RESIPI NASI DAGANG TERENGGANU

Assalammualaikum, salam semua. Siang tadi che mat masak nasi dagang style Terengganu. Dan atas kekangan masa, tak sempat nak masukkan dalam blog awal2. Jadi waktu2 malam macam ni, ada masa sedikit, che mat masukkan entri nasi dagang Terengganu. Pada mulanya macam malas juga, sebab dah pernah buat dan ada resipinya dalam entri2 lepas. Tapi atas permintaan, takpe lah kita tuliskan sekali lagi.Tapi kali ni resipi gulai ikan tongkol tu agak berbeza sedikit, che mat cuba masak style old school, memang agak cerewet dan memakan masa yang agak lama, tapi pada segi rasa memang berbaloi sangat. Cuma bagi yang tak kuasa nak masak berjam2, boleh saja diringkas dan atau short cut. Nasi dagang Terengganu kebiasaannya bewarna putih, kalau nasi dagang Kelantan, mereka guna beras yang kaler coklat tu kan.Cara memasak mungkin agak berbeza, tapi che mat buat ikut cara che mat lah, minta maaf pada pakar2 masakan dari Terengganu jika cara che mat ni salah. Al maklumlah kita ni orang Johor, yea dak

Gulai ikan tongkol, che mat tambahkan telur rebus dalamnya. Kata teman2 di FB yang biasa memasak gulai ikan tongkol untuk nasi dagang, selain telur rebus, mereka masukkan udang juga bersama2 ikan tongkol. Ikan che mat guna ikan tongkol jenis isi lembut, katanya yang isi lembut tu tongkol hitam. Ikan tu kita rebus dulu dengan asam gelugor, garam dan che mat tambah sedikit hirisan halia. Seelok2nya jika nak masak pagi, kita rebus ikan tu waktu malam dan biarkan semalaman. Percaya lah, cara ini akan menghasilkan rasa gulai ikan yang lagi sedap. Che mat guna rempah gulai Cap Rose yang biasa orang Terengganu guna untuk masak gulai nasi dagang, Tapi che mat tambahkan dengan sedikit lagi rempah2 lain.

Satu lagi makanan sampingan untuk nasi dagang, ialah acar mentah, yang ni memang perlu, terutama untuk mengimbangkan rasa lemak nasi dagang dan gulai ikan tongkol, yang mana kedua2nya dimasak menggunakan santan. Apa tah lagi, gulai ikan tongkol style klasik yang che mat masak tu menggunakan santan yang cukup pekat, phewww, kalau doktor tengok, geleng2 kepala dia mengenangkan kolestrol....ehemmm. Acar mentah ni paling senang nak buat, kiranya macam pencok yang kita makan sama nasi minyak atau nasi briyani orang Johor. Cuma dalam acar mentah yang ni tak dimasukkan nanas. Disebabkan nasi dagang biasanya orang belah2 pantai timur hidangkan sebagai sarapan pagi, maka che mat hidangkan dengan kopi O panas....Ok, jomm kita semak resipi, sapa tau ada yang cuba masak nasi dagang Terenggau untuk raya haji nanti...Resipi seperti berikut..

NASI DAGANG TERENGGANU

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan beras wangi
1 cawan beras pulut
3 cawan santan cair*
2 camca teh garam*(*disatukan dan kacau rata)
1 cawan pati santan
4 biji bawang merah kecil, hiris halus
1 inci halia, dimayang halus
1/2 camca besar halba

