Assalammualaikum, salam semua. Hari ni dah penghujung bulan Mac, esok dah masuk 1 April dan kita berbaki lagi 14 hari untuk melaksanakan perintah pengurangan pergerakkan oleh kerajaan sebab kes virus covid19. Moga selepas 14 hari ni, keadaan semakin pulih dan membaik. Kalau dah duduk rumah ni, mulalah kejap asyik jeling ke dapur ajer, cukup time perut pulak macam dah diajar, tu jam lah berbunyi berdendang bagai. Hari ni che mat bikin somtam betik, salad buah betik dari negara Thailand. Tapi sayangnya che mat takde lesung kayu yang biasa orang Thai guna tu, kita hempok dengan lesung batu pun ok lah. Jangan beri alasan tak boleh buat sebab tak cukup peralatan, kan kita yang buat dia, gunakan pekakas apa yang ada sudah lah. Somtam betik ni makan macam tu saja pun nak sedap, kalau makan dengan nasi pun boleh, regukan dengan ikan goreng. Betik yang che mat guna ni kecil saja saiz dia, lebih kurang sebesar mug. Cuaca panas2 gini memang ngam sangat makan somtam...Resipi che mat kongsikan di bawah ni, selamat mencuba!
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji betik mengkal saiz lebih kurang sebesar mug
1 biji lobak merah, saiz kecil
1 biji tomato
2 tangkai kacang panjang
1 kuntum bunga kantan
2 camca besar kacang tanah tumbuk
1 biji limau nipis, perah jusnya
1 genggam udang kering, rendam sekejap, cuci dan toskan
Sedikit daun pudina, untuk hiasan
Hirisan cili padi merah, untuk hiasan
Sos ikan secukup rasa
BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
4 - 5 biji cili padi
1 ulas bawang putih
1 camca besar penuh gula melaka
CARA MEMBUATNYA :-)
- Betik dikupas, belah dua dan buang bijinya, cuci, lap kering dan sagat memanjang. Lobak merah dikupas, cuci dan lap kering, sagat memanjang seperti betik tadi. Tomato dihiris nipis memanjang. Kacang pangjang dikerat pendek dan bunga kantan dimayang halus, ketepikan. Sementara itu udang kering ditoskan, dan goreng tanpa minyak hingga wangi, tumbuk hingga hancur, ketepikan.
- Dalam bekas besar, masukkan bahan2 tumbuk hancur, udang kering dan kacau hingga rata. Tambah betik, lobak merah, tomato, kacang panjang dan bunga kantan, yang telah dihiris tadi. Gaul rata dan perasakan dengan sos ikan dan jus limau nipis secukup rasa.
- Sebelum menghidang, tabur kacang tanah tumbuk, daun pudina dan hirisan cili padi merah. Boleh hidangkan sebagai makanan pembuka selera...
0 Comments