BLOG TIFFINBIRU KINI 13 TAHUN...

Assalammualaikum, salam Rabu 29 Julai 2020 bersamaan 8 Zulhijjah 1441 Hijrah. Lagi 2 hari saja umat Islam akan menyambut perayaan besar Aidil Adha. Tahun 2020 yang begitu bersejaran bagi semua umat Islam di Malaysia, kerana tahun ini tiada ibadah Haji dibenarkan berikut pendemik corona virus atau Covid19. Dan hari ini juga, hari yang bersejarah bagi che mat dan blog tiffinbiru khususnya bila meraikan ulangtahun ke - 13. Tak sangka dah 13 tahun che mat berblog, terima kasih pada Sis Linn, sebab dia lah orang pertama yang wish kat wassap pagi tadi. Kalau Linn tak wish, che mat sendiri pun tak ingat, cuma ingat bulan Julai saja, tapi berapa hari bulan dah lupa, ishh, tua dah aku rupanya. 

Masa belum ada blog dulu, che mat aktif di laman web masak2, My Resipi, dari situlah mula kenal dengan geng2 masakan yang rata2, lepas tu, mereka buat blog masakan sendiri. Hubungan kami masih akrab hingga sekarang, walaupun ada antara mereka sudah pencen berblog. Keghairahan berblog semakin menurun sekarang ni, bila kebanyakkan generasi kini lebih suka berkongsi di Facebook dan Instagram. Walaupun begitu, che mat masih setia dengan blog, cuma kekerapan mengemaskini blog dengan entri2 masakan baru tak sekencang dulu, yelah dah tuakan, lagi pun dah banyak tahun resipi yang sama dijadikan entri. Risau juga takut orang jemu. 

Asalnya che mat berblog untuk diri sendiri, untuk mengumpul resipi2 yang pernah che mat cuba. Tapi lama kelamaan ia mula mendatangkan manfaat pada mereka di luar sana. Alhamdulillah, moga blog che mat terus relaven sampai bila2, sehinggalah che mat takde lagi di dunia ni nanti (terima kasih tak terhingga pada Sunah). Terima kasih tak terhingga pada semua pengunjung2 blog tiffinbiru yang sentiasa memberi sokongan moral pada che mat. Selamat hari lahir yang ke - 13 blog tiffinbiru....

Dan kebetulan hari ni che mat kukus pulut kuning. Ceritanya semalam, che mat masak rendang daging, masak lebih untuk Raya Haji Jumaat nanti. Malam tadi tiba2 mak che mat cakap, dah ada rendang, kalau ada pulut kuning sedap kan. Stok beras pulut memang ada kat rumah, jadi che mat rendam lah pulut dalam 800 gram macam tu. Betul juga kata mak, bila ada rendang, kena ada pulut kuning sebagai pelengkap dia. Mula2 ingat nak buat sambal tumis dan rebus telur, tapi macam tak rajin pulak. Dengan rendang pun dah ok sangatlah, kalau banyak sangat lauk pauk dia, jadi bercelaru rasa dia nanti, yea dak. Resipi pulut kuning che mat dah kerap tulis kat dalam blog. Kalau search ka tgoogle, berderat2 keluar. Ke nak perlu tulis lagi eks?....Hmmmm.... 

Rendang daging pulak kurang lebih 1.5 kg, che mat guna daging batang pinang. Rendang yang ni tak tumis dan takde guna rempah ratus. Tapi penggunaan santan kelapa memang banyak, kurang lebih 1 kg santan pekat yang diperah tanpa air. Rencah2 rendang tu masak sendiri hasil dari minyak yang terhasil dari santan pekat tadi. Rasa dia serius sedap, cuma toksah makan selalu yea. Che mat buat lebih, bila dah sejuk, kita isikan dalam bekas dan bekukan dan freezer. Buat beberapa bekas, jadi kalau nak makan tak perlu keluarkan banyak2. Pada semua umat Islam, Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha, maaf zahir dan batin. Berhati2 di jalan raya, terutama di musim2 hujan. Satu lagi yang paling penting, jangan lupa pakai penutup mulut, jaga jarak dan gunakan sanitizer atau cuci tangan dengan sabun sekerap yang boleh...Jomm kita semak resipi...