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Beras wangi dan beras pulut digaul rata. Cuci dan rendam sekurang2nya 5 jam. Toskan hingga beras kering dan masukkan ke dalam kukusan. Kukus dengan api besar selama 20 minit. Alihkan beras yang 1/2 masak tadi ke dalam besen besar dan tuang santan cair yang telah dicampur dengan garam. Gaul hingga rata dan tutup besen tadi dengan tudung periuk. Biarkan hingga santan cair terserap.
  2. Masukkan kembali nasi ke dalam kukusan dan kukus 15 minit dengan api besar. Sementara itu satukan bawang merah, halia dan halba dalam mangkuk dan gaul rata. Alihkan nasi ke dalam besen, masukkan campuran bawang, halia dan halba tadi, gaul hingga rata. Tuang pula pati santan, gaul dan biarkan sekejap hingga pati santan diserap oleh nasi. Masukkan nasi ke dalam kukus dan kukus lagi 5 minit atau hingga nasi betul2 masak. Nasi dagang siap untuk dihidangkan dengan gulai ikan tongkol dan acar mentah.
GULAI IKAN TONGKOL 'OLD SCHOOL'

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol hitam (jenis lembut, kurang lebih 1+ kg)
3 keping asam gelugor*
1/2 inci halia, dihiris nipis*
2 camca teh garam*
1/5 liter air*
5 - 6 biji telur rebus, dikupas kulitnya
3 camca besar penuh rempah gulai cap rose
1 camca besar ketumbar serbuk
1 camca teh serbuk jintan manis
1 camca teh serbuk jintan putih
3 camca besar cili kisar
2 keping asam gelugur
1 liter santan pekat
1 camca besar penuh kerisik
1 camca besar gula melaka
1 batang kayu manis
Garam secukup rasa
10 - 15 biji cili padi merah, dibelah 2 tapi tak putus, setiap 1

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/4 inci lengkuas
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol dipotong pada saiz sederhana tebal. Bersihkan dan cuci bersih. Masukkan ke dalam periuk dan masukkan kesemua bahan2 yang bertanda (*), rebus ikan tadi selama 30 minit dengan api sederhana. Seelok2nya rebus dan biarkan semalaman. 
  2. Dalam periuk lain, masukkan santan, pastikan santan betul2 pekat. Masak dengan api sederhana hingga santan terbit minyak. Masukkan bahan2 kisar halus, cili kisar, kayu manis, rempah gulai cap rose, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan serbuk jintan putih. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga rempah garing. Masukkan sedikit air jika kering dan terus memasak. 
  3. Tuang air rebusan ikan (tapis dahulu) tadi dan tambah air panas jika perlu, kacau rata dan biarkan menggelegak. Kemudian kecilkan api (paling kecil), masukkan ikan, kacau perlahan dan renihkan selama 2 - 3 jam (lagi lama masak, lagi sedap). Kacau perlahan2 untuk mengelakkan ikan hancur. Jika kuah kering, boleh tambah lagi air panas. Masukkan asam gelugor, kerisik, gula melaka, telur rebus dan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan cili padi, kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan..
ACAR MENTAH

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji timun
1 batang lobak merah
1 biji bawang besar
1 biji cili hijau
1 biji cili merah
2 camca besar cuka makan
1 camca besar penuh gula
1 camca teh garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Timun dicuci dan dikerat, belah dan buang empulurnya. Hiris seperti anak mancis, masukkan ke dalam mangkuk besar. Lobak merah dikupas, kerat dan hiris nipis seperti anak mancis. Masukkan ke dalam mangkuk berisi timun tadi.
  2. Masukkan juga cili merah dan cili hijau yang dihiris seperti anak mancis, jangan lupa buang dulu bijinya. Tak lupa juga bawang besar yang dibelah 8 dan dileraikan. Tambah gula, garam dan cuka. Gaul rata dan simpan dalam peti sejuk sehingga waktu untuk dihidangkan dengan nasi dagang..Selamat mencuba!
RESIPI NASI DAGANG TERENGGANU RESIPI NASI DAGANG TERENGGANU Reviewed by Mat Gebu on 7/23/2020 09:15:00 PM Rating: 5

3 comments:

  1. nice sharing..nak buat nasi dgang ni kena banyak sabar. tambah nasi die tu..kena banyak kali kacau klu tgk mak mertua masak

    ReplyDelete
  2. lebih kurang sama dengan resepi Nasi Dagang Terbang Ady dengan Captain Jay...

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.