RESIPI ROTI BOYAN

Assalammualaikum, salam 1 Ramadan semua. Panaskan cuaca, berdenting. Plan berbuka apa hari ni? Che mat entah kenapa termengidam nak makan roti boyan. Apa? Roti boyan?..tak pernah dengar pun. Kalau di Singapura, roti boyan ada lah satu kebiasaan. Roti boyan ni seakan2 murtabak tapi kulitnya seperti pastry karipap dan intinya persis begedil. Cuma yang che mat bikin ni tak taruk lah daging ayam atau lembu, hanya guna kentang saja. Itu pun dah cukup sedap wakk. Kalau kita cari di google, ada macam2 rupa roti boyan, berbentuk bulat, seperti karipap atau pun empat persegi macam che mat bikin tu. Kenapa nama dia roti boyan, hurmmm, berkemungkinan besar resipi ini asalnya orang berketurunan boyan yang mula2 buat, tu pasal diberi nama roti boyan...

Buat dia takde lah susah mana, dan yang bagusnya, roti boyan kita boleh bikin lebih dan dingin bekukan dalam freezer, tapi pastikan setiap satunya dibalut dengan plastik cling sebelum disimpan dalam freezer. Cara menggorengnya juga hanya guna minyak yang sedikit, seperti kita goreng murtabak. Api perlu dijaga untuk mendapat kulit roti boyan yang rangup, garing, keemasan dan intinya yang masak. Resipi asal menggunakan lada sulah, tapi che mat gantikan dengan lada hitam. Menjad kebiasaan, roti boyan dihidangkan dengan sambal tumis. Dan sesuai untuk hidangan minum petang, sarapan pagi atau pun sebagai juadah berbuka puasa. Ada yang berani nak cuba buat sendiri di rumah? Kalau berani, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN - BAHAN PASTRI :-)
3 cawan tepung gandum
2 camca besar mejerin (Planta)
1/2 camca besar minyak sapi (QBB)
3/4 cawan air (kurang lebih)
1 camca teh garam

BAHAN-BAHAN INTI :-)
4  biji kentang, saiz sederhana
1 pokok daun bawang, dihiris
1 pokok daun sup, dihiris
1 biji bawang holland, didadu kecil
3/4 camca teh serbuk lada hitam Aji-shio
1/2 camca teh garam
3 biji telur, dipukul sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PASTRINYA :- Masukkan tepung gandum ke dalam mesin pengadun kek, pasangkan cangkuk untuk doh. Tambah garam, majerin dan minyak sapi, putar hingga semua sebati. Gunakan kelajuan perlahan, masukkan air sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk pengadun. Uli lagi untuk 7 - 8 minit lagi, gunakan kelajuan perlahan. Keluarkan doh dari mangkuk pengadun, bulat2kan doh dan rehatkan 20 minit. Pastikan doh ditutup dengan plastik cling atau tuala dapur yang bersih.
  2. UNTUK INTINYA :- Kupas kentang, belah 8 setiap satu, cuci, toskan dan rebus hingga kentang empuk. Toskan dan masukkan kentang ke dalam mangkuk. Tambah garam dan serbuk lada hitam, kemudian lecek kentang tadi hingga halus. Biarkan sejuk, baru dimasukkan bawang holland hirisan daun sup dan hirisan daun bawang, gaul rata. Akhir sekali masukkan telur dan gaul dengan spatula hingga sebati. Ketepikan. 
  3. UNTUK ROTI BOYAN :- Doh tadi dibahagikan kepada 4 bahagian. Begitu juga dengan intinya, dibahagikan kepada 4 bahagian. Ambil 2 bahagian doh, canai nipis dan bentukkan 4 segi, isikan dengan 1 bahagian inti, ratakan. Kemudian tutup inti dengan pastri tadi (boleh rujuk pada gambar di atas). Pastikan inti tertutup rapi, kemas. Buat kaedah sama dengan baki doh dan inti. 
  4. Panaskan frying pan, masukkan 2 camca besar minyak dan ratakan. Bila minyak panas, boleh masukkan roti boyan tadi. Masak dengan api sederhana besar hingga garing dan keemasan. Berhati2 terbalikkan dan biarkan roti boyan masak, anggaran setiap bahagian dalam 5 - 6 minit pada api sederhana. Boleh diangkat, potong dan hidangkan dengan sambal tumis... Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. Dah terasa kesedapan Roti Boyan ni...walaupun kita tak pernah makan. Kena buat ni. Tak susah mana pun. Thanks CMG kongsikan resepi dengan semua.

    ReplyDelete

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.