RESIPI MI SIAM BERKUAH

Assalammualaikum, salam Jumaat barakah semua. Hari ni che mat masak mi siam berkuah, menu yang boleh dikirakan terkenal di Singapura dan Johor. Mi siam berkuah ni juga banyak dihidangkan oleh orang peranakan baba nyonya. Ada banyak juga versi yang che mat tengok, tapi bahan terpenting dalam penyediaan mi siam ini ialah tauco yang dicampurkan dalam kuahnya. Rasa kuah mi siam perlu seimbang rasa masin, manis dan masam. Ada yang suka masukkan sedikit kacang tumbuk dan ada yang masukkan sedikit santan, untuk mendapatkan rasa lemak. Santan tak perlu taruk banyak sangat, sekadar mendapatkan rasa saja. Mi hoon pula sekadar digoreng ringkas dimasukkan taugeh dan kucai saja. Garam perlu dijaga semasa menggoreng mi, sebab nantikan nak dimakan dengan kuahnya, kalau mi hoon tu dah masin, tambah dengan kuah dia lagi, silap2 tak boleh makan pulak nanti. Jadi kena jaga bab ni....

Sebab che mat cuma makan bertiga, jadi resipi ini hanya guna sekitar 200 gram mi hoon saja (1/2 bungkus). Dan kuah dia pun che mat agak2 tak nak lah jadi sampai seperiuk, nanti tak habis. Bagi yang tak pernah rasa, cuba lah buat,sedap tau, cuma yang tak biasa tu mungkin agak aneh lah, sebab mi hoon goreng makan dengan kuah macam mi rebus. Tapi tak salah nak cuba sesuatu yang berlainan, yea dak. Bagi yang suka pedas, boleh tambah sambal tumis dalam mi hoon berkuah masa menghidang nanti. Perahan jus limau kasturi wajib ada, tapi beragak2 lah yea, perah sikit dan rasa dulu, kalau dah ok rasa masam dia, tak perlu ditambah lagi jus limau kasturi tu, kata orang kena ikut selera tekak masing2. Dah siap semua, boleh lah makan. Kalau ada pinggan mangkuk yang cantik2 dalam gobok tu keluarkan dan pakai, toksah simpan buat perhiasan ajer, betul tak. Kalau ada yang teringin dah mencuba, meh che mat tuliskan resipi dia kat bawah ni...Selamat mencuba!

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram mi hoon (che mat guna brand Botan), rendam hingga lembut
1 camca besar sos cili
1/2 camca besar sos tiram
2 genggam taugeh, asingkan sedikit untuk hiasan
1/2 cekak kucai, hiris dan asingkan sedikit untuk hiasan
1 camca besar penuh tauco, cuci bawah air paip, toskan dan tumbuk halus
1 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1/4 cawan santan
1/2 cawan cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 camca besar penuh udang kering, rendam sekejap dan toskan
1/2 inci belacan, dibakar
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih

BAHAN-BAHAN HIASAN :-)
1/2 cawan isi udang saiz besar, digoreng sekejap dan toskan
Taugeh scukupnya
Hirisan daun kucai secukupnya
Telur rebus secukupnya
Limau kasturi secukupnya
Tauhu, digoreng dan dihiris
Bawang goreng 
Sambal tumis (jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga wangi, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Kacau sentiasa agar tidak hangus. Cedok keluar 1/2 bahagain bahan tumisan (untuk dijadikan kuah mi hoon). Baki tumisan dalam kuali, ditambah dengan sos cili dan sos tiram, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya, tapi pastikan jangan termasin yea.
  2. Kacau dan masukkan mi hoon, gaul rata, tambah taugeh dan kucai, kacau sebati dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api, alihkan mi hoon goreng dalam bekas sesuai dan ketepikan. Sekarang kita buat kuah dia pulak.
  3. Masukan 1/2 bahagian bahan tumisan yang dicedok tadi ke dalam periuk. Masukkan tauco, pes asam jawa, serai dan lengkuas. kacau rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya (anggaran 2 1/2 cawan). Masak hingga mendidih.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa, akhir sekali tambah santan, kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih, pastikan dikacau sentiasa, Sesuaikan rasa, jika ok, boleh matikan api. Hidangkan kuah dengan mi siam tadi..
  5. UNTUK MENGHIDANG :- Cedok mi hoon goreng secukupnya dalam mangkuk sesuai, tuang kuah secukupnya dan hias dengan telur rebus, udang goreng, hirisan tauhu, taugeh, kucai, bawang goreng dan sedikit sambal jika suka. Perahkan jus limau kasturi dan boleh nikmati dengan tanpa rasa berdosa... Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. sedapnya, tengok gambar je, bila nak dapat merasa air tangan che mat ntah.

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.