RESIPI SAMBAL GORENG PENGANTIN

Assalammualaikum, hari ni che mat ambil peluang kemas kini blog tiffinbiru dengan satu resipi klasik orang Singapura dan Johor, iaitu sambal goreng pengantin. Hidangan ini popular ketika hari lebaran dan juga dihidangkan di majlis2 perkahwinan, mungkin dari situ nama sambal goreng pengantin tercipta. Jika kita perhatikan, memang terdapat banyak jenis sambal goreng yang terkenal dalam masyarakat berketurunan Jawa. Sambal goreng biasa2 dimasukkan sayur seperti kacang panjang, kobis, tauhu, tempe dan macam2 lagi, ada yang warna agak gelap sebab dimasukkan kicap, ada tu kemerah2an bila di dalam sambal goreng ditumis dengan cili kisar. Dan ada juga yang lebih ringkas serta warnanya pun biasa saja, nampak lebih segar. Berbeza dengan sambal goreng pengantin, tiada penggunaan sayur sebaliknya digantikan dengan daging, hati, paru dan udang. Bawang goreng kena lebih dan jangan lupa pati santan untuk kasi rasa lemak. Inspirasi sambal goreng pengantin che mat dapat dari seorang budayawan Singapura, iaitu En Khir, yang memang terkenal di Singapura. Resipi sambal goreng pengantin ini dari ibu encik Khir, Puan Hajah Mariam.

Che mat buat dalam kuantiti sederhana sahaja dan itu pun bila dah siap, jadi banyak. Bahan2 seperti daging (direbus dulu hingga empuk) digoreng sekejap, begitu juga paru (direbus dulu), hati lembu dan udang, kesemuanya digoreng. Hati lembu dan udang yang digoreng tadi akan dimasukkan akhir dalam masakan, supaya tak keras dan liat. Sebenarnya che mat pun baru pertama kali masak sambal goreng pengantin , kalau sambal goreng biasa tu selalulah. Cara memasaknya agak mudah, cuma masa penyediaan bahan2 saja yang mengambil sedikit masa. Boleh juga dibuat lebih dan kemudian didingin bekukan dalam freezer. Jika ada kelapangan waktu, boleh lah cuba buat sambal goreng pengantin ini. Resipi che mat kongsikan di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram daging, direbus hingga empuk dan potong kiub
300 gram paru, direbus hingga empuk, dan potong kiub, gaul dengan sedikit serbuk kunyit dan garam
300 gram hati lembu, potong kiub, cuci toskan dan gaul dengan sedikit serbuk kunyit dan garam
300 gram udang, dibersihkan
1 cawan pati santan
1 cawan bawang goreng
2 helai daun salam
8 tangkai cili kering, dipotong serong halus, cuci dan toskan
10 biji bawang merah kecik, hiris
1 inci lengkuas, dihiris halus
2 biji cili merah, hiris serong
1 camca besar pes asam jawa
2 camca besar cili kisar
1/2 camca besar hirisan gula melaka
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cili kering digoreng sekejap, pastikan jangan sampai hangus, angkat dan toskan. Kemudian goreng pula daging hingga perang, tak perlu sampai garing, angkat dan toskan. Diikuti paru, goreng sekejap. Udang digoreng sehingga berubah warna, angkat dan toskan. Akhir sekali goreng hati lembu, guna api besar. Goreng sekejap sahaja untuk mengelakkan hati lembu menjadi keras. Angkat dan toskan.
  2. Dalam kuali yang sama. keluarkan minyak gorengan dan tinggalkan anggaran 1/4 cawan. Tumis bawang hiris dan lengkuas hingga wangi. Masukkan cili merah hiris dan daun salam, kacau rata dan masak hingga layu, tambah cili kisar, masak hingga cili garing.
  3. Masukkan daging dan paru goreng, gaul rata, tambah pes asam jawa dan 1/2 bahagian pati santan. Gaul rata dan masak sekejap. Masukkan gula melaka, hati dan juga udang. Kacau dan tambah baki santan. Masukkan bawang goreng dan cili kering goreng tadi, gaul rata dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap dan sesuaikan rasa (mesti ada rasa masin, lemak, sedikit manis dan pedas). Boleh matikan api, angkat dan hidangkan....Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. Sedapnya Mat, mengiurkan sungguh, aku suka nampak basah-basah macamtu, tak suka jenis kering.. nanti nak cubalah...

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.