RESIPI PULUT KUNING

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 + gram pulut
3/4 sudu besar serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
450 ml santan pekat (perahan pertama)
2 camca teh garam
1 helai daun pandan, dikerat2

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Cuci pulut dan rendam dengan air hingga pulut tenggelam. Masukkan serbuk kunyit, gaul rata dan letakkan asam gelugor. Rendam semalaman atau sekurang2nya  6 jam. Kemudian keluarkan asam gelugor dan toskan pulut tadi. Tujuan taruk asam gelugor untuk menjadikan pulut kuning berkilat.
  2. Panaskan kukusan. Ambil bahagian kukus yang berlubang, alas bahagian bawahnya dengan tudung periuk (bahagian bawah kukus yang berlubang, bukan bahagian dalam kukus). Masukkan pulut yang telah ditoskan tadi. Ratakan dan letak daun pandan yang dikerat tadi.
  3. Bila air dah mendidih. Perlahan2 angkat kukus berisi pulut dan tenggekkan atas air yang menggelegak tadi. Masukkan saki baki pulut yang gugur atas tudung periuk. Tutup kukus dan kukus dengan api besar selama 25 minit.
  4. Sementara itu, satukan garam dan santan, kacau rata. Angkat pulut dan alihkan ke dalam besen besar. Tuang santan sedikit demi sedikit hingga habis sambil digaul dengan senduk hingga rata. Biarkan sekejap hingga santan diserap oleh pulut. 
  5. Masukkan kembali pulut tadi ke dalam kukusan dan kukus lagi 15 minit, 5 minit sebelum diangkat, gaulkan pulut agar masak rata. Boleh angkat dan hidangkan dengan rendang...
RESIPI RENDANG DAGING 

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.5 kg daging batang pinang, potong kiub, cuci dan toskan
1 kg pati santan (guna pati santan yang diperah tanpa air)
1 keping asam gelugor (kalau kecik, guna 2 keping)
2 camca besar penuh kerisik
1 camca besar gula melaka
1 helai daun kunyit, disiat
3 helai daun kunyit, dimayang halus
1/3 cawan cili kisar
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
20 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
4 biji buah keras, dihiris
1 cawan cili padi kampung (boleh kurangkan)
8 batang serai, hiris
2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan bahan2 kisar halus, cili kisar ke dalam kuali bersama santan pekat. Kacau rata dan masak hingga naik minyak. Masukkan daging dan daun kunyit yang disiat, gaul rata dan masak hingga daging berubah warna dan kering airnya. Tambah garam secukup rasa, yang garam ni kena hati2, jangan letak banyak sangat, letak dalam dalam 2 camca teh dulu dan rasa, jika rasa kuah dia lemak2, dah ok, sebab nanti bila rendang dah kering, rasa masin dia akan ok.
  2. Masukkan kerisik, asam gelugor dan gula melaka. Kacau rata dan kecilkan api. Biar hingga rendang kering dan daging empuk. Jika daging masih keras, boleh tambah sedikit air panas. Tapi daging batang pinang cepat empuk. Rasa dan jika ok, boleh masukkan daun kunyit yang dihiris halus (kalau nak taruk daun limau purut pun boleh, tapi mak che mat tak suka). Gaul rata dan matikan api. Biarkan rendang betul2 sejuk sebelum disimpan dalam bekas dan boleh dibekukan dalam freezer. Selamat mencuba!

Post a Comment

9 Comments

  1. Alhamdulillah. Tahniah Che Mat!
    Saya selalu rujuk blog che mat untuk resepi :)

    ReplyDelete
  2. Blog masak2 legend yg saya suka.

    ReplyDelete
  3. Wah!! Selamat ulang tahun ke 13 blog tiffinbiru!!! Pulut kuning dan rendang tu nampak sedap!!!

    ReplyDelete
  4. Salam che mat, selamat ulang tahun ke 13 buat blog tiffinbiru. Blog ini sangat bermanfaat untuk semua. Saya harap blog ini dapat dikekalkan selamanya.

    ReplyDelete
  5. 13 tahun masih belum jemu menulis , tukang masak + blogger sejati

    ReplyDelete
  6. Suka ikut resepi Che Mat kena dengan selera dan cara Mrs. A.
    Tahniah dah 13 tahun masih menulis.

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah dan tkasih byk2 share kan resepi. Semoga blog ni akan terus bertahan dengan banyak lg resepi2 lain.
    website sy: www.asmahabubakar.com

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.