RESIPI KEK MARBLE

Assalammualaikum, selamat petang semua. Masa che mat tulis entri ni, hujan tengah mencurah2 kat luar tu. Alhamdulillah, segar pokok dan kurang sikit rasa panas. Hari ni untuk minum petang che mat buat kek. Rasanya macam lama juga tak baking, tu yang jadi gatal tangan nak membakar kek. Mungkin setiap orang ada resipi kek marble kegemaran masing2, tak kira lah sama ada resipi dari nenek atau mak mau pun resipi dari internet. Macam che mat, sejak pandai membakar kek, dah berpuluh2 jenis resipi kek marble che mat cuba, ada tu menjadi dan elok, ada juga yang jadi tapi tak sedap. Ada yang rupa cantik, tapi potong, kek dia keras macam batu bata. Dan bila jumpa resipi yang bagus, menjadi dan yang penting sekali rasanya sedap, resipi itu harus kita simpan sebagai rujukan masa2 mendatang. Dan elok juga dikongsikan dengan rakan2 yang suka membuat kek.

Macam resipi kek marble yang che mat buat hari ni, sebenarnya resipi yang terpaling kerap dikongsikan di blog. Kiranya resipi versatile, nak buat plain butter cake boleh, nak buat kek marble boleh atau nak jadikan trio marble kek pun boleh. Keknya lembut, lembap, wangi dan manis dia pun pass, just nice kata orang putih. Kiranya kalau hidangkan dengan teh O panas, memang ngam sangat. Satu lagi, adunan kek ini juga boleh kita jadikan cup cake, lepas tu pandai2 lah kasi perias biar lawa. Kalau sebut bab kek, che mat lebih suka kek bentuk tradisional, bentuk kek paun. Oh yea sebelum che mat tuliskan resipi dia kat bawah ni, nak pesan, untuk kek yang ni wajib guna pure butter (butter tulen), jangan guna buttercup, bukan tak boleh. tapi rasa dia tak sama. Guna pure butter, baru kita dapat nikmati kek marble yang sedap dan terangkat...Meh kita semak resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-
300 gram unsalted butter (mentega tulen)
5 biji telur gred A
280 gram tepung gandum*
1 camca besar penuh susu tetpung*
1 camca teh rata baking powder*
1 camca teh garam halus (kalau guna salted butter, garam tak perlu)*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
2 camca besar air
2 camca besar gliserin ( boleh beli dikedai2 menjual bahan baking)
150 gram gula kastor
1 camca besar ovallate
1 camca teh esen vanilla
1 camca besar penuh serbuk koko*
2 camca besar air panas mendidih*(*disatukan dan kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 170C, lenser 2 tin berukuran 8 x 4 x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak, lenserkan juga kertas tadi. Boleh juga dibuat dalan tin berukuran 8 x 8 x 3 inci atau acuan bundt pan. Ketepikan.
  2. Putar mentega hingga putih dan kembang. Masukkan tepung yang telah diayak tadi sedikit demi sedikit hingga habis, putar hingga semuanya sebati. Alihkan ke dalam bekas lain.
  3. Dalam mangkuk adunan yang bersih dan kering. Masukkan gula kastor dan ovallate, putar rata. Kemudian masukkan telur, putar hingga semua sebati. Tukar pada kelajuan tinggi dan putar hingga adunan telur kembang seperti adunan kuih baulu.
  4. Perlahankan kelajuan, dan masukkan adunan adunan mentega (no.2) sedikit demi sedikit hingga habis, putar sebati. Tambah esen vanilla, gliserin dan air. Putar hingga semua bercampur dan rata.
  5. Cedok keluar 4 - 5 camca besar penuh adunan dan campurkan dengan bancuhan koko, kacau rata hingga sebati. Tuang 3/4 aduna kosong tadi ke dalam tin, ratakan dan sudukan adunan coklat atasnya, tutup dengan baki adunan kosong dan lorekkan agar membentuk corak marble.
  6. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan selama 45 minit atau hingga masak. Uji kek dengan mencucuk bahagian tenganya dengan lidi sate bersih atau cake tester, jika keluarnya bersih, tanda kek dah masak. Kek akan turun sedikit bila masak. Keluarkan dari oven, sisip bahagian tepinya dengan pisau dan keluarkan dari tin. Sejukkan kek atas jaringan sebelum dipotong. Siap untuk dihidangkan. Selamat mencuba!

RESIPI KEK MARBLE RESIPI KEK MARBLE Reviewed by Mat Gebu on 12/11/2020 04:00:00 PM Rating: 5

1 comment:

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.