RESIPI MAKARONI BAKAR BERLAUK

Assalammualaikum, salam semua. Lama jugak che mat tak kemas kini blog, nyaris2 bersawang, yea dak. Alhamdulillah hari ni diizinkan Allah swt untuk che mat berkongsikan satu resipi untuk minum petang atau sarapan pagi atau untuk dibawa ke rumah mak mertua, besan, berkelah dan sebagainya., ikut suka hati korang lah senang cakap. Resipi mudah dan in sha Allah tak mengecewakan. Pernah makan makaroni bakar berlauk? Kira macam kuih bingka tapi  jenis savory. Seakan2 kuih cara berlauk pun yea juga, tapi menggunakan makaroni sebagai bahan lapisan bawahnya. Alaa, nampak  macam rumit ajer, malas lah nak buat. Eh..ehh...ehh, belum cuba dah kalah, kata juara membawang. Resipi ni senanglah dan tak banyak karenah, tapi hasil dia, molek wakk, rasa pun sedap...

Che mat sarankan kalau nak buat, guna makaroni jenis kecil, dia bentuk sama macam makaroni biasa tu, tapi saiznya kecik2 sikit, bila dah rebus ia akan kembang, tapi tak kembang besar gedabak, kembang dia pun comel ajer. Untuk lapisan atas atau inti dia, boleh guna daging kambing cincang atau ayam cincang, nak cuba guna udang pun ok. Tapi che mat guna daging lembu yang dicincang. Resipi ni che mat gunakan loyang berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci, tapi kalau awak suka kuih yang lebih nipis, boleh guna loyang 9 inci x 9 inci x 3 ini. Kalau tak habis, macam mana? Kalau tak habis, jangan risau, masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk, bila nak makan, panaskan dalam microwave. Satu lagi nak kasi tau, untuk dapat potongan yang cantik, pastikan kuih betul2 sejuk baru dipotong dan pastikan pisau yang digunakan tajam. Kalau tak tajam, elok pi asah dulu pisau awak tu yea....Ok, meh kita semak resipi kat bawah ni....

BAHAN - BAHANNYA :-)
200 gram makaroni, saiz kecil, rebus hingga lembut, tos dan biarkan sejuk
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Hirisan cili merah, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan
Cili sos, untuk dimakan bersama makaroni bakar, jika suka

BAHAN-BAHAN INTI :-)
200 gram daging lembu cincang
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang puith, tumbuk halus
2 keping hirisan nipis halia, ditumbuk halus
1/2 camca teh lada hitam kisar
1 1/2 camca besar rempah kari daging Baba's
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
Garam secukup rasa
1 pokok daun ketumbar, hiris halus
1 biji cili merah, buang biji dan didadu kecil

BAHAN-BAHAN KASTARD :-)
5 biji telur gred A
1 cawan santan sederhana cair @ susu segar
1/4 cawan + 2 camca besar penuh tepung gandum
Secubit serbuk buah pala (optional)
3/4 camca teh garam
2 camca besar marjerin atau mentega, dicairkan dan sejukkan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK INTINYA :- Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis bawang putih dan halia tumbuk hingga wangi, masukkan daging cincang dan masak hingga daging kecut. Tambah serbuk kari, sos cili, sos tomato dan bawang besar. Gaul rata, masukkan sedikit air dan masak hingga kering. Perasakan dengan garam secukupnya. Matikan api, masukkan hirisan daun ketumbar dan cili merah cincang, gaul rata dan sejukkan.
  2. UNTUK  KASTARDNYA :- Satukan kesemua bahan2 untuk kastard kecuali majerin cair dan serbuk buah pala. Kacau rata hingga tidah berbintil dan tapis. Masukkan serbuk buah pala dan majerin cair, kacau hingga rata dan ketepikan.
  3. UNTUK MAKARONI BAKAR BERLAUK :- Panakan oven pada suhu 180C, sapu tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega atau majerin, alas dengan aluminium foil, pastikan bahagian kanan dan kiri, aluminium foinya dilebih sedikit, tujuannya untuk memudahkan kita keluarkan kuih bila masak nanti. Sapu juga permukaan aluminium foil tadi dengan marjerin. 
  4. Masukkan makaroni yang telah direbus tadi, ratakan. Tuang 3/4 bahagian kastard atas makaroni. Tekan sedikit, masukkan pula intinya dan ratakan. Tuang baki kastard, ratakn dan bakar dalam oven kurang lebih 35 - 40 minit atau hingga masak. Cucuk bahagian tengahnya dengan lidi sate, jika keluar bersih, tanda kuih kita dah masak.
  5. Keluarkan dari oven dan biarkan suam, boleh keluarkan kuih dari tin. Sejukkan sepenuhnya. Potong menggunakan pisau tajam, tak kisah lah nak potong macam mana pun, ikut suka. Lepas potong, baru tabur atasnya dengan hirisan daun bawang, hirisan cili merah dan bawang goreng. Boleh hidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Kenapa che mat potong dulu baru tabur bahan2 hiasan? Tujuan dia, bila kita ambil kuih tu bila nak makan, takdelah bahan hiasan semua jatuh melambak, satu lagi nampak senonoh sikit. Kalau taruk bahan hiasan dulu atas dia, lepas tu baru nak potong, tak ke payah jadinya, yea dak.....Ok, semua....Selamat mencuba! 😉

Post a Comment

1 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.