RESIPI ASAM PEDAS TOMYAM EKOR LEMBU

rsz_1apte0
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi fusion, bukan barat bertemu timur, tapi utara bertemu selatan. Tempoh hari che mat ada beli ekor lembu, kurang lebih dalam sekilo. Tak plan nak masak sup atau kari, tapi pakcik nak masak asam pedas dan kita tambah perasa tomyam untuk kasi 'kick'. Ekor lembu tu che mat rebus 2 kali, langkah pertama kita rebus dalam 30 minit dan buang air rebusannya, tujuan nak buang lemak2 degil. Kendian rebus lagi sekali dengan halia, bawang putih dan sedikit garam, sampai dagingnya empuk. Che mat tak taruk banyak sayur dalam asam pedas tomyam ni, kecuali tomato hijau saja. Terpulang pada selera masing2lah yea, kalau nak taruk terung atau bendi pun tak jadi masalah. Ini resipi negeri mana? Yang tu tak boleh nak pastikan, yang senangnya ikut negeri mana orang tu masak, macam che mat dok Johor, jadi asam pedas ala Johor, kalau yang dok Melaka atau Selangor, kau orang boleh la taruk 'ala' negeri masing2, buat apa nak gaduh2, yea dak. Dahh, jommm masak, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ekor lembu yang telah dibersihkan dan dipotong
1 inci halia, hiris nipis*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*
1 cawan cili kisar
3 biji tomato hijau, dibelah 2 atau 3 setiap sebiji
1 genggam daun kesom
3 helai daun limau purut
2 batang serai, diketuk
1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
3/4 camca besar pes asam jawa
1 pati kiub daging Maggi
1 kiub tom yam Maggi
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk hancur
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
Garam dan gula secukup rasa
Air rebusan ekor lembu secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ekor lembu yang telah dipotong dan dicuci, digaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan perahan jus limau nipis dari sebiji limau nipis. Gaul rata dan perap 20 minit. Cuci kembali hingga bersih dan rebus selama 30 minit. Buang air rebusannya dan masukkan air baru, tambah hirisan halia*. bawang putih* dan garam*. Rebus kembali hingga daging pada ekor lembu empuk. Kalau guna periuk tekanan rebus 15 minit. Asingkan air rebusannya, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk anggaram 1/2 cawan. Tumis serai, hirisan bawang merah dan hirisan bawang putih hingga keperangan. Masukkan bahan2 kisar halus dan kacau rata, tambah cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak, guna api sederhana dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan lada hitam dan pes asam jawa, kacau rata dan masak sekejap. Tambah ekor lembu tadi, gaul rata dan tuang air rebusan hingga ekor lembu tenggelam atau secukupnya (jika kurang, boleh tambah air panas). Kacau dan biarkan mendidih.
  4. Tambah kiub pati daging dan kiub tom yam, kacau rata dan boleh masukkan daun kesom, bunga kantan dan daun limau purut. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biarkan mendidih selama 5 - 6 minit lagi. Akhir sekali masukkan tomato, kacau perlahan dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain, Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. hi.. content blog menarik.. lets blogwalking and click iklan..done follow u.. follow me back.. http://acuyuhan.blogspot.com/ thanks

    ReplyDelete

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.