RESIPI CAPATI DAN KUAH DHAL

Assalammualaikum, selamat petang semua. Kejap yea, nak tarik nafas dulu.......penat lah hari ni, dengan cuaca panas lagi. Tapi tu lah kan kita ni banyak sangat ragam panas sibuk, hujan sibuk, haishh. Hari ni che mat nak kongsi resipi capati. Perancangannya semalam, tiba2 nak makan capati, tu jam dah malam juga lah. Ok, takpe, kita buat doh capati dulu, esok pagi boleh buat. Sesambil tu rendam juga kacang dhal dalam secawan untuk buat kuah dhal atau belah2 Penang depa panggil parphu. Biasanya capati buat guna tepung atta, dan alhamdulillah stok tepung atta memang ada kat rumah, pakcik kau simpan dalam freezer, rasanya dah dekat 2 tahun kot tepung tu dok bertapa dalam freezer, tapi tetap elok dan tak berubah rasa pun. Tapi kalau takde tepung atta, boleh ganti dengan tepung gandum. Pun jadi jugak... 

Minta maaf lah sebab capati che mat tak bulat macam yang selalu orang buat tu. Tapi kira ok lah, sebab pakcik pun bukan hari2 buat capati. Yang penting sedap dan lembut, bila sebut lembut tu takdelah lembut macam lempeng, dah nama pun capati, dia lembut2 liat sikit. Dan regu dia che mat bikin kuah dhal. Kalau rajin nak buat kari pun boleh, tapi tekak ni takmo kari. Kuah dhal yang macam ni pun sedap kalau cecah roti canai, kan tengah musim kat media sosial orang buat roti canai sejak2 MCO ni. Resipi yang che mat akan kongsikan (asal resipi dari Allahyarham Mamak Haji) ini akan menghasilkan kurang lebih 12 - 14 keping capati, tapi kalau buat kecik, lagi boleh dapat banyak. Doh dia, kalau tak habis, boleh simpan dalam peti sejuk. Dan doh capati yang che mat buat ni memang lembut sedikit. Kalau ada masa dan nak mencuba, boleh semak resipi kat bawah ni...

RESIPI CAPATI...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cawan tepung atta
2 camca besar penuh plain yogurt
2 camca besar minyak masak
1 camca teh penuh garam
1 1/4 cawan air suam, kurang lebih
Sedikit minyak sapi cair untuk disapu atas capati

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Masukkan tepung atta ke dalam mangkuk besar, tambah garam dan gaul rata. Masukkan yogurt, gaul dan tuang air suam sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang lembut dan melekat. Tambah minyak masak sambil digaul  hingga menjadi doh yang tidak melekat dimangkuk dan tangan, kalau melekit juga, boleh taburkan sedikit tepung atta.
  2. Bulat2kan doh dan rehatkan sejam. Tutup doh dengan tuala dapur bersih yang dilembapkan. Bahagikan doh kepada 2 bahagian dan setiap bahagian dibahagi 6 - 7. Bulat2kan dan ketepikan. Panaskan kuali non-stick. Ambil satu bebola, celop dalam tepung gandum dan leperkan. Canai nipis, kalau ikut tips buat capati, kena canai dari tepi sambil dipusing perlahan hingga mendapat capati yang nipis dan bulat.
  3. Masak atas non stick pan tadi. Tekan2 dengan belakang sudip, masak 1 - 2 minit dan terbalikkan, api biar sederhana besar. Biarkan masak sekejap lagi dan boleh diangkat. Masa capati tengah panas, sapukan permukaannya dengan sedikit minyak sapi. Tutup dengan tuala dapur bersih untuk mengekalkan kepanaskannya. Buat kaedah sama untuk baki doh capati dan boleh hidangkan dengan kuah dhal.
RESIPI KACANG DHAL...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan kacang dhal, cuci dan rendam semalaman
1 biji kentang, kupas dan potong kiub, rendam
1 batang lobak merah saiz kecil, kupas dan potong kiub
2 tangkai kacang panjang, kerat pendek
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 camca teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS DARAT :-)
3 biji bawang merah, hiris halus
1 ulas bawang putih, hiris halus
2 tangkai cili kering, hiris halus, buang bij, cuci dan lap kering
2 tangkai daun kari
1 camca teh biji sawi
1/2 camca teh jintan manis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan kacang dhal, rebus hingga kacang dhal empuk dan hancur. Masukkan kentang dan lobak merah, masak hingga empuk. Tambah kacang panjang, serbuk kunyit, kiub ikan bilis (jika guna) dan garam secukup rasa. Kalau kuah terlalu pekat, tambah air panas secukupnya.
  2. Sementara itu dalam kuali, panaskan minyak dalam 4 camca besar. Masukkan bahan2 tumis darat dan masak hingga keperangan. Kacau sentiasa agar tak hangus. Kemudian tuangkan ke dalam periuk berisi kuah dhal, masukkan dengan minyak2nya sekali. Terus tutup periuk kuah dhal dan biarkan 20 minit. Kemudian kacau rata dan boleh hidangkan dengan capati atau roti canai. Selamat mencuba!
RESIPI CAPATI DAN KUAH DHAL RESIPI CAPATI DAN KUAH DHAL Reviewed by Mat Gebu on April 15, 2020 Rating: 5

No comments:

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.