Assalammualaikum, diam tak diam kita berada minggu terakhir bulan Disember 2020, dan tak lama lagi muncul lah tahun 2021. Kadang2kan che mat sendiri rasa macam tak sangka boleh merasai tahun 2000+, yelah ajal maut semua ketentuan Allah, alhamdulillah jika diberi umur panjang dan umur panjang ni juga satu anugerah dan cubaan dari Allah swt. Moga kita semua Allah beri kesihatan dan usia yang panjang dan dapat berbakti pada ibu dan ayah serta mereka yang memerluknnya. Hari ni che mat masak mi kari. Plan nak masak mi kari ni dah 3 hari, tapi setiap kali nak masak, lebihan makanan semalam masih ada, nanti bila buat mi kari, mula lah bertepek2 makanan dalam peti sejuk, rimas dan satu lagi, zaman2 convid19 ni kita kenalah berjimat cermat, manfaatkan apa yang ada dan jangan sampai membazir, Bertuah rasanya kita yang masih mampu menjamah makanan sedap dan rezeki yang masih Allah beri, jika nak dibandingkan dengan mereka yang berada dalam kesulitan.
Resipi mi kari che mat ini agak mudah dan kuah dia pun tak terlalu pekat. Che mat suka mi kari yang kuah dia sederhana pekat dan boleh dihirup, takmo lah pekat macam boleh cecah roti tu, tersedak nanti bila hirup. Rencah dia che mat guna ayam, tapi boleh ganti dengan daging atau tulang. Nak lagi sedap dalam kuah tu kita masukkan sedikit udang kering dan belacan. Belacan tu toksah banyak2, buat syarat saja, guna sebesar hujung jari cukup lah. Che mat masukkan juga bebola ikan dan tauhu pok. Mi kari paling ngam kita guna tauhu pok, sebab tauhu ni dia berongga dan akan menyerap kuah. Sedikit kacang buncis sebagai sayuran tambahan. Jika suka boleh juga masukkan terung dan tomato, tapi toksah banyak sangat, nanti jadi kuah dalca pulak. Bagi menambah rasa, boleh ditambah isi kerang rebus, tapi che mat ganti dengan isi kupang. Dan sambal tumis masa nak makan nanti, sambal tumis tu pun ringkas, cuma guna sedikit belacan sebagai rencah...Bagi yang nak mencuba, boleh semak resipi kat bawah ni...
BAHAN-BAHAN KUAH :-)
400 gram ayam, dipotong kecil, cuci dan toskan
1 batang serai, diketuk
2 tangkai daun kari, dilurut
2 camca besar cili kisar
1 camca besar sos cili
3 camca besar rempah kari daging Babas*
1/3 cawan air*(*disatukan dan kacau hingga menjadi pes rempah)
1/2 camca besar pes asam jawa
1/2 cawan pati santan
1 paket bebola ikan (kurang lebih 15 biji)
6 tangkai kacang buncis, kerat pendek
6 biji tau pok saiz kecil, cuci, toskan dan kerat 2 setiap 1
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
Sebesar hujung jari belacan
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan airnya
BAHAN - BAHAN SAMBAL TUMIS :-)
1 cawan cili kisar
1 keping asam gelugor
3 ulas bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air
BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi kuning secukupnya, dicelur dalam air panas dan toskan
Taughe secukupnya, dibersihkan
Hirisan daun sup dan daun bawang
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Isi kerang rebus secukupnya (che mat guna isi kupang)
Hirisan cili hijau dan cili merah
Sambal tumis
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK KUAH MI KARI :- Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/4 cawan. Tumis serai , daun kari dan cili kisar hingga garing, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi, tambah pes rempah kari dan sos cili, kacau rata dan masak hingga rempah garing dan naik minyak. Guna api sederhana dan kacau sentiasa. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tambah ayam. Gaul rata dan masak hingga ayam kecut dan berubah warna.
- Tuang air secukupnya, kacau dan biarkan mendidih. Tutup periuk dan masak hingga ayam empuk. Masukkan bebola ikan dan masak untuk 10 - 15 minit, tambah tau pok dan kacang buncis. Kacau perlahan dan tuang santan, masak dengan api kecil hingga mendidih. Kacau sentiasa agar santan tidak berkepala.
- Perasakan dengan garam secukup rasa dan masukkan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan dan kita buat sambal tumis dia pulak.
- UNTUK SAMBAL TUMIS :- Kisar atau tumbuk halus bawang merah kecil, bawang putih dan belacan. Panaskan 1/4 cawan minyak masak dalam kuali dan tumis bahan2 tumbuk tadi hingga wangi. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan air, asam gelugor, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak hingga sambal pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api.
- UNTU PENYEDIAAN MI KARI :- Sediakan mangkuk sesuai, taruk secukupnya mi kuning yang telah dicelur. Tuang kuah kari berserta isi2nya sekali (pastikan kita kacau kuah kari tadi sebelum dituang dalam mangkuk berisi mi kuning). Hias dengan taugeh, isi kerang/kupang, hirisan daun bawang/daun sup, hirisan cili merah/cili hijau, telur rebus dan sudukan sedikit sambal atasnya. Sebelum dihidangkan, perahkan jus limau kasturi dan siap untuk dimakan, selamat mencuba!
2 Comments
Ooooo Mat.. friend La ngan FB Baru kite nii..FB lama kite dh arwah
ReplyDeleteAkan dicuba resepi ini.
ReplyDelete