RESIPI CUCUR UDANG

Assalammualaikum, salam semua. Ehh, sejak2 ni macam rajin pulak kan che mat update blog, entahlah wak, time datang mood rajin, gitu lah, kalau datang mood malas, sampai link blog pun buat2 terlupa. Kadang2 memasak ni terapi, tapi ada jugak masa mood memasak zero, rasa malas sangat, sampai nak lintas lorong pi dapur pun meluat, dasatkan. Tapi selagi Allah beri kesihatan, kemampuan dan masih ada yang nak makan apa che mat masak, in sha Allah ianya akan diteruskan. Kalau dulu ada arwah Bak, dan pagi2 sebelum mula masak che mat akan tanya - Bak nak makan apa hari ni? Dia biasanya akan kasi tau menu apa yang dia teringin nak makan. Tapi biasanya feberet bak ialah asam pedas ikan parang, pucuk manis masak lemak taruk keledek. Satu lagi arwah suka makan lempeng pekak. Style Bak makam dia akan gulung lempeng tu, kendian dipotong dan cicahkan dengan sambal tumis atau kuah gulai. Kari antara menu yang bak kurang suka. Cucur udang ni antara cemilan kegemaran arwah. Ishh, teringat pulak kat arwah Bak...Huhu, al-fatihah.....

Resipi yang che mat kongsikan ini menjadi resipi simpanan sejak dulu. Teringat masa blog masakan tengah rancak dulu, kami blogger2 masakan akan kerap mencuba resipi2 yang dikongsikan antara kami. Dan mana yang menjadi dengan elok dan sedap, maka resipi itu akan disimpan untuk rujukkan masa akan datang. Cucur udang ini agak muai juga, satu adunan ini boleh dapat antara 18 - 20 biji, bergantung pada saiz senduk yang kita guna. Macam che mat buat ni dapat dalam 10 biji (buat 1/2 dari resipi asal). Buat 1/2 adunan sebab kat rumah ni cuma3 orang saja kan, lagi pun belen udang pun tak banyak, dalam 11 ekor ajer. Untuk sos pulak ada 2 pilihan, kalau rajin, boleh lah buat kuah kacang, tapi kalau malas macam che mat,kau cicah sos cili sudah, sedap jugak, janji ada sos. Resipi yang akan che mat kongsikan kat bawah ni ialah resipi penuh, kalau nak buat sikit, boleh guna 1/2 bahagian. Kalau buat ikut resipi bawah ni, kitaakan dapat antara 18 - 20 biji...Oh, yea che mat sertakan resipi sos pencecahnya juga. Jomm kita semak resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
 2 cawan tepung gandum
1/2 camca besar instant yeast
1 genggam longgar tugeh, dibersihkan, cuci, toskan dan diramas
10 tangkai daun kucai, hiris
1 biji bawang besar, didadu
2 cawan air (kurang lebih)
1 camca teh serbuk kunyit
18 - 20 ekor udang kertas saiz sederhana (kurang lebih sebesar jari kelingking orang dewasa)
Garam secukup rasa, anggaran 3/4 camca teh

BAHAN-BAHAN SOS PENCECAH :-)
7 tangkai cili merah
3 ulas bawang putih
1/3 cawan gula
4 camca besar cuka makan Jalen
1 camca teh rata garam
1 1/2 cawan air
1 camca besar rata tepung jagung*
4 camca besar air*(*disatukan dan kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK CUCUR UDANG :- Dalam mangkuk  besar, satukan tepung gandum, instant yeast, serbuk kunyit, garam, kucai, bawang besar dan taugeh. Gaul hingga semua rata. Tuang air sedikit demi sedikit sambil dibancuh hingga mendapat bancuhan seperti jemput2. Air yang dua cawan tadi tidak habis digunakan, berbaki dalam 2 camca besar macam tu. Kacau semua hingga sebati. Tutup mangkuk dan perap selama 45 minit hingga sejam.
  2. Sementara itu udang digunting muncung tajam dan janggutnya. Cuci bersih, toskan dan lap kering dengan tissue dapur hingga udang kering, ketepikan. Tujuannya dilap agar masa goreng cucur udang nanti, takdelah minyak tu meletop macam bom.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Rendamkan senduk besi atau stainless steel atau aluminium ke dalam minyak panas, gunakan senduk yang saiz sederhana. Biarkan 3 - 4 minit. Sementara itu, kacau bancuhan cucur udang hingga rata. Sudukan adunan cucur udang ke dalam senduk yang dipanaskan tadi hingga hampir penuh. Lengkarkan seekor udang atasnya dan tekan sedikit. Goreng dalam minyak panas. Biarkan 1 - 2 minit dan longgarkan cucur udang dari senduk tadi menggunakan sudu atau hujung pisau. 
  4. Terbalikkan dan biar bahagian cucur yang ada udang berada dalam minyak. Buat kaedah sama untuk baki bancuhan dan udang. Masak untuk seminit dua dan terbalikkan, masak lagi untuk seminit dua dan boleh angkat, pastikan api toksah terlalu besar dan minyak tidak terlalu panas. Toskan minyak nya dan susun dalam loyang yang dialas dengan tissue dapur bersih. Buat hingga selesai
  5. UNTUK SOS PENCECAH :- Kisar cili merah dan bawang putih hingga halus. Tuangkan ke dalam periuk, masukkan gula dan garam. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah cuka makan, kacau dan masak dengan api kecil selama 10 minit. Kacau bancuhan tepung jagung dan masukkan ke dalam sos, besarkan api dan kacau hingga sos pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  6. UNTUK MENGHIDANG CUCUR UDANG :- Ambil secukupnya cucur udang (1 atau 2 biji), kemudian potong 4 setiap 1 dan susun dalam piring sesuai. Tuangkan dengan sos pencecah secukupnya dan boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi. Selamat mencuba!

RESIPI CUCUR UDANG RESIPI CUCUR UDANG Reviewed by Mat Gebu on 12/12/2020 04:00:00 PM Rating: 5

1 comment:

  1. sedapnya cucoq udang.. kami buat tak jadi haha.. nanti try resepi u pulak hee :)

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.