RESIPI MI REBUS TULANG

Assalammualaikum, salam semua. Alhamdulillah, genap 2 minggu laptop che mat rosak, screen dia jadi gelap, dan akhirnya hari ni dah ok, kopak duit pakcik RM 480 nak! Nak kata apa lagi, benda perlu kena lah buat. Dari beli yang baru. Laptop  Asus yang che mat pakai gun dah lebih 7 tahun, kira kalau meragam pun masuk akal lah kan. Maka hari ini dengan rasminya che mat update blog dengan resipi mi rebus tulang, kira resipi orang Johor. Mi rebus ni che mat buat minggu lepas, memandangkan tu jam laptop rosak, jadi kita tangkap gambar siap2 dan memang plan, laptop ok saja, terus jadikan entri blog. Ada juga yang minta che mat kongsikan di fb dan ig, bukan tak nak, cuma leceh kena tulis guna handfon, dah lah jari jemari kita ni gebu, asyik typo memanjang, jenuh weyyy, kang ada perkataan tertypo bunyi macam mencarut...ngeri!. Kalau kat blog boleh lah bebel lebih sikit, merepek meraban. Bercerita pasal mi rebus tulang ni, resipi dia sama saja macam mi rebus yang biasa cuma che mat mat guna tulang dan sedikit daging tetel. Mi rebus rasanya sedikit manis, tapi yang tu terpulang pada selera masing2 lah yea...

Resipi che mat ni untuk kurang lebih sekilo mi kuning, mungkin sesuai dimakan 6 - 7 orang, bergantung pada saiz badan dan tahap kelapan masing2. Bahan2 sampingan untuk mi rebus seperti yang anda tau, harus ada telur rebus, taugeh, tauhu, hirisan cili hijau, daun sup, daun bawang, bawang goreng dan tepung goreng, yang tepung goreng ni seakan2 rempeyek, rangup dan menggunakan rencah udang kering. Tepung goreng tu kita boleh siapkan awal2 dan simpan dalam bekas kedap udara. Ada juga yang renjiskan sedikit cuka makan pada mi rebus sebelum dihidangkan, Tapi che mat tak buat gitum sebab dah ada limau kasturi. Mi rebus sedap dimakan dengan kuahnya yang panas berasap. Apa tah lagi dengan cuaca mendung dan hujan seperti sekarang ni, hmmm, sedap dia tak boleh bawak berbincang wakkk! Nak cuba buat sendiri, jomm che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHAN KUAH MI REBUS :-)
500 gram tulang lembu, dicuci bersih dan toskan
400 gram daging tetel, dicuci bersih dan toskan
1 inci halia, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 batang lobak merah, dipotong kiub
2 camca makan cili kisar
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas diketuk
1/3 cawan pati santan
1/2 cawan kacang tanah tumbuk
2 camca besar penuh tauco, dilecek halus
Air rebusan tulang lembu secukupnya
2 1/2 cawan keledek oren yang telah dilecek
2 camca besar penuh rempah kari daging
1 camca besar gula melaka
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/3 cawan udang kering, cuci dan rendam 10 minit, toskan

BAHAN-BAHAN TEPUNG GORENG :-)
1/4 cawan udang kering, cuci dan rendam 10 minit, toskan
1/2 cawan tepung beras
1 biji telur
3/4 cawan air
Garam secukup rasa, anggaran 1/2 camca teh

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi Kuning secukupnya, cuci dan celur dalam air panas, toskan
Taugeh secukupnya, dibuang ekor, dan siram dengan air panas, toskan
Tauhu goreng secukupnya, dihiris
Hirisan daun sup dan daun bawang
Bawang goreng
Limau kasturi, dibelah 2 setiap 1
Hirisan cili hijau
Tepung goreng secukupnya
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KUAH MI REBUS TULANG :- Tulang lembu dan daging tetel direbus 20 minit, buang air rebusan pertamanya, dan rebus kembali dengan halia, bawang putih dan lobak merah, rebus hingga daging pada tulang dan daging tetel empuk, tambah air panas jika perlu. Nak senang rebus dalam periuk tekanan selama 25 minit. Asingkan isi dan air rebusannnya, ambik lobak merah dan lecek halus. Ketepikan.
  2. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari dan kacau hingga menjadi pes  rempah. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/2 cawan. Tumis serai, lengkuas dan cili kisar hingga wangi dan cili garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah wangi dan naik minyak, kacau sentiasa dan masak guna api sederhana.
  3. Masukkan air rebusan tulang secukupnya (anggaran 2+ liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Tambah tulang dan daging tetel, masukkan tauco. keledek dan lobak merah yang dilecek tadi, kacau rata dan masak dengan api sederhana. Tambah santan dan kacang tanah tumbuk. Masukkan gula melaka, dan perasakan dengan garam secukupnya. Tambah sedikit lagi gula jika suka manis. Masak hingga kuah pekat sedikit, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK TEPUNG GORENG :- Kisar udang kering dengan 1/2 cawan air hingga halus. Alihkan ke dalam mangkuk, masukkan tepung beras, telur, garam dan baki air. Kacau rata dan rehatkan 15 minit. Panaskan  minyak untuk goreng terendam. Kacau aduanan tadi dengan senduk, cedok 1/2 senduk dan curahkan ke dalam minyak panas. Kacau dan goreng hingga tepung goreng bertukar keemasan dan garing, angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur bersih agar minyaknya terserap. Buat hingga siap dan simpan dalam bekas kedap udara.
  5. UNTUK MI REBUS TULANG :- Cedok secukupnya mi kuning ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah mi rebus dengan isinya. Hias dengan taugeh, telur rebus, hirisan cili hijau, hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng, tauhu goreng dan tepung goreng. Sebelum dimakan, perahkan jus limau kasturi atasnya. Selamat menjamu selera...

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.