RESIPI AYAM MASAK MERAH BERKACANG

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni dah masuk har ke-2 kita berpuasa. Masak apa untuk berbuka nanti? Dengar cerita, harga makanan di bazar2 Ramadan ada yang dah naik. Gitu lah kan, saban tahun semua harga barang makin naik, yang turun nya takde pun. Kalau makanan yang kita beli tu sedap, takde lah rasa rugi sangat kalau mahal pun, kalau tak sedap, rasa ralat juga betul tak. Hari ni che mat masak ayam masak merah berkacang, atas permintaan mak che mat. Resipi ni asalnya dari arwah Pak Uteh, ayah sedara che mat. Arwah memang pandai memasak. Rasanya masak merah yang dia masak takde lah banyak sangat bahan2, tapi sedap bukan main, mungkin sebab air tangan arwah barang kali. Che mat guna setengah ekor ayam kampung, kalau dah nama ayam kampung, dah semestinya saiz dia pun takde lah besar mana, kurang lebih dalam 600 gram macam tu. Sedap dimakan dengan nasi putih atau nasi2 berperisa seperti nasi minyak, nasi briyani dan sebagainya. Jika teringin nak mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, kurang lebih 600 gram, dipotong kecil, cuci bersih dan toskan*
1 camca teh serbuk kunyit*
1 camca teh garam*(*disatukan dan gaul rata)
1 batang serai diketuk
1/2 cawan cili kisar
2 camca besar tomato puree
1 camca besar penuh gula melaka
1 genggam kacang tanah tanpa kulit, direndam dalam air panas
1 helai daun pandan, disimpul
1/2 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Kacang pis, untuk hiasan
Daun ketumbar, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ayam digoreng hingga masak, tapi tak perlu sampai garing. Angkat dan toskan. Dalam kuali yang sama, cedok keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 1/2 cawan minyak. Tumis serai dan daun pandan hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi.
  2. Masukkan tomato puree dan cili kisar, kacau rata dan masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan pes asam jawa, gula melaka dan kacang yang direndam dalam air panas tadi (toskan dulu air rendamannya). Kacau dan masak sekejap.
  3. Tambah ayam, dan tuang air dalam secawan, kacau rata dan biarkan mendidih hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka manis, boleh tambah sedikit lagi gula pasir dalam satu sudu besar. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hias dengan kacang pis dan daun ketumbar sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.