RESIPI LAKSA LEMAK

RESIPI LAKSA LEMAK

Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni che mat masak laksa lemak. Perancangan asal nak buat semalam, tapi kampung che mat takde air, jadi kita tunda lah ke hari ini. Awal pagi lagi che mat dah siapkan bahan2nya. Dari pengalaman sendiri dan juga bacaan dari blog2 teman masakan serta di you tube. Untuk mendapat kuah laksa lemak yang sedap, air rebusan atau stok memainkan peranan yang penting. Dan untuk itu, bila kupas kulit udang, che mat akan simpan dalam freezer untuk dijadikan air rebusan, lagi banyak lagi sedap. Selain itu, kita tambah juga air rebusan tulang ayam. Kalau takde boleh guna kiub pati ayam. Bila sebut laksa lemak, mesti kata, rumit lah nak buat dia, dah lah bahan2 banyak, leceh! Memang betul, tapi pada che mat bahan utama dia, iaitu pes rempah laksa lemak kita bikin awal2, buat lebih dan boleh simpan dalam freezer. Bila nak guna tinggal keluarkan saja. Sebut laksa lemak, mestilah ada guna santan kelapa, kalau dapat guna santan segar. Tapi kalau guna santa kotak pun tak dosa, masih ok, tapi tak boleh lawan lah  keenakkan bila guna  santan segar.

RESIPI LAKSA LEMAK

Banyaknya bahan2 sampingan dia! Erkk, stress ke tu? Relaks, dah nama pun laksa, mesti lah ada bahan2 ulam segar. Telur rebus tu kira wajib lah kan. Laksa lemak ni lebih popular di Melaka dan Singapura. Tak macam laksa Johor sebab dalam kuah tu takde isi ikan. Tapi bahan2 rencah dia guna udang kering, belacan dan che mat tambah ikan bilis, semuanya kira kisar halus. Bahan2 ni lah yang buatkan kuah laksa jadi terangkat. Hidangan ini sesuai untuk kita masak bila ada majlis perjumpaan keluarga, atau di hari perayaan. Buat untuk makan sendiri macam che mat tu pun bess juga. Dah tak payah nak masak2 nasi bagai. Kalau ada yang nak mencuba, jom che mat kongsikan resipinya di bawah ini. Jangan pingsan pulak yea tengok bahan2 dia...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 keping dada ayam
20 ekor udang saiz besar
15 biji bebola ikan
8 biji tau pok, dikerat 2 setiap 1
1 kuntum bunga kantan, belah 2 
300 ml santan sederhana pekat
2 camca besar sos ikan
Garam dan sedikit gula
1 liter air rebusan ayam atau air biasa + 1 kiub pati ayam 

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
1/2 inci halia
1 1/2 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
1 pokok daun ketumbar, gunakan dengan akarnya sekali, cuci bersih dan kerat
2 batang serai, hiris halus
4 biji buah keras, hiris
Sebesar ibu jari, inci belacan
1 camca besar penuh udang kering, cuci dan rendam 10 minit
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, cuci dan rendam
1 camca besar serbuk ketumbar
2 camca besar cili kisar

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi laksa secukupnya
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Timun, dihiris halus seperti batang mancis
Bawang besar, dimayang halus
Daun kesom, dimayang halus
Isi dada ayam yang direbus, dicarik 
Taugeh secukupnya
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2
Sambal (resipi di bawah)

BAHAN-BAHAN SAMBAL :-)
3/4 cawan cili kisar
4 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AIR REBUSAN KUAH LAKSA :- Langkah pertama kita sediakan air rebusannya dulu. Kupas udang, asingkan kepala dan kulitnya. Panaskan sedikit minyak dalam periuk anggaran 3 camca besar, tumis kulit udang tadi, gunakan api kecil. Goreng hingga kulit dan kepala udang hingga bertukar warna dan garing. Tekan2 sedikit bahagian kepala udang agar jusnya keluar. Kemudian tuang air rebusan ayam atau air biasa (+ 1 kiub pati ayam). Kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan dada ayam dan biar hingga dada ayam masak. Keluarkan dada ayam dan ketepikan. Sambung merenih untuk 10 minit lagi, tapis dan ketepikan air rebusannya.
  2. UNTUK KUAH LAKSA LEMAK :- Panaskan 1/3 cawan minyak masak dalam kuali atau periuk. Tumis bahan2 kisar halus hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Asingkan 1/2 bahagian (sebab che mat buat tak banyak, maka guna 1/2 ajer, yang 1/2 lagi nanti boleh bekukan dalam freezer). Tuang air rebusan tadi, kacau rata dan biarkan mendidih. 
  3. Masukkan santan, kacau perlahan. Tambah bebola ikan, bunga kantan dan tauhu pok, perasakan dengan sos ikan dan sedikit gula, toksah taruk banyak, letak dalam 1/4 camca teh saja, untuk rasa. Masak hingga mendidih, kacau agar santan tidak berkepala. Rasa dan jika perlu, baru ditambah garam secukupnya.  Boleh matikan api.
  4. UNTUK SAMBAL :- Kisar atau tumbuk halus bawang merah kecil, bawang putih dan belacan. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan2 tumbuk hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api sederhana dan kacau sentiasa. Tambah pes asam jawa, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sambal hingga pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  5. UNTUK MENGHIDANG LAKSA LEMAK :- Taruk secukupnya mi laksa ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa dengan isi2nya sekali, pastikan kuah laksa kita kacau dulu sebelum dituang ke dalam mangkuk. Hias dengan isi dada ayam yang dicarik, taugeh, bawang besar, timun, hirisan daun kesom, telur rebus dan sudukan sambal secukupnya. Perah jus limau kasturi sebelum dimakan. Selamat mencuba dan selamat menjamu selera..

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.