daun bawang, kerat kasar
1 pokok daun ketumbar, kerat kasar
1 biji bawang Holland, belah 4
3 ulas bawang putih, ditumbuk halus
1 inci halia, ditumbuk halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 kiub pati ayam Maggi
2 camca teh penuh garam
Air secukupnya, anggaran , 2.5 liter

BAHAN-BAHAN NASI AYAM :-)
4 cawan beras Basmathi, cuci dan rendam 30 minit, toskan
5 1/2 cawan air rebusan ayam
2 ulas bawang putih, tumbuk halus
1/2 inci halia. tumbuk halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 helai daun pandan, disimpul
2 camca besar penuh majerin atau mentega
1/4 camca teh minyak bijan
1/8 camca teh serbuk kunyit 
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN PERAP AYAM :-)
2 camca besar sos tiram
2 camca besar kicap lemak manis
1 camca besar kicap pekat
2 camca besar madu
1 camca teh serbuk lada hitam

BAHAN-BAHAN SOS :-)
5 biji cili merah
2 biji bawang putih,
6 biji tomato ceri atau sebiji tomato biasa
1 camca besar sos cili
1 camca besar cuka makan
1 cawan air rebusan ayam
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN SUP :-)
Air rebusan ayam secukupnya
1 sup bunjut, adabi
1 camca besar bawang goreng
Garam secukup rasa
Sedikit lada sulah, jika suka
Hirisan daun sup untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasaN

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Daun salad, secukupnya
Hirisan timun, secukupmya
Hirisan tomato, secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AIR REBUSAN AYAM :- Masukkan ke semua bahan2 untuk air rebusan ayam ke dalam periuk, kecuali ayam. Masak hingga mendidih dan masukkan ayam. Biarkan hingga ayam masak, dan keluarkan ayam tadi, toskan air nya dan masukkan ayam ke dalam satu bekas. Air rebusan tadi ditapis dan ketepikan.
  2. Satukan kesemua bahan2 perap untuk ayam (kecuali madu ), dengan ayam yang telah direbus tadi, gaul rata dan  perap 45 minit. Simpan dalam peti sejuk. Sementara itu, kita masak nasi ayam pulak. Panaskan majerin dalam kuali, tumis halia, bawang putih, kayu manis, bunga lawang dan daun pandan hingga wangi. Masukkan serbuk kunyit dan beras, goreng beras selama 5 minit. Alihkan beras ke dalam periuk nasi elektrik, tuang air rebusan ayam, perasakan dengan garam secukup rasa dan masak seperti biasa. Bila nasi masak, tuang minyak bijan dan gemburkan. Tutup periuk dan biarkan 3 - 4 minit lagi, boleh matikan suis  periuk nasi, tujuan untuk mengelakkan nasi berkeras.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam, goreng ayam yang telah diperap tadi, goreng toksah lama2, sebab ayam tukan kita dah rebus dulu. Bila kedua2 bahagian ayam perang keemasan, ok boleh angkat. Dan lepas angkat tu, masa panas2 terus sapukan madu rata2 pada keseluruhan ayam tadi. Ketepikan.
  4. Untuk sos pulak, kisar semua bahan2 kecuali garam, gula dan cuka. Tuang ke dalam periuk kecik, masukkan cuka, garam dan gula secukup rasa. Kacau dan masak hingga mendidih. Seimbangkan rasa, mesti ada rasa masin, masam, pedas dan manis. Jika semua ok, boleh matikan api.
  5. Untuk sup pulak. Lebihan air rebusan ayam tadi, kita masukkan sup bunjut, lada sulah (jika guna) dan  camca besar bawang goreng. Biarkan mendidih dengan api sederhana kurang lebih 20 minit, perasakan dengan garam secukupnya dan boleh matikan api.
  6. UNTUK MENGHIDANG NASI AYAM :- Cedok nasi ayam secukupnya ke dalam pinggan sesuai, hias dengan daun salad, hirisan timun dan tomato. Hidangkan nasi ayam dengan sos dan sup. Nasi ayam dan Sup tu jangan lupa taburankan hirisan daun sup dan bawang goreng sebagai hiasan. Selamat mencuba!

Post a Comment

2 Comments

  1. Betul Che Mat, nasi ayam ni nampak jer simple tapi renyah.. mana nak rebus ayam dulu sebab kita nak guna air rebusan tu utk masak nasi, buat sambal lada dan sambal kicap (ni kalau husbnd akak la mengada nak berkicap, hihi). Klu Che Mat masak nasi ayam bila malas, akk kena tunggu rajin barulah masak nasi ayam ni.

    ReplyDelete
  2. Walaupun Nasi Ayam tapi kalau yang CM masak mesti saya nak kena baca resipi betul2 sebab mesti ada yang lain dari yang lain...nanti nak cuba jugaklah buat Nasi Ayam CM style ....

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.